Wednesday, November 26, 2008

Orientalisme dan penjelasan yang konkrit


Pendahuluan

Orientalisme bukanlah satu bidang baru yang dijadikan bidang kajian dan disebarkan ke serata dunia. Sebaliknya ia telah lama bertapak semenjak zaman Renaissance yang dianggap sebagai zaman kegemilangan dan kebangkitan Barat dalam sejarah-sejarah dunia. Namun, amatlah sedikit umat Islam yang menyedari bahawa orientalisme ini telah dijadikan salah satu dari agenda Barat untuk merosakkan dan menjatuhkan umat Islam. Pelbagai cara telah diusahakan oleh Barat agar umat Islam terpengaruh untuk mengikuti ajaran dan pemikiran Barat.

Cara yang digunakan Barat ini amat halus dan teliti sehinggakan ramai umat Islam yang secara tidak sedar telah terpengaruh dan mengikut pemikiran tersebut. Barat bertopengkan bahawa semua kajian yang dijalankan di bawah orientalisme itu adalah bersifat ilmiah dan objektif. Justeru, dengan mengaburi mata umat Islam berdasarkan alasan akademik mereka itu, mereka menjadikan orientalisme sebagai satu bidang kajian yang diiktiraf dan dibolehkan dalam undang-undang. Sedangkan sebenarnya bidang kajian orientalisme mereka itu rata-rata mempunyai motif memanipulasi dan untuk kepentingan Barat semata-mata.

Walaubagaimanapun, adalah tidak adil sekiranya tidak dinyatakan di sini bahawa terdapat juga para orientalis iaitu yang mengkaji dan pakar dalam bidang orientalisme sebenarnya berpunca dari perasaan ingin tahu dan ingin memperolehi ilmu pengetahuan semata-mata. Mereka ini kemudiannya telah menyedari akan kelebihan yang dimiliki Timur dan Islam secara khususnya dan seterusnya memeluk Islam. Antaranya adalah seperti Muhammad Asad dan Maryam Jamilah. Kes-kes seperti ini akan dibincangkan selanjutnya dalam kertas kerja ini.

Kertas kerja ini akan memulakan perbincangan dengan mengemukakan definisi dan pendapat tokoh-tokoh Islam mengenai orientalisme ini dan seterusnya diikuti dengan menjelaskan serba sedikit tentang ruang lingkup yang dirangkumkan sebagai bidang kajian orientalisme. Setelah itu, kertas kerja ini akan membawa kepada sejarah asal usul orientalisme, contoh-contoh berkaitan orientalisme secara umumnya dan kemudiannya di bawa kepada contoh-contoh yang lebih spesifik iaitu contoh-contoh pengaruhnya di Malaysia.


BAB 1

1.1 Definisi

Sebelum perbincangan dibawa lebih lanjut kepada ruang lingkup, sejarah dan kes-kes yang membabitkan orientalisme ini, adalah lebih baik sekiranya orientalisme diperkenalkan menerusi definisinya secara harfiah dan secara ilmiah. Secara harfiahnya, dalam bahasa Arab, orientalisme disebut sebagai al-isytisyraq. Al-isytisyraq di sini berasal dari perkataan ‘syariqa’ yang membawa maksud terbit. Terbit di sini timbul kerana bidang kajian orientalisme ini adalah suatu bidang kajian yang apabila sesuatu fakta itu telah diperolehi, fakta tersebut sengaja dimanipulasi dan sengaja diada-adakan dari sesuatu yang tiada atau sesuatu yang ditokok-tambah supaya menjadi ada dan lari dari isi yang sebenar. Dari perspektif Barat pula, perkataan orientalisme dipercayai berasal dari perkataan ‘orient’ iaitu diambil dari bahasa Perancis yang membawa maksud secara umumnya Timur, secara geografisnya dunia belahan Timur, dan secara etnologisnya bangsa-bangsa di Timur (Sou’yb H.M. Joesoff 1985: 1).

Definisi secara ilmiah pula mempunyai pelbagai pendapat dari pelbagai tokoh. Ahmad Abdul Hamid Ghurab C (1991: 20-21) misalnya mendefinisikan bahawa orientalisme adalah kajian yang bersifat akademik, yang dilakukan oleh bangsa Barat yang kafir, khususnya dari kalangan ahlul kitab tentang Islam dan umat Islam dengan umat Islam dengan segala aspek, baik mengenai aqidah, syariat, pengetahuan, kebudayaan, sejarah, aturan dan peraturan, hasil bumi dan potensinya. Kajian ini menurut beliau adalah bertujuan untuk merosakkan dan mengotori kesucian Islam, meniupkan keraguan kepada kaum muslimin akan kebenaran dan kepercayaan mereka terhadap ajarannya, dan menyesatkan mereka (muslim) dari jalan yang diharuskan dalam syariat. Selain itu, orientalisme juga boleh membawa maksud sebagai kajian yang dilakukan Barat atas sejarah Timur, yang meliputi bangsa, ilmu pengetahuan, adat istiadat, keyakinan, dan mitos-mitosnya (Jabir Qamihah 2004: 85). Ia juga dikatakan secara ringkasnya sebagai satu faham atau aliran yang berkeinginan menyelidiki hal-hal yang berkaitan bangsa-bangsa Timur serta lingkungannya (Sou’yb H.M. Joesoff 1985: 1). Mahmud Hamdi Zaqzuq (1989) pula menyatakan bahawa al-isytisyraq (orientalisme) ialah kajian Barat yang berhubung dengan Islam dan merupakan kajian yang meliputi sama ada dalam bidang bahasa, sastera, sejarah, aqidah, syariah, tamadun secara umum.

Dalam kajian orientalisme terdapat beberapa aspek yang tidak dapat disangkal daripada dilibatkan dengan orientalisme itu sendiri. Di antaranya yang pertama ialah orientalisme adalah satu kajian yang mempunyai ikatan yang sangat erat hubungannya dengan kolonial Barat khususnya kaum kolonial Britian dan Perancis sejak akhir abad ke-18 hingga selesai perang dunia kedua. Kemudian ia diteruskan oleh Amerika sebagai simbol kolonial Barat hingga dewasa ini. Kedua, orientalisme juga merupakan gerakan yang mempunyai ikatan yang sangat kuat dengan kristianisasi. Selain itu, yang ketiga, terdapat juga kesinambungan antara orientalisme dengan kolonialisme dan gerakan kristianisasi sebagai kajian gabungan yang kuat yang mengkaji secara ilmiah dan objektif di mana mereka dalam kajiannya tidak dapat menjamin secara mutlak akan kesahihan kajian mereka itu tentang Islam. Terakhirnya, orientalisme juga dipercayai dan diyakini oleh Barat sebagai satu bentuk kajian yang dianggap paling berpotensi dalam politik Barat untuk melawan Islam dan kaum Muslimin (Ahmad Abdul Hamid Ghurab C. 1991: 21-23).

Selain itu, pandangan dari orientalisme seperti Said (1981) juga merupakan antara yang terbaik dalam memberi gambaran tentang orientalisme dan pengkritik orientalisme. Said (1981) memberikan definisi orientalisme seperti berikut:

“The most readily accepted designation for orientalism is an academic one, and indeed the label still serves in a number of academic institutions. Anyone who teaches, writes about, or researches the Orient - and this applies whether the person is an anthropologist, sociologist, historian, or philologist - either in its specific or its general aspects, is an orientalist, and what he or she says or does is orientalism”

Orientalisme adalah suatu cara untuk memahami dunia Timur berdasarkan tempatnya yang khusus dalam pengalaman manusia Eropah. Pandangan Said tersebut menunjukkan bahawa Timur sebenarnya adalah diciptakan oleh orang Barat, dengan kata lain “ditimurkan”. Said (1981) menjelaskan juga makna orientalisme secara luas berupa kajian mengenai sesuatu tentang dunia Timur, tentang kebudayaannya, agama, peradabannya, kehidupannya, dan bahasa bukan hanya mengenai dunia Arab dan Islam sahaja. Pengertian daripada orientalis sendiri iaitu Watt pula ialah suatu studi mengenai budaya, peradaban Timur di antaranya Asia dan termasuk belajar mengenai bahasa, sastera, sejarah dan agama.

Kesimpulannya, orientalisme ini merupakan bidang kajian Barat yang jika dilihat secara luasnya adalah mengkaji segala hal tentang Timur tetapi jika dilihat spesifikasi dan kecenderungannya, Barat ini banyak menumpukan kajiannya terhadap Islam. Mereka juga dilihat sebagai mempunyai hubungan yang kuat dengan gerakan kristianisasi, kolonialisme, dan segala ideologi yang dibawa oleh Barat. Hal ini adalah kerana, melalui penerapan dan penggabungan ideologi-ideologi tersebut seperti sekularisme, kapitalisme, marxisme dan sebagainya ke dalam orientalisme itulah mereka mereka-reka agenda dan meracuni umat Islam secara halus. Justeru, kertas kerja ini cenderung menganggap orientalisme yang dibincangkan di dalam kertas kerja ini sebagai orientalisme yang mengkaji tentang Islam dan menerbitkan perkara yang baru tentang Islam yang jelas sebenarnya terpesong atau bertentangan dari Islam itu sendiri.

Setelah melihat definisi orientalisme, seterusnya definisi yang ingin diberikan ialah tentang siapakah yang dimaksudkan sebagai orientalis. Orientalis ialah kata nama pelaku yang menunjukkan seseorang yang ahli tentang hak-hal berkaitan Timur (Sou’yb H.M. Joesoff : 1985: 1). Orientalis juga boleh ditakrifkan sebagai orang Barat yang mempelajari sebahagian bahasa dan kesusteraan Timur dengan tujuan mengenal lebih jauh keadaan satu atau beberapa bangsa Timur dengan tujuan mengenal lebih jauh sejarah, agama, ilmu pengetahuan, kesusasteraan, dan lain-lain yang merupakan aspek kehidupan masyarakat merupakan satu faham atau aliran yang berkeinginan menyelidiki hal-hal yang berkaitan bangsa-bangsa Timur serta lingkungannya (Sou’yb H.M. Joesoff : 1985: 1).Menurut Malek Ben Nabi, orientalis merujuk kepada penulis-penulis Barat yang menulis mengenai pemikiran Islam dan peradaban Islam, dan lebih tepat lagi mereka menulis tentang hal ehwal ketimuran termasuk hal keIslaman dan penganutnya (Mohd Kamil Abd Majid: 2002: 151).

Orientalis ini pula terdapat beberapa jenis iaitu yang pertama mengkaji Islam dengan tujuan ingin mengetahui dan mendalami ilmu yang terdapat di dalamnya (untuk mencari kebenaran dan ada antaranya telah memeluk Islam, contohnya Muhammad Asad dan Maryam Jamilah). Golongan kedua pula merujuk kepada yang mengkaji Islam dengan tujuan ingin memutar belitkannya agar dapat mencipta satu perspektif baru yang menyesatkan umat Islam dan memburukkan Islam di mata dunia (fanatik). Golongan ketiga, iaitu yang mengkaji hal ketimuran lain (budaya, adat resam,bahasa, dll) yang tidak menumpukan pada Islam tetapi secara tidak langsung memberi kesan negatif terhadap pandangan masyarakat luar tentang Islam (tidak terlalu fanatik). Dengan perkembangan teknologi dan globalisasi pula, wujud golongan yang orientalis yang bukan Barat tetapi terpengaruh dan berfikir, bersekongkol dan bertujuan seperti Barat. Mereka ini ialah yang menerima pendidikan dari Barat dan beranggapan Barat itu betul dan sangat bermegah kerana berpeluang mendapat pendidikan Barat sehinggakan menyebabkan mereka menerima ideologi Barat itu bulat-bulat. Golongan ini juga akan dibincangkan di dalam kertas kerja ini dengan merujuk kes-kes tertentu di Malaysia.


1.2 Ciri-ciri Orientalisme

Setelah meneliti definisi orientalisme dan orientalis serta jenis-jenis orientalis yang telah dikategorikan kepada beberapa jenis, adalah elok perbincangan ini diteruskan dengan memberikan beberapa ciri-ciri orientalis dan orientalisme yang boleh dikenal pasti bagi membezakan golongan orientalis ini di kalangan masyarakat. Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, golongan orientalis yang dimaksudkan dalam esei ini ialah orang Barat yang mengkaji Islam. Terdapat perbezaan yang jelas di antara pandangan dunia Islam dan pandangan dunia Barat. Perbezaan yang jelas inilah yang merupakan ciri yang boleh dilihat dipunyai oleh orietalis.

Ciri yang dimaksudkan ini pertama ialah pandangan dunia Islam adalah berlandaskan al-Quran dan Sunnah dan diaplikasikan melalui hablum minallah (hubungan manusia dengan Tuhan yang Maha Esa) dan hablum minannas (hubungan sesama manusia dan alam) iaitu manusia telah dijadikan sebagai hamba Allah dan dipertanggungjawabkan sebagai khalifah atau pentadbir di atas muka bumi ini dengan berpandukan kepada ikatan akidah Tauhid. Akan tetapi, pandangan dunia Barat adalah terbentuk dan bertunjangkan kepada fahaman humanisme, materislistik, liberalisme dan rasionalisme iaitu memahami bahawa kehidupan ini adalah berdasarkan akal manusia semata-mata. Manusia Barat yang berfahaman orientalisme ini percaya bahawa mereka adalah mulia, maju, bebas serta mempunyai kebijaksanaan yang tidak dimiliki oleh Timur atau spesifikasinya Islam.

Ciri yang kedua pula ialah orientalisme ini bukan sahaja menolak al-Quran, hadith dan sunnah malah menokok-nambah sumber-sumber tersebut agar dapat mengelirukan penganut Islam yang lain. Para orientalis ini sedaya-upaya cuba memesongkan penganut Islam dengan tipu-daya mereka agar umat Islam terpengaruh dan lari dari landasan Islam.

Ciri yang seterusnya yang boleh dikesan pada orientalis ini ialah mereka mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi terhadap Islam. Walaupun terdapat orientalis yang benar-benar ingin mencari kebenaran dengan mempelajari tentang Islam, namun lebih ramai yang cenderung mengkaji dengan muslihat ingin mencari kelemahan dan sekiranya tiada kelemahan ditemui mereka cenderung pula mereka-reka kelemahan tersebut untuk memburukkan dan menghina Islam.

Selain itu, golongan orientalis ini juga bijak memainkan agenda dengan menyebarkan fahaman mereka melalui cara yang paling halus iaitu seperti melalui penulisan buku yang dilabel oleh mereka sebagai bahan ilmiah. Mereka ini kemudiannya akan menyebarkan buku-buku tersebut ke serata dunia termasuk kepada kalangan umat Islam bagi meluaskan pengaruh mereka. Mereka juga menggunakan medium pendidikan, sukan, hiburan, dan hobi bagi menerapkan fahaman orientalis di kalangan masyarakat dunia terutama Islam.

Terdapat banyak lagi ciri-ciri orientalisme yang boleh dikenalpasti. Namun apa yang lebih penting bagi mengelakkan diri terpengaruh dan terpedaya dengan golongan orientalis ini ialah dengan mendalami ilmu, nilai-nilai, dan ajaran Islam itu serta mengamlkan dan menjadikannya pegangan dalam kehidupan seharian. Selain itu, umat Islam juga hendaklah saling ingat-mengingatkan dan tegur-menegur akan kesilapan saudara Islam yang lain dengan cara berdakwah yang lembut dan menarik hati serta mengikut kesesuaian keadaan agar teguran dapat diterima oleh saudaranya itu. Justeru, adalah diharapkan umat Islam terhindar dari golongan orientalisme ini.


1.3 Ruang lingkup orientalisme.

Seperti yang dikatakan oleh Mahmud Hamdi Zaqzuq (1989), bidang kajian yang dipelopori oleh orientalisme tentang Timur dan Islam ini adalah amat luas meliputi pelbagai aspek termasuk bidang bahasa, sastera, sejarah, aqidah, syariah, dan tamadun secara umumnya. Namun, sebenarnya kajian mereka itu tidaklah terlalu umum sebaliknya apabila mereka mengkaji tentang hal ehwal Timur dan Islam ini amatlah bersungguh-sungguh dan mendalaminya agar mudah untuk mereka memanipulasikan fakta-fakta yang diperolehi mereka itu untuk tujuan kepentingan mereka.

Salah seorang sarjana yang hebat memperkatakan tentang orientalisme ini ialah Edward Said. Said (1981) menyatakan bahawa orientalis melihat Islam sebagai bangsa dan agama yang mundur, agama permusuhan dan gerombolan orang barbar yang patut dibenci. Kerana itu Islam bagi Barat merupakan trauma. Mereka menggambarkan Nabi Muhammad dalam persepsi yang negatif. Mereka menggambarkan bahawa Muhammad s.a.w mengidap penyakit histeria. Beliau juga menyatakan bahawa Barat menyebut Islam dengan “Muhammadanisme”. Pemberian nama tersebut untuk menumbuhkan kesan bahawa Islam adalah agama ciptaan Muhammad, bukan agama yang diturunkan Allah SWT. Said (1981) juga membuat analisa bahawa setiap perkara yang Eropah ingin mengambil tahu mengenai Timur adalah sebahagian daripada tujuan utama untuk kepentingan diri mereka sendiri. Said (1981) mengkritik orientalisme bahawa orientalisme tidak terletak dalam satu ruang lingkup budaya, ia merupakan kenyataan politik dan budaya. Barat bertanggungjawab dalam membentuk persepsi yang keliru tentang dunia yang mereka ingin jelaskan. Bagi beliau, orientalisme bukan sekadar wacana akademik tetapi juga mengandungi unsur-unsur politik, ekonomi dan agama.

Maka jelaslah bahawa orientalisme itu teramatlah luas lingkungannya. Antara yang boleh diambil sebagai contoh adalah kajian orientalis terhadap kebudayaan dan arkeologi. Asal usul manusia dikatakan oleh Edwin sebagai berasal dari monyet sedangkan di dalam al-Quran telah dinyatakan bahawa manusia itu diciptakan dari Adam dan Hawa yang diciptakan dari tanah yang dari segumpal darah dan setitis air mani.

Kajian orientalis ini juga tidak hanya tertumpu pada aspek keagamaan sahaja malah aspek geografi juga dianggap penting oleh mereka. Justeru, mereka mengkaji geografi umat Islam bagi membolehkan mereka mengetahui tentang hasil bumi dan kekayaan umat Islam seterusnya memanipulasinya melalui kolonialisme dan kapitalisme. Selain itu, orientalisme juga turut mengkaji tentang cara hidup masyarakat di Timur yang beragama Islam. Sebagai contoh, Winstedt yang mengkaji tentang cara hidup masyarakat Melayu menggambarkan Melayu sebagai malas dan ini sekaligus mencemarkan imej Islam yang dianuti oleh kebanyakan masyarakat Melayu.

Kajian orientalisme ini juga cenderung memperlekehkan hadis dan al-Quran serta para sahabat Nabi. Contohnya, kes Kassim Ahmad yang menyeru kepada penolakan hadis. Kes ini berlaku di Malaysia dan turut akan dibincangkan dalam kertas kerja ini. Selain itu, terdapat juga beberapa pendapat orientalis yang jelas dan nyata memperlekehkan Nabi dan para sahabat seperti mengatakan bahawa janggut yang disimpan Nabi dan para sahabat kerana tidak mempunyai pisau cukur untuk mencukurnya.


BAB 2

Di belakang gerakan para orientalis itu terdapat pihak berkuasa gereja yang bekerjasama dengan pihak berkuasa negara sekularisme di Barat dalam usaha memburuk-burukkan prinsip-prinsip dan nilai-nilai Islam. Mereka bertujuan melemahkan umat Islam dengan cara menentang para muslimin melalui ilmu pengetahuan dan kajian ilmiah supaya dengan itu mereka dapat memberi kerjasama kepada golongan orang-orang yang memperalatkan ulama-ulama agama.

2.1 Sejarah Kemunculannya

Kemunculan sebenar orientalisme tidak dapat diketahui dengan tepat tetapi ahli sejarah berpendapat bahawa orientalisme telah pun bermula sejak zaman kesepuluh Masihi lagi. Pada ketika itu, ubat-ubatan yang berasal dari Timur telah diperkenalkan di Salerno yang merupakan sebuah kota di Itali Utara. Di kota tersebut, sebuah rumah sakit, hospital atau klinik telah dibina yang mana cara perubatannya berpandukan buku-buku yang diterjemahkan dari bahasa Arab ke bahasa Latin.

Sebahagian dari pengkaji-pengkaji sejarah mengatakan bahawa umat Kristian ada memberitahu dan menceritakan tentang bila ia bermula secara rasmi. Menurut orang Kristian tersebut, gerakan orientalisme bermula pada tahun 1312 Masihi ketika resolusi perhimpunan gereja Vienna. Ketika itu, mereka ingin menubuhkan kursus bahasa Arab di universiti-universiti yang terdapat di Eropah (Said 1978.50). Hakikatnya, orientalisme telah pun bermula sebelum resolusi gereja Vienna lagi. Apa yang menjadi perbezaannya ialah gerakan tersebut adalah satu pertubuhan yang tidak rasmi. Para pengkaji Eropah tidak mahu berpegang kepada tarikh tersebut dan mereka terus membuat kajian bagi menentukan tarikh penubuhan gerakan ini.

Penyebaran Islam yang meluas di Timur dan Barat dengan begitu lancar dan pesat telah mencetuskan rasa di hati ketua-ketua Kristian terhadap Islam. Pada waktu inilah bermulanya pengajian-pengajian tentang Islam oleh orang-orang Kristian. Mereka mendalami agama Islam dengan maksud untuk melindungi kaumnya daripada pengaruh agama Islam. Buku-buku yang telah dikeluarkan untuk tujuan tersebut antaranya ialah Muhawarat Ma’a Muslim dan Irshadat al Nasara fi Jadal al-Muslimin yang dikarang oleh Yuhana al-Dimasyqi (676-749 Masihi). Yuhana al-Dimasyqi merupakan seorang Timur yang hidup ketika zaman pemerintahan kerajaan Bani Umaiyah. Beliau merupakan pendeta Kristian yang pertama dan terawal mengkaji Islam. Buku yang dikarangnya berbentuk dialog dan panduan bagaimana untuk berurusan dengan umat muslimin. Terdapat sesetengah pengkaji sejarah mengatakan bahawa gerakan ini bermula pada kurun ke sebelas Masihi. Manakala Rudi Poret pula mengatakan bahawa ia bermula pada kurun ke dua belas setelah kajian tentang Islam dan bahasa Arab di Eropah bermula. Pada masa yang juga, al-Quran diterjemahkan kepada bahasa Latin dan kamus bahasa Latin – Arab juga telah disusun (Rudi Poret dalam Mahmud Hamdi Zaqzuq. 1989).

Pendapat Rudi Poret ini sebenarnya telah dikaji semula oleh Gostep Doga yang merupakan salah seorang daripada orientalis yang ada ketika itu. Ia diketengahkan pada tahun 60-an di Paris. Pengkaji lain mengatakan bahawa orientalisme telah bermula pada kurun kesepuluh Masihi. Ini disebabkan oleh pengaruh penulisan yang dilakukan oleh Najib al-Aqiqi di dalam kitabnya yang mengatakan orientalisme telah wujud sejak 940 hingga 1003 Masihi lagi ketika mana seorang paderi Perancis telah pergi menuntut ilmu ke Sevilla iaitu di Andalusia dan Cordova hinggalah akhirnya beliau menjadi seorang yang alim di kalangan pendeta yang mahir dalam bahasa Arab, Ilmu Hisab dan Falak di Eropah. Beliau kemudian menjadi seorang ketua paderi pada tahun 999 hingga 1003 Masihi di Rom dengan menggunakan nama Silvester II (al-Aqiqi dalam Mahmud Hamdi Zaqzuq 1989).

Walaupun gerakan ini telah wujud betapa lamanya, tetapi ia tidak aktif dan pesat melainkan pada akhir kurun ke lapan belas. Di England, ia mula muncul pada tahun 1779 dan di Britain kemudian di Perancis pula pada tahun 1799. Selepas itu barulah perkataan “orientalisme” dimasukkan ke dalam kamus Perancis pada tahun 1838 (Mohsem Radson 1978: 78). Pada tahun 1883 pula orientalisme menjadi perkara atau subjek akademik secara rasmi di Perancis (Zaqzuq 1984: 7). Kajian-kajian yang dilakukan oleh orientalis-orientalis tidak mempunyai objektif dan nilai ilmiah kerana ia merupakan satu gambaran terhadap apa yang berlaku sahaja. Apa yang mendorong kemunculan gerakan ini di Barat ialah pertentangan yang berlaku di antara Islam dan Kristian di Sevilla dan Sepanyol seperti perang Salib yang berlaku yang mana ia telah mendorong orang Eropah untuk mempelajari ajaran agama Islam. Boleh juga dikatakan bahawa tarikh permulaan gerakan orientalisme ini bermula ketika pertentangan agama Kristian dan Islam berlaku dari segi agama dan ideologi sejak kurun pertengahan lagi. Southern mengatakan bahawa Islam merupakan satu masalah yang berpanjangan bagi dunia Kristian dalam semua aspek di Eropah. Manakala menurut Kristian pula, Islam merupakan masalah yang praktikal dan mendorong kepada berlakunya perang Salib serta menganggap Islam sebagai masalah percanggahan pemikiran terhadap konsep ketuhanan mereka.

Pendeta Kristian telah menentang Islam dan menyebarkan penyelewengan terhadap Rasulullah S.A.W dan agamanya. Cerita dongeng dicipta untuk menyesatkan yang direka dengan sengaja oleh penulis pada zaman itu. Salah satunya ialah “The Song of Roland” serta karya yang menceritakan bahawa umat Islam menyembah berhala dan tiga tuhan iaitu Muhammad, Apollo dan Tervagan yang telah dikarang oleh Gulbert De Nogent (1124 Masihi). Beliau mengakui bahawa karya ini dilakukan tanpa sebarang bahan yang mempunyai hubungan dan berkaitan dengan Islam sebagai rujukan dan ianya hanya pandangan orang ramai semata-mata. Rodinson pula menganggap bahawa sesuatu ilmu itu tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan agama Islam dan beliau mengatakan bahawa ilmu yang dapat dicapai oleh Islam adalah usaha setiap umat Islam itu sendiri.

Ketika di Eropah, pada tahun 1130 Masihi, seorang pendeta Kristian telah berusaha menterjemahkan buku-buku bahasa Arab di dalam bidang falsafah dan ilmu sains dengan penuh kesungguhan dan ketekunan. Manakala penerbitan terjemahan sebahagian daripada buku-buku sains yang ditulis dalam bahasa Arab kepada bahasa Latin pula telah dilakukan oleh ketua paderi Toledo serta paderi-paderi yang lain. Di Eropah, usaha dalam menterjemahkan buku-buku bahasa Arab kepada bahasa Latin sangat giat dijalankan sepertimana tekunnya usaha umat Islam dalam menterjemahkan buku-buku yang berbahasa Greek kepada bahasa Arab suatu ketika dulu iaitu pada zaman al-Maamun. Tujuan umat Islam dalam melakukan terjemahan tersebut adalah untuk menyebarkan ilmu pengetahuan dan meninggikan taraf tamadun manusia.

Pada kurun ke-12 Masihi, cubaan untuk memahami Islam secara objektif telah berlaku akan tetapi ia adalah bertujuan yang negatif iaitu untuk menentang agama Islam itu sendiri. Ketika di Sepanyol, seorang paderi yang bernama Pierri Clury (1156 Masihi) telah menubuhkan satu lembaga penterjemah yang akan bekerja sebagai satu kelompok atau kumpulan bagi usaha untuk mendapatkan maklumat secara ilmiah, akademik dan objektif tentang apa sahaja yang berkaitan dengan Islam. Beliau juga dikenali sebagai seorang yang pernah mencuba untuk menterjemahkan isi kandungan al-Quran ke dalam bahasa Latin pada tahun 1143 Masihi. Terjemahan tersebut telah dibantu oleh Robert of Ketton iaitu seorang pakar dari England (Bosworth 1977: 37-39).

Terdapat hujah lain yang mengatakan bahawa orientalisme berkembang pesat ketika zaman keunggulan kerajaan Islam di Sepanyol yang berpusat di Cordova. Terdapat ramai orientalis dari negara-negara Eropah belajar di universiti-universiti Cordova. Antaranya ialah Jebert De Orliac dan Perrele Aenere serta Gerard De Cremona. Jebert De Orliac terpilih untuk menjadi paderi gereja Romawi pada tahun 999 Masihi. Manakala Perrele Aenere pula menjadi paderi pada 1092 hingga 1156 Masihi. Gerard De Cremona dipilih menjadi paderi pada tahun 1114 hingga 1187 Masihi. Setelah mereka pulang semula ke negeri masing-masing, mereka mendirikan pusat-pusat pengajian untuk mengajar bahasa dan budaya Arab dengan menterjemahkan buku-buku bahasa Arab ke bahasa Latin yang mana ia merupakan bahasa ilmiah di Eropah pada ketika itu. Buku-buku tersebut digunakan sebagai rujukan kira-kira enam abad lamanya.

Gerakan orientalisme bertambah hebat setelah Kristian mengalami kekalahan dalam perang Salib. Gerakan ini cuba mencari kelemahan-kelemahan umat Islam supaya mudah untuk mereka takluki dan mereka juga mencari kekuatan-kekuatan umat Islam supaya mudah untuk mereka melemahkannya. Keazaman mereka bertambah kukuh apabila Kota Constantinople telah jatuh ke tangan kerajaan Uthmaniah Turki pada tahun 1453 Masihi. Mereka bimbang jika suatu hari nanti umat Islam akan dapat menakluki Eropah.

Orang-orang Barat membuat pengajian terhadap soal-soal agama Islam kerana pandangan mereka mengatakan bahawa satu-satunya agama yang berada di Timur yang boleh mengalahkan agama Kristian adalah agama Islam. Bagi agama-agama lain pula seperti Buddha, Hindu, Majusi dan sebagainya tidaklah begitu menggugat perkembangan agama Kristian. Untuk menghindarkan bahaya yang mengancam pengikut-pengikut agama Kristian, mereka telah membuat keputusan bahawa aliran orientalisme perlu dipergiatkan.


2.2 Tujuan dan matlamat

Matlamat orientalisme sejak mula-mula penubuhannya adalah untuk melindungi dan menghalang masyarakat Barat dan Kristian daripada terpengaruh dengan agama Islam. Mereka memburuk-burukkan agama Islam dan menutup kebaikan yang berkaitan dengan Islam dan selain itu mereka membuat kajian serta membuat pelbagai dakwaan yang mengandungi segala dusta terhadap akidah dan syari’ah serta sumber-sumber Islam. Mereka melakukannya adalah untuk melemahkan pegangan yang ada dalam diri umat Islam itu sendiri dan berkeinginan untuk mengkafirkan mereka. Mereka juga menjadi pengikut para penjajah dan membantu mereka untuk memudahkan operasi jajahan tersebut. Kerjasama antara orientalis dan penjajah sangat mempengaruhi pergerakan mereka untuk menguasai negara dan umat Islam. Terdapat tiga bentuk tujuan dan matlamat golongan orientalis mengikut kelompok masing-masing iaitu :

Pertama : Golongan fanatik yang mempunyai rasa dendam dan permusuhan yang ketara terhadap Islam dan umatnya.

Matlamat mereka adalah untuk :
1. Menolak keterangan atau kebenaran yang menyatakan bahawa Al-Quran diutuskan untuk menunjukkan jalan yang benar kepada seluruh umat dan mereka juga menolak Islam sebagai agama Allah. Mereka berusaha membuat bermacam-macam tafsiran yang mengandungi penyelewengan terhadap wahyu al-Quran.
2. Menyemai kekeliruan terhadap kemampuan bahasa Arab.
3. Menyemai keraguan tentang nilai Fiqh Islam iaitu suatu perbendaharaan yang agung.
4. Mengelirukan umat Islam mengenai kerasulan Nabi Muhammad S.A.W dan menyemai pelbagai prasangka yang tidak benar terhadap sumbernya hingga menyebabkan ramai yang menafikan kerasulan baginda dan menyangkal serta membangkang kenyataan yang mengatakan bahawa baginda menerima wahyu dari Allah S.W.T.
5. Kekeliruan dan penyelewengan terhadap hadis juga dicipta dan mereka bersandarkan kepada hadis palsu kerana mereka pada hakikatnya iri hati terhadap hadis Nabi S.A.W yang sangat sempurna dan kaya dengan khazanah perundangan yang sangat mengkagumkan sedangkan Rasul S.A.W merupakan seorang yang buta huruf.

Kedua : Golongan yang tidak fanatik. Mereka hanya ingin mengetahui secara tepat dan benar tentang Islam. Kegiatan mereka ini didorong oleh akademik dan ilmu semata-mata. Golongan ini berbeza daripada golongan fanatik kerana mereka akan segera mengakui kesalahan dan segera membetulkan tanggapan mereka yang tidak tepat.

Matlamat mereka adalah untuk :
1. Tujuan politik : Pemerintah memberi sokongan dan dorongan seratus peratus kepada gerakan ini untuk mendalami dan memahami bahasa, adat, agama dan sebagainya yang berkaitan dengan Islam. Ini juga bertujuan untuk mengenali dan mengetahui taktik dan teknik yang membolehkan mereka mendekati, mempengaruhi dan memonopoli umat Islam.
2. Tujuan Perdagangan : Pada abad ke-19 dan ke-20, faktor perdagangan menjadi topik utama ketika perdagangan pada waktu itu sedang giat dijalankan. Mereka dapat memperolehi banyak bahan-bahan mentah dan keuntungan sekaligus dapat mempelajari dan menimba pengalaman dengan mengenali geografi dan kebudayaan Timur.
3. Kajian yang dibuat adalah disebabkan tujuan ilmiah semata-mata. Motif ini timbul ketika zaman perkembangan penulisan dan penerbitan yang mana ketika itu ia dikenali sebagai abad keemasan orientalis.

Ketiga : Golongan ini mengkaji dan membuat penyelidikan untuk mencari kebenaran. Apabila kajian mereka menunjukkan kebenaran yang hakiki mengenai Islam dan ia menjelaskan kebaikan dan kebenaran yang dibawa oleh Islam itu sendiri membuatkan mereka tertarik dengan rela hati terhadap Islam lalu terus menganut agama ini.

Orientalisme menurut Mustafa Al-Siba’I dalam Mahmud Hamdi Zaqzuq 1989, mereka ini sama ada untuk mengacau atau memutarbelitkan agama Islam melalui penyemaian keraguan terhadap Islam seperti memalsukan sejarahnya. Kadangkala penulisan mereka mengingkari kitab al-Quran sebagai kitab wahyu serta mendatangkan keraguan terhadap hadis Rasulullah S.A.W.

Di Malaysia, sebelum kita mencapai kemerdekaan, golongan orientalis ini terdiri dari kalangan pentadbir kolonial British dan mubaligh-mubaligh Kristian. Antara mereka ialah W.G.shellabear, R.J. Wilkinson dan R.O.Winstedt. Walaupun penulisan mereka bersifat ilmiah, tetapi jumlahnya terlalu sedikit. Sebahagian daripada golongan ini telah menyatakan bahawa mereka bertemu dengan kebenaran setelah mengkaji mengenai Islam antaranya Muhammad Asad, M.M.Pickthall, Maryam Jameelah, T.B.Irving, Abdul Ahad Daud dan lain-lain lagi. Manakala di antara mereka juga ada yang bersikap objektif seperti H.A.R.Gibb, A.J. Arberry dan Arnold Toynbee. Mereka tidak terlepas daripada melakukan penyelewengan terhadap agama Islam. H.A.R.Gibb pernah menganggap al-Quran merupakan sesuatu yang sulit, menjemukan serta bercampur aduk dan tidak teratur. Manakala A.J. Arberry pula meremehkan hadis dan sunnah.


2.3 Faktor-Faktor Tertubuhnya Gerakan Orientalisme.

Jika kita rujuk semula kepada perbincangan mengenai sejarah kemunculan orientalisme yang telah dibicarakan sebelum ini, telah didapati bahawa terdapat dua sudut yang perlu diberi perhatian iaitu :

1. Aktiviti rasmi iaitu setelah berlakunya perhimpunan gereja Vienna yang mana ia telah membuat keputusan untuk mewujudkan pengajian oriental di beberapa pusat pengajian yang terdapat di Barat.

2. Aktiviti yang berlaku dan telah dijalankan sebelum perhimpunan gereja Vienna.

Walaupun jika dilihat dari satu sudut, orientalisme ini dikaitkan dengan ilmiah dan akademik, tetapi kelahiran atau kemunculannya secara rasmi mempunyai tujuan, objektif, motif dan matlamatnya yang tersendiri. Ia mempunyai kaitan juga dengan hubungan antara Kristian dan Islam. Perselisihan yang berlaku antara keduanya yang mana telah mencetuskan Perang Salib merupakan salah satu sebab gerakan ini ditubuhkan. Kemudian gerakan ini diatur secara tersusun bagi mencapai matlamat utama mereka.

Para orientalis tersebut mencipta gerakan atau persatuan-persatuan yang sistematik dengan menghabiskan masa yang panjang serta tenaga dan wang yang banyak menurut Mustafa al-Siba’i di dalam bukunya “Al-Istisyaraq wal mustasyriqun, malahaum wama alaihim” yang mengatakan bahawa ia didorong oleh faktor-faktor berikut :

i. Dorongan Keagamaan
ii. Dorongan Penjajahan
iii. Dorongan Perniagaan
iv. Dorongan Politik
v. Dorongan Ilmiah

Faktor utama gerakan orientalisme ini ialah keagamaan iaitu agama Kristian. Menurut Sheikh Hamdi Zaqzuq 1989, para sejarawan di kalangan orientalis menyakini bahawa faktor keagamaan merupakan faktor yang mempunyai motif yang besar bagi perkembangan gerakan ini dan penubuhan akademi pengajian bahasa Arab dan kajian Islam di Eropah. Huraiannya seperti berikut :

1. Golongan orientalis ini tidak pernah lupa akan satu matlamat dalam setiap kegiatan dan kajian ilmiah yang dilakukan iaitu menyebarkan agama Kristian dan mereka berusaha barmati-matian untuk merosakkan agama Islam serta meragu-ragukan fikiran umat Islam.

2. Islam perlu diserang dan dicari kelemahannya dan mengatakan bahawa agama Islam sebenarnya diambil dari agama Yahudi dan Nasrani serta meruntuhkan martabat para Nabi dan Rasul.

3. Penganut dan pengikut Nasrani dan Kristian dijaga dan dipelihara dari bahaya Islam. Mereka menutup kebenaran agama Islam dan menerangkan kekurangan Islam dan tidak menyerah kalah dengan agama Islam.

Para orientalis yang pertama sekali terdiri dari daripada ilmuan agama dari Vatikan, pendita Rome – Katolik, paderi, dan sebagainya yang mula-mula mengembangkan orientalisme. Selepas itu, para penguasa dan raja-raja pula mula terpengaruh dan tertarik dengan gerakan ini. Antara mereka ialah Jebert De Orliac ( 938 – 1003 Masihi ), Dicuil, Perre Le Veherable ( 1094 – 1156 Masihi ), Daniel of Morley Scot dan lain-lain. Tujuan utama mereka adalah untuk memburuk-burukkan serta memutar belitkan kebenaran dan hakikat agama Islam kerana bagi mereka agama Islam merupakan musuh yang paling utama kepada agama Kristian. Agama Islam boleh menandingi serta mengatasi agama-agama yang ada termasuklah agama Kristian. Antara kenyataan oleh orientalis yang menunjukkan bahawa tujuan utama penubuhan ini adalah kerana agama ialah :

Jika usaha ini ternyata di antara perkara-perkara tambahan dan keduanya kerana musuh tidak perlu diserang dengan senjata, tetapi aku berhajat supaya di negeri yang mempunyai raja yang agung mestilah ada benteng pertahanan sama ada untuk perhiasan atau kedua-duanya. Nabi Sulaiman A.S membuat senjata untuk pertahanan walaupun ia tidak diperlukan pada zaman itu. Nabi Daud A.S membuat perhiasan walaupun bukan untuk kegunaan zamannya (teks ini berlainan dengan kandungan al-Quran yang sebenar. Nabi Sulaiman A.S membuat perhiasan manakala Nabi Daud A.S membuat senjata). Begitu jugalah halnya dengan usaha ini, walaupun tidak boleh mengkristiankan umat Islam, tetapi cukup sekadar pihak gereja dapat memberi pertolongan kepada orang yang lemah dan susah.

(Pierri Clury dalam Mahmud Hamdi Zaqzuq 1989: 7)

Selain itu menurut Lawrans Brown “bahaya yang sebenar adalah wujud dalam sistem Islam yang berkemampuan untuk berkembang dan mempengaruhi serta kesesuaiannya yang mana ia dengan ini dapat menjadi satu-satunya benteng yang boleh menyekat penjajahan Eropah”.

Faktor seterusnya yang mendorong gerakan orientalisme ini ialah penjajahan yang mana setelah kaum Nasrani telah kalah dalam Perang Salib. Apa yang bermain di dalam fikiran mereka ialah “apakah yang telah mendorong kekuatan mereka (umat Islam)”. Para orientalis telah mengkaji adat istiadat, kebudayaan, agama serta hal-hal yang lain yang berkaitan dengan agama Islam untuk dijadikan bahan dalam gerakan menjajah umat Islam serta negara mereka. Ketika kekuasaan berada di tangan mereka, mereka telah cuba menanam perasaan ragu-ragu dan benci dalam diri muslimin terhadap agama Islam. Ia juga adalah penyebab mengapa umat Islam tunduk kepada penjajah dan mengagungkan kebudayaan Barat serta memandang rendah terhadap kebudayaan Islam.

Dorongan yang ketiga yang menggerakkan pergerakan orientalisme adalah faktor perniagaan. Keinginan Barat untuk berdagang dengan orang Islam telah mendorong para orientalis mencari tempat-tempat pemasaran bagi barang-barang keluaran mereka. Sekaligus mereka cuba mendapatkan bahan-bahan perniagaan dari negeri-negeri Timur dengan harga yang murah kemudian mereka menjualnya kembali dengan harga yang mahal dan tinggi.

Faktor seterusnya ialah politik. Dorongan ini timbul setelah negara-negara Islam mancapai kemerdekaan dan terdapat kedutaan-kedutaan negara Barat di sana. Di sebahagian kedutaan itu terdapat bahagian kebudayaan yang berfungsi untuk menyebarkan kebudayaan negara masing-masing dan ia merupakan pusat kajian mereka terhadap kebudayaan negeri di mana mereka berada ketika itu. Tujuan utamanya ialah semata-mata untuk menyebarkan kebudayaan mereka sekaligus mencuba untuk memusnahkan dan menghapuskan kebudayaan agama Islam. Di dalam buku yang telah dikarang oleh T.K.H. Ismail Yaakub mengatakan bahawa setelah Barat dan Timur berpecah, negeri-negeri di Eropah telah menggiatkan usaha-usaha untuk menakluki dan menguasai negeri-negeri Islam di Timur (Abdul Halim Mat Diah 1989: 61). Mereka mencari kelemahan-kelemahan negeri tersebut untuk mereka menguasainya dalam segala bidang terutamanya politik. Melalui politik, mereka menyemai semangat perpecahan di antara umat Islam sehingga ia menyebabkan kebanyakan negara-negara Islam di Timur telah mencapai kemerdekaan tetapi cara pemerintahannya tetap dipengaruhi oleh Barat. Gerakan pembaratan (westernisasi) dikembangkan dalam bidang kebudayaan dengan alasan modenisasi yang merupakan ke arah kristianisasi yang mana semua usaha mereka itu adalah hanya untuk menghapuskan syariat Islam dan kebudayaan nasional. Ia dilakukan setelah mereka mengetahui tentang sikap-sikap kebanyakan pemimpin utama yang bertanggungjawab dalam mengatur strategi negara.

Faktor lain yang mendorong gerakan orientalisme selain daripada yang telah disebutkan ialah merupakan dorongan ilmiah bagi memahami selok –belok agama, adat serta budaya dan bahasa Islam. Ia telah berlaku setelah sekian lama iaitu mulai berlakunya peristiwa perhubungan dan keilmuan di antara orang Islam dan Barat melalui pertukaran maklumat dan sebagainya. Sebahagian kecil daripada orientalis-orientalis telah mempelajari soal-soal ketimuran dan agama Islam dengan maksud ilmiah semata-mata. Ada juga di antara mereka mendapat petunjuk dari Allah S.W.T lalu terus memeluk agama Islam dan menjadi seorang tokoh Islam yang penting setelah mereka mengkaji, meneliti serta menyelidik apa sahaja yang berkaitan dengan agama Islam. Salah seorang daripadanya ialah Et Dinet ( 1861 – 1929 Masihi ) (Abdul Halim Hj.Mat Diah 1989: 62).


2.4 Perkembangan Ilmu pengetahuan Islam di Empayar Jerman

Beberapa tahun kemudian, lahirnya seorang tokoh Eropah yang bersikap sederhana dan berfikiran terbuka terhadap Islam seperti Frederick II iaitu seorang gabenor (hakim) di Wilayah Sivilla. Baginda menjadi pemerintah pada tahun 1215 Masihi di Jerman. Baginda juga mempunyai minat yang mendalam terhadap ilmu dan falsafah Islam. Baginda mahir dalam bahasa Arab dan penampilannya juga menyerupai orang Arab. Di istananya telah berkembang ilmu pengetahuan Islam malah Raja Frederick dan anaknya Manfred telah menghadiahkan buku-buku terjemahan falsafah Arab kepada Universiti Pologne di Paris.

Pada tahun 1224 Masihi, Universiti Napoli telah diasaskan oleh baginda dan menjadikannya pusat akademik yang mana baginda memasukkan ilmu-ilmu Islam ke dunia Barat. Pada tahun 1239 Masihi, paderi Gregory IX telah menghalau baginda dari gereja. Baginda dituduh kerana memberi layanan yang baik terhadap agama dan umat Islam.

2.5 Orientalisme dan Kristianiti

Gerakan orientalisme ini ditubuhkan di atas tujuan utama iaitu untuk mengenali serta mengetahui bahasa Timur supaya mereka dapat mengenal tamadun dan akidah dunia Timur. Gerakan kristianiti pula adalah untuk mengkristiankan orang yang bukan beragama Kristian dan untuk itu, mereka perlu mengetahui bahasa orang yang hendak dikristiankan. Maka ia amat bersesuaian dan serasi dengan gerakan orientalisme sekaligus menjadi pendorong bagi gerakan ini.

Pada kurun ke-13, penyebar agama Kristian dikehendaki mempelajari bahasa orang Islam iaitu bahasa Arab supaya rancangan mereka berjaya. Rogen Becon (1214-1294 Masihi) merupakan seorang warga Eropah yang mempunyai semangat yang tinggi untuk mempelajari bahasa Arab bagi tujuan kristianiti. Baginya, gerakan kristianiti adalah satu-satunya jalan yang boleh digunakan untuk meluaskan empayar Kristian dengan berlandaskan tiga syarat utama iaitu :

i. Mengkaji hujah-hujah serangan untuk ditangkis.
ii. Mengkaji jenis-jenis kufur dan membezakan satu sama lain.
iii. Mengetahui bahasa asasi.

Pada penhujung zaman pertengahan, hubungan diplomasi dan politik di antara kerajaan Uthmaniah telah terjalin dan ia telah memberi peluang kepada gerakan ini untuk memajukan kajian mereka mengenai negara dan orang Timur. Ia memberi kesan yang besar kepada gerakan orientalisme contohnya apabila hubungan ekonomi antara negara Sepanyol, Itali, Turki, Syria dan Mesir terjalin. Pada kurun ke-16 dan selepasnya adalah merupakan zaman kebangkitan negara-negara Eropah dalam pengkajian ilmu. Manakala kursus bahasa Arab telah ditubuhkan di Kolej De France, Paris pada tahun 1539 Masihi. Orientalis yang pertama bekerja di kolej tersebut ialah Guillaume Postel iaitu pada tahun 1581 Masihi. Beliau memberikan sumbangan yang besar terhadap perkembangan kajian bahasa dan orang Timur di Eropah lantaran beliau pernah mengumpul manuskrip yang penting ketika berada di Timur. Joseph Scaliger pula menjejaki langkah Guillaume Postel dengan bekerja di kolej tersebut serta memberi sumbangannya pada tahun 1609 Masihi.

Guillaume Postel pernah menyatakan di Perhimpunan Gereja Vienna mengenai kepentingan mempelajari bahasa Arab :

…..ia mendatangkan faedah dari segi perhubungan antarabangsa di antara orang Islam, Barat, Mesir, Syria, Parsi, Turki, Tartar dan India. Ia juga mempunyai nilai kesusasteraan yang tinggi dan sesiapa yang boleh menguasainya berupaya untuk menyerang semua musuh Kristian dengan hanya menggunakan kitab al-Muqaddas sebagai senjata. Ia juga berjaya menghilangkan kepercayaan yang dianuti dan seterusnya seseorang yang boleh bertutur dalam bahasa Arab akan dapat berhubung dengan dunia seluruhnya.

(Guillaume Postel dalam Said 1978: 81)

Guillaume Postel berasa bangga kerana beliau mengembara dari Asia ke negeri China tanpa menggunakan perantaraan sebagai penterjemah.

Pada kurun ke-17, Ferdinand De Medici dan Tuscany telah mereka alat-alat percetakan yang mana ianya telah memudahkan kerja-kerja penerbitan buku-buku terjemahan bahasa Arab di Eropah. Antara kitab yang diterbitkan ialah kitab yang ditulis oleh Ibnu Sina iaitu berkaitan dengan perubatan dan falsafah.

Perkembangan ini telah mendorong para orientalis mengumpul manuskrip-manuskrip Islam serta menubuhkan kursus bahasa Arab di beberapa pusat pengajian seperti di Universiri Cambridge pada tahun 1630 Masihi. Kursus ini diadakan dengan dua matlamat iaitu untuk bidang perdagangan dan aliran kristianiti. Sepucuk surat yang bertarikh 9 Mei 1636 yang ditulis oleh ahli-ahli akademik Universiti Cambridge yang terlibat dalam mengasaskan kursus tersebut telah membuktikan kesahihan matlamat ini. Ia berbunyi :
Kita tahu bahawa usaha kita bukan sahaja bertujuan mengkaji kesusasteraan yang tinggi nilai dari segi ilmu pengetahuan, tetapi juga untuk berbakti kepada raja dan negara dengan pengalaman yang diperolehi dari dunia Timur. Seterusnya kepada yang mengagungkan Allah berpandukan kepada batasan gereja dan seruan agama Kristian bagi mereka yang masih berada di dalam zaman kegelapan.

(Taybawi 1963 dalam Mahmud Hamdi Zaqzuq 1989: 12)

Isi kandungan tersebut telah menjelaskan dan memperkukuhkan lagi bahawa betapa eratnya hubungan antara gerakan orientalisme dan kristianiti tanpa mempersoalkan perbezaan tujuan dan matlamat masing-masing. Malahan perjanjian tersebut berlanjutan di dalam berbagai bentuk hinggalah hari ini.

Orientalis yang bernama Thomas Erpenius (1584-1624 Masihi) iaitu seorang profesor yang pertama memegang jawatan dalam kursus bahasa Arab di Universiti Leidin pada tahun 1613 Masihi adalah merupakan seorang tokoh yang berperanan penting dalam meluaskan kajian bahasa Arab di Eropah. Usahanya telah meletakkan Belanda sebagai pusat kajian selama hampir dua kurun. Beliau menganggap al-Quran merupakan kemuncak bahasa yang sangat tinggi akan tetapi kandungan adalah lucu seolah-olah ia dicedok dari kitab Injil. Begitu juga dengan Nabi S.A.W dan ajarannya yang dikatakan selaras dengan sikap orang Barat yang menjauhkan diri dari ajaran-ajarann2.6 Percubaan yang Bersungguh-sungguh untuk Memahami Islam

Islam dianggap sebagai musuh dalam semua aspek bagi gerakan kristianiti. Pada kurun ke-17 keadaan ini telah berubah apabila muncul golongan yang melihat Islam secara objektif. Ia merupakan satu pemikiran yang rasional yang berbeza sama sekali dengan pemikiran dari gereja di Eropah. Pada ketika itu, lahirlah penulisan-penulisan yang baik, adil dan saksama terhadap Islam seperti buku yang bertajuk “al-Tarikh al-Naqdi ‘Aqa’id Wa ‘Adat Umam al-Sharq” (Kritikan Sejarah Aqidah dan Adat-adat Bangsa Timur) yang ditulis oleh Richard Simon pada tahun 1684 Masihi. Namun begitu terdapat juga penulis lain yang menganggap tulisannya keterlaluan daripada yang sepatutnya berhubung dengan sikap yang objektif terhadap Islam. Orang yang dimaksudkan ialah Arnould.

Pierre Bayle yang merupakan seorang ahli falsafah Barat pula berasa kagum terhadap Islam dan beliau telah menceritakan tentang sejarah kehidupan Nabi S.A.W di dalam sebuah kamus iaitu “Tarikh dan Kritik”. Ianya merupakan terbitan yang pertama di Rotterdam pada tahun 1697. Manakala Simon Dokley (1678-1770 Masihi) pula telah menulis sebuah kitab yang membicarakan tentang Islam secara relatif dan mengakui keagungan Islam yang menandingi Barat. Kitabnya bertajuk “Tarikh al-Sarasinah” ( orang Islam Arab).

Hadrian Relond (1718 Masihi) merupakan seorang profesor bahasa Timur di sebuah universiti di Belanda iaitu Universiti Utarashat. Beliau telah mengarang buku yang bertajuk “al-Diyanah al-Muhammadiah” (Agama Muhammad) yang ditulis menggunakan bahasa Latin. Buku tersebut telah diterbitkan dalam dua jilid pada tahun 1705 Masihi. Karangannya memperkukuhkan lagi aliran baru dalam memahami Islam yang sebenar. Hadrian Relond menghadapi tentangan dan pelbagai reaksi mengenai kandungan kitabnya. Akhirnya buku yang dikarang oleh Relond telah diharamkan oleh pihak gereja Katholik. Pada kurun ke-18, seorang orientalis yang berbangsa Jerman iaitu J.J. Reiske (1716-1774 Masihi) yang merupakan seorang pakar dalam bahasa Arab dan beliau merupakan orang pertama yang berusaha untuk mengadakan pengajian bahasa Arab di Jerman. Beliau telah ditindas dan mengalami kesusahan yang teramat dari segi keewangan disebabkan penulisan yang telah dilakukannya dalam sebuah buku yang menunjukkan beliau menerima secara positif terhadap Islam dalam gaya bahasa yang berterus-terang tanpa mempedulikan risiko yang akan diterima.

Maxim Rodenson berkata :

Yang sebenarnya pada kurun ke-18, pandangan orang Barat terhadap Islam adalah pandangan persaudaraan yang jelas, dan sesungguhnya akal fikiran “manusia sama dari segi kurniaan Allah” telah menjadi suatu asas penyebaran agama yang merupakan sangkaan baik dan penuh semangat. Ini juga telah mendorong orang ramai supaya mengkaji secara kritikal akan segala tuduhan yang telah dilemparkan oleh orang yang terdahulu terhadap Islam…pada masa aman inilah mereka menganggap umat Islam seperti manusia lain juga malah ada di kalangan mereka sendiri lebih diutamakan daripada orang sendiri.

(Turath al-Islam dalam Mahmud Hamdi Zaqzuq 1989: 16)

Rodenson juga mengatakan bahawa pada kurun ke-19, agama Islam tetap menjadi musuh mereka dan negara-negara Timur adalah seumpama negara yang hancur setelah zaman kegemilangannya. Kata-kata ini menyebabkan perubahan pandangan terhadap Islam oleh orang-orang Barat. Setelah itu, lahirlah satu teori yang membahagikan mereka kepada dua kumpulan iaitu Arriyah dan Samiyyah.

Arriyah merupakan ahli pencipta tamadun dan ahli pereka alat-alatan manakala Samiyyah pula mempunyai pemikiran yang cetek dan rendah nilai falsafahnya. Untuk melihat bagaimana perkembangan gerakan Orientalisme hingga kemuncaknya, hubungan gerakan tersebut tidak boleh ditolak atas dasar penjajahan Barat dan seterusnya mempengaruhi pandangan orang Barat terhadap Islam.


2.7 Zaman Kejayaan Orientalisme

Kejayaan gerakan orientalisme ini boleh dikatakan berlaku pada kurun ke-19 dan dua puluh. Pada Mac 1795 Masihi, sebuah sekolah bahasa Arab telah ditubuhkan oleh ketua pemberontakan di Paris. Tujuan ia ditubuhkan adalah untuk meneliti sumbangan sains dan sastera dalam bahasa Arab serta mendapatkan faedah yang praktikal. Gerakan ini bermula dalam bidang akademik yang dipelopori oleh Slivestre De Sasy (1838 Masihi). Beliau berusaha dengan gigih dan tekun hingga berjaya menjadikan Paris sebagai pusat pengajian bahasa Arab dan tumpuan para pengkaji dan cendekiawan Eropah. Sekolah tersebut menjadi sekolah contoh bagi pertubuhan akademik orientalisme dan sekularisme. Mereka hanya menumpukan kepada pengajian nahu dan sastera Arab sahaja dan tidak bersentuhan dengan agama Islam.

Di universiti-universiti, golongan agama masih lagi berkuasa dan ini menyebabkan lahirnya golongan sekular di Jerman dan Austria. Salah seorang pemimpinnya ialah J.V. Hammer Purgstall (1856 Masihi).

Mengenai pembentukan aliran ilmu dalam gerakan orientalisme pada kurun keke-19, Poret mengatakan :

“Ketika manusia telah bersedia mengalihkan pandangan yang lalu daripada segala bentuk tindak balas dan mengakui bahawa dunia Timur mempunyai keistimewaannya yang tersendiri yang dikuasai oleh peraturannya yang tertentu. Ketika mereka berusaha memindahkannya dalam bentuk yang objektif, setakat mana yang mereka berupaya melakukannya”.

(Ibrahim al-Bari 1970 15).

Kata-katanya telah menunjukkan bahawa perpecahan di antara orientalisme dan Kristian telah melahirkan satu aliran yang hanya menumpukan kepada kajian bahasa Timur, adat dan akidahnya sahaja. Soal waktu kemunculan aliran ini tidak dapat dipastikan dengan tepat akan tetapi terdapat satu andaian yang mengatakan ia wujud pada pertengahan kurun ke-19. Menurut Poret lagi :

Kalau kita bertujuan untuk memudahkan perbincangan berhubung dengan pertengahan kurun ke-19 maka suasana akademik dengan makna moden telah lahir pada waktu itu bagi orientalisme lebih jelas daripada yang sebelumnya. Niat untuk memahami sesuatu tajuk secara objektif telah ada sebelum itu dengan banyaknya. Ini dapat dibuktikan daripada beberapa kenyataan kajian bahasa Arab. Oleh sebab inilah para orientalis berusaha dalam bidang bahasa dengan tujuan untuk menjauhkan serangan orang Islam pada masa kini. Manakala para orientalis yang berusaha di dalam pengajian Islam dituduh sebagai mempunyai niat buruk dalam perkara-perkara yang biasa.

(Poret dalam Mahmud Hamdi Zaqzuq. 1989)

Pada akhir kurun ke-19, Islam telah dijadikan sebagai satu pengajian sehingga ramai pakar dalam pengajian Islam dan bahasa Arab dapat dilahirkan antaranya Valhosen, Goldziher dan Noldekeh. Mereka adalah pakar dalam pengajian tersebut disamping pengajian bahasa Yahudi dan kitab Injil. Pada tahun 1961, Kolej Jerman ditubuhkan bagi kajian-kajian Timur di Beirut. Kolej ini mengeluarkan dua siri kajian berhubung dengan Islam dan bahasa Arab iaitu “al-Nasyarat al-Islamiyyah” dan “Nusus Wa Dirasat”, pengendaliannya dilakukan secara bergilir-gilir oleh beberapa orang orientalis yang merupakan professor dalam kursus orientalis di universiti-universiti di Jerman.

2.8 Bentuk-bentuk Gerakan Orientalisme

Para orientalis mula menubuhkan persatuan-persatuan pada pertengahan kurun ke-19 bagi mengikuti perkembangan pengajian Timur di Eropah dan Amerika. Persatuan pertama ditubuhkan pada tahun 1822 iaitu Persatuan Asia di Paris dan diikuti dengan Persatuan Raja-raja Asia di England dan Ireland pada tahun 1823. Kemudian pada tahun 1842, Persatuan Ketimuran Amerika telah ditubuhkan. Seterusnya Persatuan Ketimuran Jerman pada tahun 1845 pula diwujudkan. Persatuan ini berfungsi dan bergerak dengan menerbitkan majalah dan sebagainya. Majalah orientalis yang pertama iaitu majalah “Ya naba’i al-Sharq” (Pancaran Timur) telah diterbitkan pada tahun 1809 hingga tahun 1818 di Vienna. Majalah yang memberi penumpuan khusus tentang dunia Islam telah diterbitkan di Paris pada tahun 1895 iaitu “Majalah al-Islam”. Selepas itu majalah “al-‘Alam al-Islami” telah diterbitkan di Maghribi oleh Utusan Akademik Perancis. Kemudian ia ditukar kepada “Majalah al-Dirasat al-Islamiyyah”.

Pada tahun 1910 pula “Majalah al-Islam al-Almaniyyah” (Der al-Islam) diterbitkan. Manakala pada tahun 1912 pula sebuah lagi majalah diterbitkan iaitu “Majalah ‘Alam al-Islam”(Mir Islam) di Rusia. S.Zewemer (1952 Masihi) merupakan seorang ketua penyebar agama Kristian di Timur Tengah. Pada tahun 1911, beliau telah menerbitkan majalah “al-‘Alam al-Islami” di Britain. Ini menguatkan apa yang telah disebutkan sebelum ini bahawa hubungan di antara orientalis dan Kristian tidak terputus hingga kini. Pada kurun ke-19, beberapa perhimpunan antarabangsa yang memberi peluang kepada orientalis untuk bergabung tenaga serta mengenal pasti tugas masing-masing. Perhimpunan yang pertama telah diadakan pada tahun 1873 Masihi di Paris. Kemudian perhimpunan tersebut dikemaskini semula dan sehingga sekarang terdapat 30 buah perhimpunan telah diadakan. Perhimpunan pertama oleh orientalis Jerman diadakan pada tahun 1849 di Bandar Darsden Jerman dan ia masih diadakan hingga kini. Sebagai contoh perhimpunan di Oxford telah dihadiri oleh 950 orang pakar dari 25 buah negara, 85 buah universiti, 69 buah pertubuhan akademik dan seramai 14 kumpulan pembentang kertas kerja. Setiap pembentang kertas kerja akan membincangkan mengenai pengajian ketimuran dalam bidang-bidang tertentu. Hasil kajian-kajian tersebut kemudian diterbitkan di dalam beberapa jilid sebagai rujukan dan panduan peraturan yang asas oleh pengkaji yang seterusnya (Mahmud Hamdi Zaqzuq. 1989).

2.9 Orientalisme dan Penjajahan

Penjajahan Barat di dunia Islam telah menukar pandangan orang Barat terhadap dunia Timur. Pada pertengahan kurun ke-19 bahan-bahan warisan orientalis telah dieksploitasi oleh pihak penjajah dengan tujuan untuk memperluaskan kawasan jajahan mereka di Timur sekaligus memperkukuhkan kedudukan orientalisme dan memajukan pergerakannya (Turath al-Islam dan Said dalam Mahmud Hamdi Zaqzuq. 1989). Pada tahun 1957, India telah berjaya dikuasai oleh British sepenuhnya secara rasmi. Sejak kurun ke-17, India hanyalah dikuasai dan dinaungi oleh Syarikat India Timur. Kemudian Algeria jatuh ke tangan Perancis pada tahun 1858 setelah diserang oleh Perancis pada tahun 1830. Setelah itu, pada permulaan kurun ke-17, Indonesia telah berjaya ditawan oleh Belanda melalui Syarikat India-Belanda. Kemudian Mesir dan Tunisia pula ditawan pada tahun 1881. Pihak penjajah telah berjaya menawan negara-negara Islam sedikit demi sedikit dan akhirnya berjaya menguasai keseluruhannya sehingga setelah tamat Perang Dunia Pertama, Eropah dapat menguasai hampir keseluruhan negara Islam (Muhammad al-Bahi 1973 : 29-45).

Sebahagian orientalis telah digunakan oleh penjajah untuk melemahkan dan menundukkan umat Islam dan ia disokong oleh segolongan orientalis akan tetapi masih terdapat beberapa orientalis yang lain tidak bersetuju dengannya dan mereka menganggap para penjajah sebagai pengecut. Karl Hernrich Becker (1933) telah menjalankan kajiannya dengan tujuan dasar penjajahan Jerman di Afrika sehingga tahun 1918 yang mana pada ketika itu Jerman berjaya menjajah beberapa negara Islam. Beliau merupakan seorang pengasas “Majalah al-Islam” di Jerman pada ketika itu. Pada tahun 1887, sebuah kolej bahasa-bahasa Timur telah ditubuhkan dengan tujuan untuk mendapatkan maklumat yang berhubung dengan kebudayaan dan rakyat Timur.

Barthold (1930) yang merupakan seorang pengasas majalah “al-Alam al-Islam Russia” (Mir Islam) pula telah membuat kajian terhadap dasar peluasan penjajahan kerajaan Rusia di Asia Tengah. Snouck Hurgronje (1936) pula adalah merupakan seorang pengkaji Belanda. Beliau telah berhijrah ke Makkah al-Mukarramah dengan menggunakan nama Abdul al-Ghaffar pada tahun 1885 untuk berkhidmat dengan penjajah. Beliau menjadi seorang pemimpin dan memainkan peranan penting dalam pembentukan dasar-dasar politik, kebudayaan dan jajahan Belanda di India Timur.

Orientalis De Socy bekerja di bawah Kementerian Luar Negeri Perancis sejak tahun 1805 sehingga Algeria diserang oleh Perancis pada tahun 1830. Sebelum beliau dilantik menjadi penasihat Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Pertahanan, beliau telah menterjemahkan bahan-bahan propaganda dan telah menasihati semua masalah yang berhubung dengan Negara Timur. Kemudian beliau diganti oleh Masignoen yang bertugas sebagai penasihat Pejabat Pentadbiran Penjajahan Perancis dalam segala urusan yang berhubung dengan Islam (Edward Said, 146,221).

Hanoto (1944) juga merupakan seorang orientalis mengatakan bahawa mereka (orientalis) berhadapan dengan Islam dan masalah Islam dan cuba untuk melemahkan akidah umat Islam supaya mereka mudah untuk menguasainya. Beliau telah mencadangkan supaya arahan dasar penjajahan politik Perancis di negara Islam di Afrika dijalankan. Pada awal kurun ke-20, India telah dikuasai oleh British dan cadangan untuk menubuhkan sebuah institusi pengajian Timur telah dicadangkan oleh Lord Curzon dengan penuh semangat. Ia bertujuan untuk memperkuatkan lagi empayar British di Timur. Institusi tersebut kemudiannya menjadi Universiti London bagi pengajian Timur dan Afrika.

Mereka menumpukan perhatian kepada pengajian di negara Timur yang meliputi dan mengandungi aspek akidah, akhlak, kebudayaan serta adat dan sumber-sumber alam dengan tujuan untuk mengetahui punca-punca kekuatan dan kelemahan yang sedia ada (Edward W. Said. 1981). Menurut Edward Said, hubungan antara orientalis dan penjajah sangat mendalam dan bukan setakat memberi alasan yang rasional semata-mata. Orientalis bekerjasama dengan penjajah adalah untuk melemahkan rohani umat Islam dan meragukan dan memutarbelitkan akidah umat Islam dan warisan serta pengikutnya sehingga akhirnya berjaya ditundukkan oleh penjajah di bawah tamadun dan kebudayaan Barat.
2.10 Yahudi dan Orientalisme

Persoalan yang utama ialah apakah sebab yang mendorong orang Yahudi menyahut gerakan orientalisme dan apakah peranan yang dimainkan oleh Yahudi di dalam pergerakan itu? Jawapan untuk persoalan ini terlalu sukar untuk diberikan dan diterangkan mungkin kerana orientalis-orientalis Yahudi mempunyai keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan gerakan ini. Seorang Yahudi yang bernama Goldziher talah mencapai kejayaannya untuk menjadi seorang pakar dalam pengajian Islam di Eropah. Orang Yahudi berusaha sebagai orientalis Barat untuk mencapai dua keuntungan sekaligus. Pertama, mereka melibatkan diri dalam semua gerakan orientalisme dan yang kedua mereka dapat mencapai matlamat mereka terhadap Islam yang mana tujuannya itu adalah hampir serupa dengan kebanyakan para orientalis.

Menurut Muhammad al-Bahi (1985) di dalam bukunya “al-Fikr al –Islami al-Hadis” telah menerangkan tentang hubungan dan sebab-sebab orang Yahudi menerima dan melibatkan diri dalam pergerakan orientalisme ini. Sebab-sebabnya ialah semata-mata kerana agama dan politik. Agama merupakan sebab yang membolehkan orang Yahudi cuba untuk memutarbelitkan serta melemahkan Islam dan dalam masa yang sama mereka menonjolkan dan menimbulkan kelebihan dan kehebatan orang Yahudi serta mendakwa bahawa sumber Islam yang pertama adalah Yahudi. Manakala politik pula merangkumi aspek fikiran dan negara yang mana ia berhubung dengan perkhidmatannya terhadap pergerakan Zionisme. Muhammad al-Bahi juga berpendapat bahawa gejala-gejala dan suasana yang serupa yang terdapat dalam penulisan orientalis mengukuhkan lagi pandangan ini.(Majalah “al-Bahith” hal.144). Orang Yahudi menganggap bahawa selain daripada zionisme, gerakan orientalisme ini merupakan salah satu cara atau jalan untuk mereka memusnahkan agama Islam kerana sepanjang sejarah dunia, Yahudi sentiasa mencari jalan untuk menjatuhkan Islam.

2.11 Masa Depan Orientalisme

Beberapa lagi persoalan mengenai masa depan orientalisme timbul. Adakah orientalisme akhirnya berjaya atau gagal dan lemah terutamanya setelah penjajahan di dunia Islam telah pun berakhir? Di manakah gerakan ini berada pada waktu sekarang? Apakah sikap Eropah berhubung dengan bantuan bagi gerakan ini? Terdapat tuduhan dan kritikan diajukan kepada gerakan orientalisme ini yang melibatkan aspek yang pelbagai walaupun dari punca yang berlainan menurut seorang ahli politik Jerman :

Sudah sampai masanya untuk menjauhkan orientalis-orientalis yang mengutamakan bahasa Arab, dan menyediakan diri mereka untuk menerima peranan baru sebagai satu kuasa yang positif untuk berkhidmat kepada ilmu kemasyarakatan, sebagai persediaan untuk memikul tugas memanifestasikan dan menghuraikan di dalam berbagai-bagai bidang kehidupan

Para orientalis menolak pernyataan yang mengatakan bahawa peranan mereka telah berkurangan akan tetapi mereka masih mengakui kelemahan masing-masing. Menurut pandangan Islam, apa yang perlu diberi perhatian mengenai orientalisme adalah pegangan dan semangat permusuhan mereka. Inilah yang menyebabkan sebahagian pakar Islam adalah dari kalangan orientalis. Adakah para orientalis itu telah bersedia untuk mengubah cara mereka yang berhubung dengan kajian terhadap Islam serta bersikap objektif demi ilmiah yang tulen? Terdapat tanda-tanda yang menunjukkan bahawa para orientalis mula bertimbang rasa dalam menghuraikan sesuatu masalah yang berkaitan dengan Islam seperti M.Rodinson, Jake Berk dan Ana Mary Samuel.

Terdapat juga ramalan yang berhubung dengan pengakhiran gerakan orientalisme akan tetapi kita tidak boleh mengatakan bahwa gerakan ini telah mulai mundur malah sebaliknya gerakan ini sebenarnya masih berjalan dan bergerak. Kolej-kolej yang ditubuhkan bertaburan di kebanyakan negara terutama di Eropah dan Amerika. Kesan dari pengkajian orientalisme di antaranya ialah bidang pengkhususan dari kalangan orientalis telah bertambah dan orientalisme mamainkan peranannya dengan mengadakan kajian dalam bidang Islam. Ini merupakan sebahagian dari kejayaan mereka dan ianya sudah tentu bukan tanda-tanda yang menunjukkan bahawa orientalisme ini telah mundur.

Satu aliran telah didapati bahawa ia terdapat di dalam gerakan ini yang mana ia menumpukan perhatian kepada bahasa kerana ia dianggap boleh menyelesaikan masalah-masalah yang timbul. Menurut M.Rodinson dalam Mahmud Hamdi Zaqzuq 1989, penguasaan pengajian bahasa Arab mula terancam disebabkan ini. Pada tahun 1961, satu nadwah tentang ilmu sosial Islam telah diadakan di Brussal. Ia merupakan satu perkara yang menjelaskan mengenai kemunculan dan permulaan bidang yang baru. Kuasa penjajahan terhadap dunia Islam telah terhapus dan terkubur tidak bermakna pergerakan orientalisme turut tenggelam dan akhirnya sama-sama tertanam. Zaman kejayaan orientalisme adalah pada pertengahan kedua kurun yang telah lalu dan separuh yang pertama kurun ini. Pada ketika itu ramai pakar Islam telah lahir dari kalangan para orientalis dan kini terdapat juga anak-anak didik mereka yang menyambung usaha gerakan ini.

Kerajaan Eropah sangat mementingkan usaha gerakan orientalisme ini. Mereka memberi bantuan dari segi kewangan supaya gerakan ini dapat bergerak dengan lancar. Sebahagian daripada para orientalis menganggap ianya sebagai satu tekanan sepertimana yang dikatakan oleh (Ulrich Herman dalam Majalah al-Bahith: 144), “Benar, di sana ada tekanan daripada pihak yang menghulurkan bantuan kewangan supaya mereka dapat menguasai bahasa Arab Islam yang dianggapnya sebagai kawasan yang bergelora, dan di situlah tersembunyinya kepentingan Barat”.

Oleh itu kepentingan Barat mempunyai hubungkaitnya dengan sokongan dan dorongannya terhadap gerakan orientalisme dan ianya menyebabkan gerakan ini boleh terus melakukan aktiviti gerakannya bergantung kepada sokongan kewangan yang telah diberikan. Bantuan kewangan ini pula bergantung kepada sejauhmana Barat memerlukannya serta kepentingannya di dunia Islam. Tidak terdapat apa-apa tanda yang menunjukkan Barat bersedia mengundur diri daripada misi kepentingannya. Orang-orang Barat akan terus memerlukan gerakan orientalisme ini atas tujuan kepentingan mereka.
2.12 Kegiatan-kegiatan Gerakan Orientalisme

Orientalisme terus berkembang dengan pesatnya pada abad ke-15 Masihi. Gerakan tersebut melakukan pengeluaran majalah-majalah serta mencuri buku-buku dari perpustakaan Islam sebanyak 250,000 jilid pada abad ke-9 menurut Mustafa Al-Siba’I dalam Abdul Halim Hj. Mat Diah 1989. Mereka menyusun berbagai strategi untuk mencapai matlamat mereka. Kegiatan-kegiatan yang sistematik dan tersusun telah mereka lakukan seperti :

i. Membuat penulisan buku-buku ilmiah yang mengandungi isi kandungan yang berkaitan dengan isu-isu masalah ketimuran yang mengkhususkan kepada kaitannya dengan Islam.
ii. Mengadakan kongres-kongres.
iii. Berceramah serta berforum secara ilmiah di universiti-universiti.
iv. Menerbitkan majalah-majalah.
v. Menyelitkan atau memasukkan artikel dan keratan-keratan mereka ke dalam majalah tempatan.
vi. Menyebarkan sebaran-sebaran am dalam pelbagai bahasa.
vii. Menubuhkan yayasan-yayasan sosial dan pendidikan.
viii. Melakukan kegiatan yang berbaur politik.
ix. Mengadakan polisi pendidikan

Mereka menyebarkan fahaman orientalisme dengan menulis buku-buku yang berkenaan dengan Islam dengan cara penulisan secara ilmiah, menggunakan metodologi dan sistem yang menarik akan tetapi dengan tujuannya yang asal iaitu menyelewengkan apa sahaja yang berkaitan dengan Islam. Mereka telah memasukkan keraguan-keraguan serta penghinaan ke atas agama Islam dan umatnya. Penyelewengan-penyelewengan dari fakta-fakta dan sejarah serta ilmiah yang objektif tentang Islam juga diselitkan di dalamnya. Terdapat ramai para intelek Islam telah terpengaruh dan terpedaya dengan gerakan orientalisme ini serta mengagung-agungkan karya para orientalis sekaligus telah tertipu oleh mereka tanpa disedari. Kemudahan-kemudahan yang ada telah menghasilkan para orientalis yang semakin bertambah bersama-sama dengan kepintarannya dari semasa ke semasa. Adakalanya orientalis-orientalis muda lebih mahir dan mantap daripada gurunya.

Kongres pertama yang mereka tubuhkan telah diadakan pada tahun 1873 Masihi di Paris. Kemudian ia diteruskan di London pula pada tahun 1874 Masihi. Seterusnya mereka melanjutkannya pada dua atau tiga tahun sekali. Perang Dunia Pertama telah menyebabkan kongres-kongres mereka terhenti selama 16 tahun manakala Perang Dunia Kedua pula telah menyebabkan ianya terhenti selama 10 tahun. Selepas kejadian perang tersebut, kongres-kongres mereka telah diaktifkan semula. Seminar-seminar dan diskusi-diskusi yang khusus juga diadakan kemudian hasil daripadanya itu mereka bukukan dan seterusnya disebarkan ke serata dunia. Semua daripada buku-bukunya telah dijumpai dan didapati di perpustakaan Eropah.

Salah satu cara lain mereka menyebarkan gerakan orientalisme ini ialah dengan menyampaikan ceramah-ceramah di universiri-universiti serta mengadakan forum-forum ilmiah. Setiap ceramah dan forum tersebut diselitkan secara halus hal-hal yang menyelewengkan serta bertentangan dengan ajaran dan kebenaran agama Islam. Ia juga mengandungi penghinaan-penghinaan terhadap agama dan umat Islam. Para orientalis pula kadangkala telah dijemput untuk memberikan ceramah di sesebuah kota dan negara Islam sedangkan di dalamnya sendiri terdapat ulama-ulama Islam yang lebih alim tentang Islam. Hal yang berlaku ini adalah sangat mendukacitakan.

Mereka juga menerbitkan majalah-majalah ilmiah. Antara sebahagian daripada majalah-majalah tersebut ialah :

i. Journal Asiatique yang telah diterbitkan pada tahun 1822 Masihi di Paris.
ii. Journal of the American Oriental Society telah diterbitkan di Amerika Syarikat pada tahun 1849 Masihi.
iii. Journal of the Royal Asiatic Society of Great Britain and Ireland diterbitkan di London pada tahun 1899 Masihi.
iv. The Moslem World diterbitkan pada tahun 1911 Masihi di Amerika Syarikat iaitu di Connecuticut dan lain-lain lagi.
v. Majalah Orientalis yang pertama diterbitkan pada tahun 1809-1818 Masihi di Vienna.
vi. Majalah Islam diterbitkan pada tahun 1895. Penerbitannya dilakukan oleh guru-guru bantuan Perancis yang dihantar ke Moroco dan kemudian ia ditukar atau diganti dengan majalah “Dunia Islam” pada tahun 1906 Masihi yang mana ia digantikan pula dengan majalah “Kajian Islam”.
vii. Majalah “DerIslam” atau Islam pula diterbitkan pada tahun 1910 Masihi di German.
viii. Majalah “MirIslama” atau Dunia Islam diterbitkan pada tahun 1912 Masihi di Rusia.
ix. Sejak 1911 Masihi, majalah “Dunia Islam” atau juga dikenali sebagai “The Muslim World” telah diterbitkan di Britain. Ia telah diasaskan oleh S.Zweimer.

Dalam majalah ini telah diselitkan juga hasil pemikiran mereka tentang sesuatu masalah yang hendak disampaikan kepada pembaca. Sebahagian daripada penerbitan ini dilakukan oleh kesatuan orientalis yang ditubuhkan di kebanyakan negeri. Antaranya adalah Kesatuan Orientalis Asia yang ditubuhkan pada tahun 1822 di Paris dan Kesatuan Diraja Asia pula yang telah ditubuhkan pada tahun 1942 di Ireland dan Britain dan di Jerman pula pada tahun 1845. Mereka juga mengeluarkan akhbar tempatan yang dibeli oleh umat Islam dan mengekalkan pengisian mereka.

Satu cara lagi adalah dengan menerbitkan kemudian memasukkan artikel-artikel ke dalam isi kandungan majalah-majalah tempatan yang terdapat di negara-negara Islam. Seperti biasa juga, dengan tujuan utama mereka, keraguan dan pengkhianatan terhadap Islam diselitkan dalam artikel yang mereka taburkan. Mereka agungkan kebudayaan Barat yang tidak dapat disedari oleh umat Islam sendiri kerana gaya bahasa penulisannya yang sangat halus. Hanya intelek-intelek Islam yang benar-benar memahami serta mendalami agama Islam sahaja yang dapat mengesan dan berwaspada dengannya.
Dengan menerbitkan sebaran-sebaran am juga mereka dapat menyebarkan pengaruh Kristian dan kebudayaannya serta menghina agama Islam dan pengikut-pengikutnya. Mereka juga mendirikan yayasan-yayasan sosial dan pendidikan dengan mengutuskan penyebar-penyebar agama Kristian ke negara Islam untuk menyebarkan pengaruh-pengaruhnya. Dari segi sosial, mereka telah menubuhkan hospital, klinik, dan sebagainya. Manakala dari segi pendidikan pula mereka dirikan taman bimbingan kanak-kanak hingga ke peringkat dewasa seperti pusat pengajian tinggi. Ia menjadi pusat pendidikan yang utama kepada anak-anak orang Islam. Dengan kesempatan yang ada, orientalis cuba untuk mengkafirkan anak-anak Islam yang belajar di situ dan paling kurang sekalipun, mereka juga berjaya mengelirukan anak-anak Islam itu tentang agamanya.

Kajian dan penyelidikan yang dilakukan dan dijalankan oleh para orientalis sangat berkait-rapat dengan keputusan politik dan pembentukan dasarnya di negara-negara Islam. Ramai kalangan orientalis yang menjadi penasihat di pejabat kedutaan mereka di negara Islam yang dijajah. Antaranya ialah Snoock Hogeronje yang merupakan seorang penasihat yang merangka strategi politik bagi kerajaan Belanda untuk menghadapi umat Islam di Indonesia. Beliau diberi tanggungjawab untuk mengkristiankan umat di sana di samping melaksanakan peraturan dan undang-undang sekular untuk para penduduk. Selain itu pula ialah Macdonald yang merupakan seorang penasihat kepada kerajaan British dalam merangka strategi dan dasar politik untuk menghadapi umat Islam di Benua Kecil India.

Kemudian orientalis Gibb juga merupakan seorang penasihat bagi kerajaan British yang bertugas dalam merangka strategi politik untuk Amerika dan Britain yang bersubahat dengan Israel dalam memusuhi Islam dan umatnya. Selain itu, L.Massignon pula merupakan seorang penasihat kepada kerajaan Perancis dalam mengatur strategi untuk menghadapi umat Islam di Afrika Utara terutamanya di Algeria. Strateginya telah menyebabkan lebih dari sejuta umat Islam mati syahid dalam menentang penjajahan Perancis. Bukan hanya mereka sahaja yang bekerja untuk menghadapi umat Islam. Malah masih terdapat ramai lagi tenaga orientalis yang bekerja dalam merangka berbagai-bagai strategi dan taktik untuk menghadapi umat Islam.

Mereka mendirikan sekolah-sekolah dan universiti-unversiti yang mempunyai kemudahan yang lengkap. Ia merupakan salah satu kegiatan dan strategi mereka dalam memperkembangkan pengaruh orientalisme ini. Ketika masih di bawah jajahan penjajah, di Tanah Melayu terdapat sekolah-sekolah yang elok dan mempunyai kemudahan yang lengkap yang mana ia dikendalikan oleh pihak gereja. Terdapat banyak bangunan sekolah yang diletakkan tanda salib di atasnya sama seperti bagunan gereja. Contoh sekolahnya adalah seperti Convent, Sent John, La Salle dan sebagainya. Orientalis berperanan untuk membantu penjajah atau paderi atau misionari dalam merangka kandungan kurikulum yang boleh membuatkan ia diterima oleh masyarakat Islam. Ia bertujuan untuk menanam secara halus dalam pemikiran umat Islam dan akhirnya mereka membesar dan berkembang dengan budaya Barat. Antara contoh pusat pengajian tinggi yang kebanyakannya didirikan dengan kerjasama pihak misionari :

1. American University di Kaherah. Ia didirikan untuk mewujudkan persaingan dengan Universiti al-Azhar yang dianggap sebagai kekuatan umat Islam di Mesir.
2. Universiti Amerika di Beirut yang mana ia juga dinamakan dengan Fakulti Syria Injil dan kemudian ia diganti dengan nama Universiti Beirut yang ditubuhkan pada tahun 1865 Masihi (Abdul Mun’im : 2001).

Kedua-duanya dikatakan memaksa pelajar-pelajar untuk memasuki gereja setiap pagi dan mengikuti upacara keagamaan yang dilakukan. Satu akta telah dikemukakan yang mana ia menyebut bahawa faedah agama Kristian wajib diberikan kepada setiap pelajar, Injil adalah antara mata pelajaran utama dan setiap pelajar yang memasuki institusi ini perlu mengetahui apa yang mereka mesti lakukan sejak awal lagi.

1. Universiti yang sama telah ditubuhkan di Turki iaitu di Istanbul oleh seorang pendakwah Kristian dan hingga kini ia diketuai oleh pihak misionari Kristian.
2. Di negara-negara Islam yang lain seperti Sudan, Lahore dan Lubnan serta yang lain-lain lagi juga ditubuhkan pusat-pusat pengajian yang seumpama dengannya.

Semua pusat pengajian yang ditubuhkan adalah untuk membantu penyebaran orientalisme. Ia membantu membantutkan persatuan-persatuan belia Islam dalam memelihara nilai-nilai agama Islam yang tulin.


BAB 3


Untuk memudahkan kita memahami tajuk orientalisme ini dengan lebih dekat, adalah lebih baik kita melihat kepada contoh-contohnya dari segi sikap-sikap orientalis, keburukan dan kebaikan kajian orientalis, orientalis-orientalis pada abad yang ke-19 dan ke-20, kegiatan-kegiatan yang dijalankan oleh mereka, pengaruh orientalisme yang terdapat di Malaysia dan akhir sekali ialah orientalis-orientalis yang telah dikenalpasti di Malaysia.

3.1 Sikap Orientalis

Sebagai pemula bicara dan tamsilan untuk memudahkan pemahaman, orientalis bolehlah dikisahkan seperti ini. Seorang pemuda bersungguh-sungguh memberitahu sahabatnya bahawa dia telah menemui seorang wanita yang cantik jelita. Walaubagaimanapun, lelaki itu tidak mahu orang lain mengetahui tentang kewujudan wanita yang cantik jelita itu. Jadi, dia hanya memberitahu bahawa wanita itu memang sempurna tetapi wajahnya berlubang-lubang. Sahabatnya yang mendengar pula terus mengganggap wanita yang cantik jelita itu cacat, sekalipun dia tidak sedar yang dia telah ditipu secara halus oleh sahabatnya. Memang betul wanita yang cantik jelita itu wajahnya berlubang-lubang kerana terdapat dua lubang hidung dan satu lubang mulut. Bahasa yang mengelirukan sengaja digunakan untuk mengelirukan orang lain agar tidak mempedulikan kewujudan wanita yang cantik jelita itu.

Begitulah tamsilan yang mudah untuk memberi gambaran awal tentang orientalis ini. Dalam contoh yang diberi, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian dan penelitian dalam menggambarkan sikap orientalis. Pertamanya ialah apabila kita bercakap tentang sesuatu perkara, kita perlulah terlebih dahulu melihat sendiri atau menyelidik sendiri untuk mencari hakikat sebenar apa yang kita katakan. Begitulah sikap orientalis kerana mereka bukan sahaja belajar Islam daripada jauh tetapi mendalami ilmu-ilmu Islam dengan mendalam dan tekun. Walaupun mereka orang Barat yang bukan Islam tetapi mereka amat mahir dalam bahasa Arab, ilmu nahu dan saraf, ilmu fiqh, tafsir, sirah, tauhid dan lain-lain lagi. Mereka mengkaji sendiri ilmu mereka sehingga setanding dengan ilmu para ulama’ Islam. Terdapat banyak faktor yang mendorong mereka melakukan kajian. Antaranya mereka ingin memahami Islam dengan sebenar dan biasanya menghasilkan karya-karya ikhlas dan benar tentang Islam serta menjelaskan kebenaran dan kehebatan Islam itu sendiri.

Perkara kedua pula ialah menggambarkan sikap sebahagian besar orientalis yang mana mengkaji sesuatu untuk mencari kelemahannya dan disebarkan kepada orang ramai. Apa sahaja kelemahan yang wujud dalam undang-undang Islam akan terus dikritik dan dijadikan kelemahan supaya orang ramai kurang yakin terhadap Islam. Sekiranya mereka tidak mendapati kelemahan Islam, mereka menggunakan kelemahan hasil penyelidikan umat Islam atau mencipta hujah-hujah yang tidak masuk akal, menzahirkan kebencian mereka terhadap Islam dan mereka mengkaji semata-mata untuk memburukkan Islam.

Antara sikap yang jelas boleh dilihat oleh umum ialah mereka sengaja memberi gambaran yang salah atau memutarbelit fakta tentang Islam dengan tujuan untuk mengelirukan dan menyesatkan umat Islam itu sendiri. Mereka mengkaji untuk mencari kelemahan Islam dan kemudian memperbesar-besarkannya. Walaupun kita sebagai umat Islam mengetahui bahawa syariat Allah itu sempurna dan tiada kelemahan, namun kelemahan segelintir para ilmuan Islam dalam mengemukakan pendapat yang kadangkala kurang tepat menyebabkan syariat Islam menjadi sasaran orientalis dan dipergunakan untuk memecahkanbelahkan umat Islam. Sebagai contoh, seorang orientalis, N.J. Coulson mengambil kesempatan terhadap sikap umat Islam yang terlalu fanatik terhadap mazhab. Beliau mendakwa di dalam buku penulisannya iaitu Conflicts and Tensions in Islamic Laws bahawa syariat Islam itu tidak konsisten kerana terdapat banyak perbezaan pendapat dalam undang-undangnya.

Walaupun perbezaan yang wujud adalah dalam masalah yang kecil, namun ia dianggap perbezaan prinsip bagi orientalis ini. Orientalis lain yang juga bersikap seperti ini ialah Joseph Schacht. Beliau merupakan orientalis yang membuat kajian tentang hadis dan mendakwa bahawa hadis tidak boleh menjadi sumber hukum dalam syariat Islam kerana terdedah kepada risiko pembohongan yang tinggi. Beliau mengemukakan bukti yang berbentuk sejarah yang mengambil kira pengumpulan hadis berlaku empat abad setelah kewafatan Rasulullah S.A.W yang mana risiko berlakunya penipuan adalah tinggi. Beliau juga mengambil kesempatan atas sikap umat Islam yang mementingkan hadis yang berunsur fadilat amalan yang mana telah menggalakkkan wujudnya hadis-hadis palsu. Hal ini telah digunakan oleh beliau untuk menguatkan hujahnya. Beliau juga turut mendakwa bahawa sistem sanad yang terdapat pada hadis adalah rekaan oleh ulama’-ulama’ hadis untuk membuktikan hadis telah mengalami sistem saringan. Selain itu, terdapat seorang lagi orientalis yang bersikap seperti mereka iaitu Theodor Nolderke yang membuat tuduhan melulu ke atas Rasulullah S.A.W kerana gagal menemui kelemahan al-Quran setelah mengkajinya. Beliau mendakwa baginda mengalami penyakit gila babi dan banyak lagi tuduhan yang tidak masuk akal ditujukan kepada Rasulullah S.A.W.

Walaubagaimanapun, terdapat juga orientalis yang bersikap sebaliknya. Mereka benar-benar serius dan ikhlas mengkaji Islam dengan kajian yang teliti terhadap pendapat para ulama’ dan membezakan kelemahan pendapat para ulama’ dengan kedudukan al-Quran dan al-Sunnah. Contoh orientalis yang bersikap serius mengkaji Islam ialah Wael Hallaq. Beliau telah menolak pendapat Joseph Schacht dengan mengatakan pendapat Joseph Schacht tidak seimbang dan bersifat skeptikal. Wael Hallaq mendakwa kajian terkini oleh Dr Mustafa Azami menunjukkan idea yang dikemukakan oleh Joseph Schacht adalah lemah dan tidak saintifik. Selain itu, pendapat tidak berasas Theodor Nolderke yang mendakwa Rasulullah S.A.W berpenyakit gila babi telah disangkal oleh M. Watt. Beliau menegaskan sekiranya Rasulullah S.A.W tidak normal, tidak akan ada orang yang tertarik dan terpengaruh dengan ajaran baginda semasa hayatnya.


3.2 Sikap Orientalis Terhadap al-Quran

Al-Quran merupakan panduan serta asas dan rujukan utama bagi umat Islam sebelum al-Sunnah. Bagi para orientalis, al-Quran tidak boleh dibiarkan terus menjadi pegangan umat Islam. Pelbagai kekeliruan telah diwar-warkan oleh orientalis untuk memisahkan pemikiran umat Islam daripada al-Quran. Antara tuduhan dan kekeliruan yang ditimbulkan oleh mereka ialah :

1. Al-Quran adalah hasil ciptaan Nabi Muhammad S.A.W.
2. Isi kandungan al-Quran adalah merupakan hasil saringan daripada kitab Taurat dan Injil.

Al-Quran yang diwahyukan oleh Allah S.W.T kepada Nabi S.A.W sememangnya tidak disenangi oleh kaum Yahudi mahupun Nasrani. Mereka mengatakan bahawa kitab suci mereka merupakan nukilan nabi mereka, maka bagi mereka begitu juga dengan kitab al-Quran. Mereka menganggap bahawa al-Quran merupakan hasil ciptaan Nabi Muhammad S.A.W sendiri. Mereka berusaha kuat untuk memadamkan keyakinan diri terhadap nilai dan kesucian al-Quran di hati umat Islam. Mont.Watt, Noldeke dan Goldizher adalah antara orientalis yang membuat tuduhan sedemikian.

Ilmuan Islam mengulas terhadap tuduhan yang dilemparkan. Tuduhan ini tidak mempunyai alasan yang relevan kerana ia tidak mempunyai sebarang sandaran sebagai bukti yang menunjukkan bahawa al-Quran adalah ciptaan manusia semata-mata. Tuduhan ini serupa juga dengan apa yang pernah kaum Quraisy dahulu katakan. Buktinya terdapat di dalam Surah al-Furqan ayat 4-5 dan ia telah dijawab dalam ayat yang ke 6.

1. Rasulullah merupakan seorang yang buta huruf sejak dilahirkan dan kehidupannya tidak memberi peluang kepada baginda untuk belajar dari mana-mana sumber. Jadi, bagaimanakah seorang ummi (buta huruf) dapat mencipta gaya bahasa yang sangat cantik sasteranya.
2. Jika al-Quran itu merupakan hasil ciptaan Nabi S.A.W ketika bergaul dengan orang Yahudi dan Nasara, mengapa orang yang lebih lama bergaul dengan kaum tersebut daripada baginda Rasulullah S.A.W tidak dapat melakukan sebagaimana tuduhan yang dilemparkan. Dan yang paling utama, mengapa orang Yahudi atau Nasrani sendiri tidak menghasilkannya.
3. Ada juga yang mengatakan bahawa Nabi S.A.W menerima maklumat dari kalangan ahli kitab kaum Yahudi dan Nasrani. Tuduhan ini boleh dipertimbangkan jika dapat dibuktikan baginda berpeluang untuk berhubung dengan mereka.
4. Secara logiknya, adakah memang kemampuan seorang yang buta huruf mampu mengemukakan al-Quran yang mana ia merangkumi seluruh ilmu termasuk ilmu yang berkaitan dengan unsur alam dan fakta sains dan sebagainya sedangkan pada ketika itu semua ahli ilmu tidak mempunyai sebarang pengetahuan yang berhubung dengannya.
5. Jika dilihat dari sudut tempoh masa, tempoh baginda menjadi Rasul hanya 23 tahun sahaja dan baginda berada di Makkah selama 13 tahun dan berhadapan dengan pelbagai tindakan oleh kaum Quraisy sementara baginda berada di Madinah selama 10 tahun dan mempunyai pelbagai tugas yang harus dipikul. Dari sudut pentadbiran pula baginda sibuk dengan urusan berbagai perkara termasuk menghadapi peperangan. Baginda tidak mempunyai peluang untuk duduk berfikir bagi mencipta al-Quran sedangkan kandungan al-Quran sangat sempurna dan tidak ada kitab yang boleh menandinginya kerana ia mencakupi seluruh bidang di dunia.
6. Jika Rasulullah S.A.W mencipta al-Quran, persoalannya ialah mengapa terdapat ayat yang menegur baginda sendiri di dalamnya.

Sandaran yang membawa kepada tuduhan yang mengatakan bahawa al-Quran merupakan hasil saringan daripada kitab Taurat dan Injil ialah :

i. Nabi mencipta al-Quran.
ii. Terdapat sedikit persamaan di dalam kitab al-Quran dengan Taurat dan Injil.

Matlamat tuduhan ini tetap untuk mengisbatkan bahawa al-Quran itu telah dicipta oleh Nabi S.A.W dan bukan wahyu dari Allah S.W.T.

3.3 Keburukan dan Kebaikan Kajian Orientalis

Seperti yang kita sedia maklum, asas dan dasar kajian orientalis adalah atas sikap anti Islam mereka. Oleh yang demikian, terdapat banyak keburukan yang boleh dikesan daripada kajian-kajian orientalis. Antaranya, mereka menggunakan taktik persuasif yang amat halus iaitu dengan memuji kehebatan syariat Islam untuk mendapatkan kepercayaan umat Islam. Kemudian, mereka mengemukakan sedikit demi sedikit kelemahan yang akhirnya mudah diterima oleh umat Islam.

Selain itu, antara taktik halus lain yang digunakan oleh mereka ialah dengan menyamakan antara undang-undang Islam dan syariah Islam. Seperti yang kita ketahui, syariah Islam ialah perkara-perkara yang tertulis dan termaktub di dalam al-Quran dan al-Sunnah yang mana tidak akan berubah selama-lamanya walaupun berubahnya masa dan teknologi. Undang-undang Islam pula adalah gabungan antara unsur-unsur syariah Islam dengan keadaan semasa hasil daripada penelitian dan penyelidikan para ulama’ Islam untuk dipraktikkan pada zaman mereka.

Oleh kerana itu, undang-undang Islam boleh mengalami perubahan dan perbezaan pendapat seiring dengan teknologi dan keadaan semasa. Penyamaan syariah Islam dengan undang-undang cabang ini menyebabkan umat Islam sendiri keliru. Para orientalis yang prejudis terhadap Islam juga tidak mempunyai unsur sangka baik terhadap karya-karya ulama’ Islam terdahulu. Mereka tidak berusaha menyatukan perbezaan pendapat para ulama’ pada satu titik pertemuan.

Dalam pada itu, terdapat juga kebaikan yang boleh kita ambil daripada kajian-kajian yang dilakukan oleh orientalis ini. Antara sikap baik yang boleh dijadikan contoh tauladan ialah sikap kerajinan dan kesungguhan mereka untuk mengkaji Islam dengan lebih mendalam. Kerajinan mereka ini dapat dilihat dengan terhasilnya banyak kertas kerja daripada penyelidikan mereka yang mana menunjukkan bahawa mereka begitu serius dengan tugas mereka. Mereka juga tidak akan menyatakan atau mengemukakan sesuatu fakta tanpa alasan dan sebab yang kukuh.
Oleh kerana itu, sebelum mengatakan tentang sesuatu perkara sama ada baik atau buruk, para orientalis akan menjalankan kajian mereka sendiri untuk melihat Islam melalui kanta yang lebih dekat. Seterusnya, kita dapat melihat bahawa kajian yang dilakukan oleh para orientalis adalah bersifat kritikal, bebas daripada sebarang unsur taksub kepada mazhab dan fanatik terhadap kepimpinan atau pemikiran seseorang.


3.4 Orientalis-Orientalis Pada Abad Ke-19 Dan Ke-20

Orientalisme mengalami perkembangan yang pesat mulai kurun ke-17. Namun, yang akan disentuh di dalam kertas kerja ini ialah sebahagian orientalis yang terdapat pada abad ke-19 dan abad ke-20.

3.4.1 Orientalis-orientalis pada abad ke-19

Pada permulaan abad ke-19, para orientalis lebih menumpukan kajian mereka kepada bahasa-bahasa Timur khususnya bahasa Arab. Mereka lebih memberi perhatian kepada menerbitkan dan menyebarkan kitab-kitab berbahasa Arab, menterjemah kitab-kitab bahasa Arab ke dalam bahasa Inggeris, Perancis, Jerman dan sebagainya serta menyusun buku-buku mengenai kesusasteraan Arab dalam bahasa mereka sendiri. Menurut A. Muin Umar (1978) dalam bukunya iaitu Orientalisme dan Studi Tentang Islam, orientalis yang paling aktif dalam penyelidikan bahasa Arab ialah orientalis dari Perancis dan kemudiannya diikuti oleh negara-negara lain. Antara tokoh orientalis yang terkemuka dan termasyhur pada masa itu ialah Sylvestre de Sacy dan Etienne Quatremere.

Sylvestre de Sacy merupakan seorang yang mahir dalam bahasa-bahasa Timur melebihi penguasaannya dalam bahasa-bahasa Barat sendiri. Beliau menjuruskan kajiannya dalam bahasa Arab dan Persia yang mana pada ketika itu tiada seorang pun orientalis yang mampu mengatasinya. Beliau melibatkan diri dalam kesusasteraan-kesusasteraan Timur terutamanya bahasa Arab dengan cara mengajar, menulis dan menerbitkan buku-buku. Antara karya terbitannya ialah Gramatika Bahasa Arab yang mengandungi dua jilid dan diterbitkan pada tahun 1828 di Paris. Selain itu, beliau turut menerbitkan ensiklopedia yang berjudul Bibliotheque Orientales yang terdiri daripada tiga jilid. Beliau juga turut bekerjasama dengan orientalis lain menterjemah buku geografi orang-arang Arab yang ada di Afrika ke dalam bahasa Arab dan dicetak di Paris pada tahun 1821. Beliau turut menterjemah kitab al-Burdah dan al-Nuqud ke dalam bahasa Perancis serta menerbitkan kitab-kitab Kalilah wa Dimnah, Maqamat al-Harieri, Rihlah Abdil Lathief al-Baghdadi dan Alfiyah Ibnu Malik. Beliau juga merupakan pengasas organisasi Societe Asiatique di Paris pada tahun 1822 yang mana organisasi ini menerbitkan majalah berkala yang berjudul Journal Asiatique. Majalah ini berkisar mengenai penyelidikan-penyelidikan mereka tentang Asia dan negeri-negeri Timur yang lain. Sylvestre de Sacy bukan sahaja mampu menjadi tokoh orientalis pada zamannya malahan berjaya mendidik murid-muridnya untuk menggantikan beliau bagi memastikan kesinambungan orientalis-orientalis di Eropah.

Etienne Quatremere merupakan anak didik Sylvestre de Sacy yang mana beliau juga menjadi tokoh dalam kesusasteraan Timur selepas Sylvestre de Sacy. Setelah gurunya meninggal dunia, beliau tampil menggantikan gurunya kerana kemampuannya dalam bidang ilmu yang dimiliki gurunya. Beliau juga telah menerbitkan buku-buku penting dan menterjemahkan kitab Tarikh al-Mamalik ke dalam empat jilid yang mana kitab terjemahan ini mempunyai keterangan di sebelah terjemahannya. Kitab terjemahan ini telah dicetak di Paris pada tahun 1845. Antara buku-buku terbitan beliau yang lain ialah Muqaddimah Ibnu Khaldun, Muntakhabat Amstalul Maidani dan Kitab al-Raudlatain.

3.4.2 Orientalis-orientalis pada abad ke-20

Seperti pada abad ke-19, orientalis pada abad ke-20 juga turut memberi perhatian terhadap pengkajian bahasa Arab. Antara orientalis yang terdapat pada abad ke-20 ialah Theodor Nolderke, Ignace Goldziher, P.K.Hitti dan Joseph Schacht.

Theodor Nolderke adalah seorang tokoh yang penting dalam bidang bahasa-bahasa Samiyah. Beliau dilahirkan pada 1836 di Hamburg, Jerman. Penglibatannya lebih banyak difokuskan kepada penulisan buku-buku ilmiah. Karyanya yang terkenal dalam bahasa Jerman ialah Geschichte des Korans yang pernah mendapat pengiktirafan dari Akademie des Inscriptions et des Belles Lettres yang terletak di Paris. Karya-karyanya yang lain ialah Uber d Mundart Mandaer, Des Leben Mohammads Beitrage zur Kentmiss der Poesie der Alten Araber, Funt Mo’allakat, Neuc Beitrage zur Semit dan Orientalische Skizzen yang telah diterjemah ke dalam bahasa Inggeris dengan tajuk Sketches from Eastern History. Dalam masa yang sama, beliau juga aktif dalam penulisan artikel untuk terbitan majalah-majalah.

Ignace Goldziher merupakan orientalis yang terkenal pada awal abad ke-20 dan mempunyai hubungan yang rapat dalam kajian terhadap agama Islam dan kebudayaan Islam. Beliau pernah tinggal di Syria, Mesir dan tinggal di Azhar untuk belajar dari syeikh-syeikh di sana. Beliau juga merupakan ahli penting di lembaga-lembaga ilmiah orientalis seperti British Academy, Imperial Academy of Sciences, Royal Academy Amsterdam, Royal Asiatic Society, American Oriental Society, Societe Asiatique di Paris dan lain-lain lagi. Karya beliau yang utama ialah Az Iszlam, Die Gahiriten, Der Diwan des Hoteia, dan Muhammedanische Studien. Beliau juga turut menterjemah buku Das Buch v. Wesen der Seele ke dalam bahasa Arab dengan disertai catatan-catatan di dalamnya. Pada tahun 1889, beliau menerima pingat emas dari Kongres Orientalis yang diadakan di Stockhlom manakala pada tahun 1894, beliau bertugas sebagai profesor di Universiti Budapest.

P.K.Hitti pula pernah menjadi Profesor Emeritus di Universiti Princeton dan sangat aktif dalam penulisan dan penyelidikan mengenai sejarah Islam. Di samping itu, beliau juga pernah menjadi penasihat tidak rasmi Amerika Syarikat di negara-negara Timur Tengah. Penulisannya yang terkenal ialah The History of The Arabs, Arabs: a short history, The History of Syria dan Syrian Gentlemen and Warrior in the period of the Grusades.

Joseph Schacht merupakan seorang orientalis yang berasal dari Jerman dan sangat arif dalam hukum-hukum Islam. Beliau pernah menjadi Profesor dalam bidang Islamologi di Universiti Leiden dan kemudian bertukar ke Amerika Syarikat. Karyanya yang terkenal ialah Outline of Mohammedan Jurispruden.

3.5 Kegiatan Orientalis

Orientalisme telah mengalami perkembangan yang maju dan pesat seiring dengan peredaran zaman. Dalam mengembangkan dan menyebarluaskan pengaruh mereka, para orientalis telah menjalankan dan melakukan pelbagai kegiatan. Antara kegiatan-kegiatan utama mereka yang menonjol dan mendapat perhatian ialah:

1) Mengadakan kongres-kongres orientalis
Kongres yang pertama telah diadakan pada tahun 1873 di Paris dan seterusnya diikuti oleh kongres yang serupa yang diadakan secara berturut-turut di tempat yang berlainan. Perkara yang dibincangkan dalam kongres tersebut ialah semua perkara yang berkaitan dengan Timur sama ada dalam bidang geografi, sejarah, antropologi, agama, bahasa dan lain-lain. Menurut A. Muin Umar (1978) dalam bukunya iaitu Orientalisme dan Studi Tentang Islam, terdapat juga kongres yang membincangkan aspek-aspek khusus seperti kongres yang diadakan di Belgie pada tahun 1953 yang mana hanya membincangkan tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan bahasa Arab dan Islam sahaja. Di dalam kongres ini juga, para orientalis akan menyusun kertas kerja untuk dibincangkan dengan mendalam.

2) Mendirikan lembaga-lembaga ketimuran
Suatu lembaga yang tersusun dan teratur untuk menyelidik bahasa Timur mula didirikan di Perancis pada tahun 1795 oleh Sylvestre de Sacy. Manakala pada tahun 1917, The School of Oriental Studies London Institution telah dibuka di Inggeris. Pada tahun yang sama juga, Universiti Leiden telah menubuhkan lembaga ketimuran iaitu Oosters Instituut yang mana tujuan penubuhannya adalah untuk mendalami dan mengembangkan kajian mengenai bahasa-bahasa Samiyah, Islam dan Indonesia. Sememangnya terdapat banyak lagi lembaga-lembaga ketimuran yang didirikan di Eropah termasuklah yang terdapat di universiti.


3) Mendirikan organisasi-organisasi ketimuran
Pada tahun 1822, Sylvestre de Sacy juga telah menubuhkan kumpulan ahli-ahli ketimuran yang dinamakan Societe Asiatique di Paris. Kumpulan ini telah menerbitkan suatu majalah berkala yang berjudul Journal Asiatique untuk mencapai matlamat penubuhannya. Kemudian, satu organisasi ketimuran juga telah dibina di Amerika Syarikat pada tahun 1842 atas nama American Oriental Society. Tujuan penubuhannya adalah untuk:

1- Mengembangkan kajian bahasa-bahasa Asia, Afrika dan Polinesia.
2- Menerbitkan majalah-majalah, terjemahan-terjemahan, kamus-kamus dan artikel-artikel berkenaan dengan Asia, Afrika dan Polinesia.
3- Mengumpulkan buku-buku yang berkaitan dengan kajian orientalistik.

4) Menerbitkan ensiklopedia dan buku-buku
Penerbitan yang utama dan terpenting ialah Encyclopedia of Islam yang mana artikel-artikel yang terdapat di dalamnya ditulis oleh orientalis-orientalis yang ternama dan terkemuka. Ensiklopedia ini mula diusahakan sejak akhir abad ke-19 namun hanya berjaya disiapkan pada tahun1938. Selain itu, ensiklopedia ini turut diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa iaitu bahasa Perancis, Turki dan Arab.

5) Menerbitkan majalah-majalah
Mulai pertengahan abad ke-19, penerbitan majalah-majalah ketimuran telah dilakukan. Koleksi majalah-majalah ini telah diurus, ditadbir dan dipelihara dengan baik dan disimpan di perpustakaan-perpustakaan sebagai rujukan. Antara majalah-majalah yang telah dihasilkan ialah:

1- Journal Asiatique yang pertama kali diterbitkan di Paris pada tahun 1822 oleh Sylvestre de Sacy.
2- Journal of the Royal Asiatic Society yang mula diterbitkan di London pada tahun 1899.
3- Journal of the American Oriental Society yang dihasilkan di Amerika Syarikat pada tahun 1849.
4- Revue du Monde Musulman yang terbit pada tahun 1907 di Paris.
5- The Moslem World yang juga dihasilkan di Amerika Syarikat pada tahun 1917.
6- Bulletin of the School of Oriental Studies London Institution yang mulai terbit pada tahun 1917 di London.


3.6 Orientalis di Malaysia

Negara kita juga tidak dapat lari dan terlepas dari tempias pengaruh orientalis yang wujud di dunia pada hari ini. Justeru, muncullah beberapa orang orientalis yang bebas menyuarakan pandangan mereka yang mana sering bercanggah dengan prinsip agama Islam itu sendiri. Apa yang menjadi persoalan di sini ialah kebanyakan orientalis yang terdapat di Malaysia beragama Islam. Hal sedemikian ini berlaku kerana mereka telah mendapat pendidikan tinggi lanjutan dari negara-negara Barat yang mana mempunyai sejarah perkembangan orientalis yang berpengaruh seperti yang kita maklumi sebelum ini. Antara orientalis yang terdapat di Malaysia ialah Abdullah Munsyi, Kassim Ahmad, Astora Jabat dan Fatah Harun. Walaubagaimanapun, kertas kerja ini sekadar menyentuh beberapa nama orientalis sahaja kerana akan dibincangkan dengan lebih mendalam melalui bab yang lain.

Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi atau lebih dikenali sebagai Abdullah Munsyi merupakan seorang yang berketurunan Arab dari Yaman. Beliau dilahirkan pada tahun 1796 dan meninggal pada tahun 1854. Beliau merupakan seorang penulis sastera alam Melayu yang amat terkenal pada zamannya dan dianggap sebagai perintis sastera Melayu moden. Para sarjana dari pihak penjajah juga sangat meminati karya-karya beliau yang hidup dalam abad ke-19 ini kerana sikapnya yang pro-Eropah. Tanpa diketahui umum, terdapat pendapat yang mengatakan Abdullah Munsyi sebaliknya. Beliau dianggap sebagai tali barut dan konco pihak Inggeris. Ini kerana, beliau telah bersama-sama dengan CH Thomson dan W Milne menterjemah Catechism pada tahun 1917 dan kitab Injil Matius. Selain itu, beliau telah menterjemah Undang-undang Singapura karya Stamford Raffles.
Astora Jabat pula merupakan seorang kolumnis bicara agama di akhbar-akhbar dan majalah tempatan yang bercirikan Islam. Walaubagaimanapun, penulisan beliau sering menimbulkan kontroversi kerana hujahnya sering bercanggah dengan ajaran Islam dan menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat. Bagi pembaca yang mahir dalam perundangan Islam tentu dapat mengesan kepincangan dan pendustaan Astora Jabat atas nama Islam. Namun, bagi pembaca biasa yang tidak berkecimpung dalam pengajian syari’ah Islamiyyah tentu akan terpegun dengan kehebatan Astora dalam mengulas pandangannya dan terpaku dengan kealimannya dalam membicarakan isu-isu agama. Antara kenyataannya yang bercanggah dengan Islam dan menimbulkan kekeliruan ialah mengatakan bahawa tiada azab kubur, wanita muslim tidak wajib memakai tudung untuk menutup aurat, membuat kesimpulan bahawa seorang saksi sudah cukup untuk mensabitkan hukuman hudud zina, dan mengada-adakan ayat al-Quran (Mingguan Malaysia, 29 Ogos 1999).

Pendustaan Astora Jabat di Malaysia :

a. Mengada-ngadakan ayat al-Quran
Astora telah menterjemahkan ayat sepuluh al quran dari suran An Nur sebagai “ oleh yang demikian Rasullullah s.a.w hilanglah keresahan selepas mendapati al quran di turunkan khusus untuk menyelesaikan musibah yangmenimpa sahabat yang dipercayai oleh baginda orang baik lagi bercakap benar itu” (zina : saksi boleh bersumpah, Mingguan Malaysia 29 Ogos 1999).
Ayat yang membawa terjemahan sedemikian sebenarnya tidak wujud dalam al- Quran bahkan direka-reka oleh Astora sendiri. Terjemahan ayat sepuluh surah tersebut ialah “Dan adalah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatnya kepada kamu,dan juga (kalaulah tidak kerana) bahawa Allah penerima taubat lagi maha bijaksana tentulah kamu akan mengalami kesusahan yang sukar di atasi (lihat tafsir pimpinan rahman) iaitu yang diletakkan oleh Astora sebagai terjemahan bagi ayat sembilan.

b. Mengatakan Nabi s.a.w menyebat Khawlah dan pasangannya sehingga terjelir lidah (Bicara Agama 22 Ogos 1999).
c. Membuat kesimpulan pendapat bahawa seorang saksi boleh menyabitkan hukum zina.
d. Tiada azab kubur selepas meninggal dunia (Majalah Al Islam keluaran bulan November dan Disember).

Dalil kebenaran adanya azab kubur :

a. Surah Toha ayat 124 ومن اعرض عن ذكري فإن لهمعيشة ضنكا
Dan barang siapa yang berpaling dari peringatan Ku maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit.

b. Surah Tur ayat 47 : وإن للذين ظلموا عذابادون ذلك
Dan sesungguhnya bagi orang-orang yang zalim ada azab selain itu.

c. Surah Ghafir ayat 46 : النار يعرضون عليها غدوا وعشيا ويوم تقوم الساعه آدخلوا آل فرعون آشد العذاب
Kepada mereka dinampakkan neraka pada pagi dan petang dan pada hari terjadinya qiamat dikatakan kepada malaikat masukkan;lah Firaun dan kaumnya ke dalam azab yang sangat keras.


BAB 4


4.1 Sejarah Kemasukan, Pergerakan dan Perkembangan Awal Orientalisme di Malaysia

Orientalisme dan penjajahan tidak dapat dipisahkan kerana kedua-duanya mempunyai hubungan yang erat dan saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain. Ini adalah kerana proses penjajahan itu sendiri telah melahirkan ramai golongan orientalis. Diantara tokoh-tokoh orientalis ialah T.S Raffles, R.J Wilkinson, R.O. Winstead dan lain-lain lagi.

Penjajahan dan penyebaran fahaman orientalisme ini ke atas Negara-negara Islam termasuk Kepulauan Melayu bermula selepas Barat berjaya menguasai jalan-jalan Laut. Setelah pengaruh mereka mula bertapak di kepulauan ini, Barat akhirnya menyusun beberapa strategi untuk menyerang dan dan memusnahkan dakyah Islam.

Kenyataan ini jelas dari kata-kata orientalis (Arnold Tonybee dalam Hilaluddin 1992) :

Setelah menguasai lautan pada akhir-akhir abad ke-16, Barat telah berjaya melemparkan jerat ke tengkok Islam. Namun begitu, Hanyalah pada abad ke-19 barulah mereka berani menarik jerat itu sekuat-kuatnya.


4.2 Penjajah-penjajah Barat dan Pergerakan Orientalisme di Tanah Melayu

Walaupun Portugis, Belanda dan Inggeris masing-masing pernah menjajah Tanah Melayu, namun terdapat beberapa perbezaan diantara mereka. Portugis dan Belanda hanya menjalankan operasi mereka di Melaka, sebagai pusat perniagaan utama di Timur. Oleh itu, perhubungan mereka hanya tertumpu di Melaka dan daerah-daerah sekitarnya sahaja manakala Inggeris pula, kuasanya menyeluruh ke negeri-negeri Melayu lain. Pemerintahan Inggeris ke atas Tanah Melayu adalah dari tahun 1874 hingga 1957. Jangka masa yang terlalu panjang ini telah membuka peluang yang luas kepada mereka dalam usaha-usaha menyebarkan fahaman orientalisme ini secara berleluasa.

T.S Raffles, W.W. Skeat, H.M Mariott, R. O. Winstedt dan R.J. Wilkinson, adalah tokoh-tokoh orientalis barat yang amat terkenal. Mereka meminati secara professional hal ehwal mengenai ketimuran dan tamadun Melayu, kebudayaan, kesusasteraan, bahasa, sejarah, adat istiadat dan lain-lain. Mereka mengambil kesempatan terlebih dahulu sebelum pengkaji-pengkaji tempatan, membahaskan masalah manuskrip-manuskrip Melayu. Mereka juga giat menulis kisah-kisah kesusasteraan hikayat, salasilah, cerita asal usul dan adat istiadat setempat, dengan menggunakan tulisan rumi berbahasa melayu peranakan. Kisah-kisah itu mungkin disalin dan ditiru daripada suatu naskhah yang lama dan lebih tua, atau pemandangan, laporan atau pendengaran terus oleh pegawai penjajah tadi. Naskhah-naskhah dan tulisan-tulisan yang dikumpul dan dihasilkan kemudiannya dibawa ke Eropah. Maka tersimpanlah naskhah dan tulisan itu di pelbagai institusi di England, Belanda, Perancis dan negeri-negeri lain.

Kini, naskhah-naskhah Melayu yang terkumpul dari seluruh Nusantara dalam bentuk warkah raja-raja dan pembesar Melayu kepada pemerintahan asing dan Eropah, jumlahnya dilaporkan sebanyak lapan buah peti di perpustakaan Universiti London dan England. Pada tahun 1966, lebih kurang lima ribu naskhah Melayu tradisional dalam 800 judul berbentuk tulisan di atas kertas ditemui di seluruh dunia. Antara 800 judul itu kira-kira 150 daripadanya hasil cereka yang termuat dalam 46 buah karya bercorak lagenda Islam, 47 hasil karya bercorak sejarah, 41 berupa naskhah undang-undang, 116 buah dalam bentuk puisi tradisional, 300 judul naskhah penulisan Teologi dan Islam, manakala 100 buah lagi bentuk rampaian.

Bagi penjajah Belanda, semua naskhah Melayu yang terkumpul di negeri mereka merupakan aset yang penting untuk ahli-ahli bahasa Belanda, para paderi Kristian dan pegawai-pegawai muda mereka yang bakal dihantar untuk berkhidmat dengan Hindia Timur. Demi kepentingan tersebut, maka tertubuhlah pada masa itu Akademi Latihan Kakitangan dan Perkhidmatan Awam di Delft, Neteherland. Hal ini dinyatakan oleh Ketua Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, Dr. Muhammad Yusuf Hashim dalam kajiannya mengenai manuskrip Melayu.
Segala buku yang dikarang mengenai perihal sejarah tanah Melayu mereka bukan sekadar untuk bacaan umum, malah digunakan bagi keperluan pegawai-pegawai tadbir mereka. Seorang ahli sejarah Malaysia, Prof. Dr. Khoo Kay Kim telah menyebut kenyataan ini. Katanya :

Bagi mereka ( penjajah ) soal yang pokok dalam pengajian sejarah tanah penjajahan ialah bagaimanakah tanah jajahan itu dapat ditadbirkan dengan cara yang paling berkesan sekali. Buku-buku dikarang bukan untuk bacaan umum sahaja tetapi juga untuk mendidik bakal pegawai-pegawai yang ingin berkhidmat di tanah jajahan. Tujuan itu telah mendesak kerajaan British untuk mendirikan London of Oriental dan African Studies.

Naskhah-naskhah Melayu dan buku-buku yang ditulis oleh orientalis tentang orang Melayu dan Tanah Melayu dalam pelbagai bidang, saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain. Semuanya ini memudahkan proses penjajahan serta pengendalian pemerintahan di daerah-daerah yang dijajahi.


4.3 Peranan Penjajah Portugis, Belanda dan Inggeris Di Tanah Melayu

4.3.1. Peranan Penjajah Portugis dalam Pergerakan Orientalisme di Tanah Melayu

a. Kedatangan Portugis ke Tanah Melayu

Selepas Constantinople (1453) jatuh ke tangan kerajaan Islam Uthmaniyyah Turki, bandar Venice masih lagi dibuka untuk peniaga-peniaga Barat. Tetapi malangnya keistimewaan ini dipandang sepi oleh peniaga-peniaga Portugis. Menurut ahli sejarah Belanda, Bertram Schrieke, keadaan ini wujud bukanlah semata-mata akibat dari krisis perniagaan, akan tetapi ia lebih bersifat krisis agama. Ternyata sekali kebimbangan Portugis terhadap perkembangan Islam di Barat mendesak mereka menjalankan penerokaan-penerokaan baru ke atas negeri-negeri Islam. Semangat salibiyyah telah dikobar sendiri oleh Raja Portugis Putera Henry.

Semangat ini terus ditanam oleh Alfonso d’Albuquerque yang menjadi wakil raja pada tahun 1509. Antara ucapan yang diluahkannya sebelum menakluk Melaka seperti yang dicatat oleh Prof. Qaisar Adib Majul ialah :

Perkara pertama yang merupakan satu khidmat besar yang nantinya kita akan kemukakan kepada “Tuhan”, bila kita berjaya mengusir orang-orang Islam dari negeri ini (Melaka) dan memadam semangat pengikut-pengikut Muhammad yang tidak mungkin selepas ini mereka akan bangkit selama-lamanya. Saya begitu yakin untuk menjayakan cita-cita ini. Apabila kita mampu untuk sampai ke tahap itu, nescaya orang-orang Islam akan menyerahkan India seluruhnya kepada kita; hampir keseluruhan orang Islam mungkin juga semuanya bergantung pencarian hidup mereka kepada negeri Melaka. Sesungguhnya mereka mengaut keuntungan di mana sekarang mereka menjadi pemilik-pemilik harta kekayaan yang banyak. Melaka adalah rempah-rempah dan ubat-ubatan ke negeri-negeri mereka setiap tahun tanpa kita berupaya menegah mereka.

Apabila kita berjaya menyekat mereka dari pasar lama ini, nescaya tidak akan ada lagi satu pelabuhan atau perhentian pun yang sesuai lagi di rantau ini untuk mereka meneruskan perniagaan mereka.

Sekali lagi saya tegaskan kepada kamu, apabila kita berjaya merampas Melaka dari tangan mereka, pastilah bandar Kaherah akan jatuh...dan selepas itu akan jatuh pula Kota Mekah untuk selama-lamanya.

(Qaisar Adib Majul dalam Hilaluddin 1992)

Berdasarkan ucapan Alfonso di atas menunjukkan kedatangan Portugis di alam Melayu, adalah bertujuan untuk melaksanakan strategi yang penting. Hasrat mereka untuk menjatuhkan Melaka dan Kaherah telah membuktikan bahawa motif agama adalah sangat penting dan bermakna.

Pada 25 Julai 1511, Albuquerque telah bejaya menggapai cita-citanya dengan merampas Melaka dari Sultan Mahmud. Keganasan Albuquerque yang berasaskan agama kelihatan apabila dia mengarah masjid-masjid dirobohkan dan gereja didirikan. Batu-batu untuk mendirikan gereja itu diambil dari runtuhan masjid serta makam-makam sultan. Sebenarnya orang-orang Portugis bersungguh-sungguh mengkristiankan penduduk-penduduk di Tanah Melayu.

Dengan bertapaknya Portugis di Melaka, maka pengaruh kerajaan Islam Uthmaniyyah Turki di rantau ini mula tergugat. Melaka yang pada mulanya menjadi pusat penyebaran agama Islam telah bertukar menjadi pusat penyebaran dan perluasan agama Kristian. Melaka telah mendapat pengiktirafan sebagai ”Serambi Mekkah” menjalankan gerakan jihad menetang Portugis. Kerajaan Islam Uthmaniyyah Turki pernah menghantar 400 orang askar meriamnya untuk membantu Acheh mengambil balik bandar Melaka.

b. Portugis dan Orientalisme di Tanah Melayu

Kajian-kajian mengenai Tanah Melayu sebenarnya telah dimulakan sebelum tibanya Portugis di Melaka. Orang-orang Portugis telah mengupah pedagang-pedagang Yahudi di Andalus (Sepanyol) untuk mengumpul maklumat awal bagi memudahkan pelayaran mereka ke sini. Pedagang-pedagang Yahudi itu diketuai oleh Alfonso de Pavia yang menyamar diri sebagai pedagang Portugis sambil mengumpul rahsia. Manakala kumpulan lain pula berpura-pura mengaku Islam dan setengah mereka telah sampai ke India sebelum tibanya Vasco Da Gama. Mereka kemudiannya kembali ke Portugal untuk menyerahkan maklumat-maklumat yang diperolehi.

Apabila Melaka jatuh ketangan Portugis, banyak lagi maklumat-maklumat yang berupa manuskrip-manuskrip Melayu telah dirampas oleh mereka. Manuskrip-manuskrip Melayu ini tidak dapat diselamatkan oleh Sultan Mahmud dan pembesar-pembesar Melaka kerana masing-masing mengutamakan keselamatan diri, kehormatan dan harta benda. Manuskrip ini mendedahkan kehidupan orang-orang Melayu dan Kepulauan Melayu amnya. Dengan cara ini mereka dengan mudah dan cepat menyebarkan fahaman orientalis sekaligus menyebarkan dakyah-dakyah Kristian.

Brian Harrison dalam bukunya Asia Tenggara Satu Sejarah Ringkas telah menyatakan dengan jelas percubaan-percubaan untuk mengadakan penyelidikan kawasan di rantau ini. Walaubagaimanapun menurut beliau, penyelidikan yang dilakukan oleh Portugis tidak memuaskan kerana ia dilakukan secara tergopoh-gapah serta dipengaruhi oleh prasangka. Akan hal yang demikian, penyelidikan yang dijalankan itu mendatangkan berjuta manfaat terhadap mereka.

Tokoh orientalis Portugis yang aktif dalam bidang ini ialah Tom Pires. Bukunya yang terkenal hasil dari penyelidikan semasa Melaka ialah Suma Oriental. Buku ini ditulis antara tahun 1512 dan 1515. Antara lain Tome pires menulis mengenai Melaka sebagai berikut, “Orang tidak dapat mentaksirkan nilai melaka kerana kebesaran dan keuntungannya, dia ialah sebuah bandar yang telah dibina untuk barang dagangan, lebih baik dari sebarang bandar di dunia”. Kemudian dia menulis lagi, “Sesiapa yang menjadi tuan di Melaka tangannya adalah terletak di leher Venice”.

Godinhow d’Eridea (1613) pula telah mengkaji kesan-kesan sejarah di Melaka. Beliau telah mengkaji kubur Parameswara dan persekitarannya. Kubur ini terletak di puncak di Tanjung Tuan (Cape Rachado).Beliau juga mengkaji sebuah istana raja yang diperbuat daripada batu-batu di Telok Emas serta kolam tempat bersiram anak-anak raja yang dibina daripada marmar. Di dalam buku karangan beliau juga, terdapat sebuah peta yang menunjukkan kawasan Rembau, Johol, Jermpul, Serting dan Penarekan. Peta itu juga menunjukkan gambaran kasar sebahagian daripada Sungai Pahang. Manakala Couto dalam bukunya Da Asia telah mengisahkan sejarah kemasukan orang Minangkabau dari Sumatera ke Negeri Sembilan sejak abad ke-16 lagi ( 1500-1600 ).

Penjajah-penjajah Portugis juga telah menjalankan gerak kerja memunggah khazanah-khazanah Melayu ke Barat. Alfonso d’Albuquerque telah berusaha gigih mengumpul khazanah-khazanah tersebut semasa beliau di Melaka. Himpunan khazanah-khazanah Melayu yang dibawa dengan kapal itu tenggelam di dalam laut dan Albuquerque sendiri hampir-hampir menemui ajalnya tetapi beliau sempat menyelamatkan diri. Dianggarkan khazanah tersebut bernilai $7, 000 juta. Antara barang-barang yang terdapat di dalamnya ialah 3, 000 meriam (2, 000 daripadanya diperbuat dari gangsa), senapang lama, sumpitan, panah dan busurnya, lembing dan baju besi. Manakala barang-barang berharga lain pula ialah gelang Noadabegea, enam patung singa dibuat daripada gangsa, berbagai jenis intan permata dan batu berharga, alat permainan raja di Istana, kain tekatan benang emas, pelangi bersadur emas dan sebuah meja kayu dengan kakinya bertakhtakan emas. Ada juga di dalam khazanah itu barang-barang berupa hadiah daripada pembesar Kepulauan Melayu seperti alat permainan gamelan lengkap dengan pemainnya, dua loceng besar, 12 lembing panjang serta lukisan yang menunjukkan Raja Jawa bersama gajahnya menuju ke medan perang. Kerajaan Siam juga menghadiahkan pedang, mahkota serta cincin emas, tetapi barang-barang dapat diselamatkan oleh Alfonso D’ Al-Buquerque. Barang-barang tersebut kini dipercayai disimpan di Muzium Portugal.

Gerakan orientalisme yang dijalankan oleh Portugis bukan sekadar itu sahaja, bahkan mereka telah merangka beberapa strategi dengan mengirim misionari-misionari Kristian. St. Francis Xavier yang dianggap sebagai pahlawan (tokoh) aliran katholik telah diberi tugas untuk menyebarkan ajaran Kristian ketika beliau sampai ke Melaka pada bulan September 1545. Dalam usaha menjalankan tugas tersbut, beliau telah berkhutbah di gereja, berjalan di merata-rata lorong di bandar Melaka pada malam hari untuk mengampun dosa roh-roh dan sekaligus “menjual pengampun dosa” serta menganjurkan “makan malam Bani Isa”. Ramai kanak-kanak telah diajar oleh beliau i’tikad agama Kristian. Beliau berjaya menterjemah risalah-risalah i’tikad Kristian, bacaan pengakuan dosa, doa sembahyang dan sembahyang Siti Maryam. Beberapa bacaan sembahyang aliran katholik serta Hukum Sepuluh yang diturunkan kepada Nabi Musa juga turut diterjemahkan. Sehingga pada tahun 1559, Melaka secara rasmi telah dijadikan kawasan pembesar agama Kristian (biskop).

Demikianlah halnya kegiatan orientalisme yang telah dilancarkan oleh Portugal. Selepas itu diikuti pula oleh penjajah Belanda. Meskipun kawasan operasi Belanda lebih meluas di Kepulauan Indonesia, namun Kepulauan Melayu tidak lepas dari sasaran mereka.

c. Orientalis Portugis dan Karya-karya Mereka Mengenai Tanah Melayu

Braz D’Albuquerque

Ia adalah anak kandung Alfonso d’Albuquerque. Pada tahun 1557, bukunya yang berdasarkan surat-surat bapanya telah dicetak untuk kali pertama.

Surat-surat Alfonso d’Albuquerque mengandungi tujuh jilid besar yang telah dikeluarkan oleh Academi Peal das Sciencias de Lisbod.

Tom Pires

Orientalis Portugis yang terkenal di mana karya-karyanya dianggap penting kerana ia menyaksikan sendiri peristiwa demi peristiwa sebaik sahaja Portugis menguasai Melaka.

Antara bukunya yeng terkenal ialah Suma Oriental yang dihasilkan antara tahun 1512-1515.

Fr. M. Texeira

Missionari Kristian Portugis yang terkenal dan bertugas sebagai Paderi Kawasan di Gereja St. Joseph di Singapura selaam 13 tahun. Ia juga seorang orientalis yang menguasai bidang sejarah.

Sudah 47 buah buku sejarah yang diterbitkan olehnya, 14 daripadanya dalam jilid yang besar mengenai Macau ca sua Diocese (Macau dengan Kawasan-kawasan Gerejanya).

Antara karya-karyanya dalam bahasa Inggeris seperti :

(a) Pengembangan Agama Portugis di Melaka dan Singapura ( 1511-1614 ) mengandungi tiga jilid.

(b) Dominicans yang Awal-Awal Di Melaka, (1511-1636 ).



Dr. Thomaz ( Luiz Felipe Reis )

Dr. Thomaz adalah penulis Portugis yang matang tentang sejarah Portugis Melayu. Antara karya-karya yang dihasilkan oleh Dr. Thomaz ialah :

(a) Portugis di Melaka ( 1511-1580 ) dalam 2 jilid.
(b) Dari Melaka ke Pegu ( 1512-1515 )
(c) Moluku dan Melaka

Buku karyanya yang berjudul Portugis di Melaka mendedahkan kisah Melaka sebelum Portugis, penemuan Melaka dan penaklukannya, cerita 34 gabenor Portugis di Melaka dan suasana penduduknya. Ia juga mengandungi dokumen tentang rakyat Malaysia.

4.3.2 Peranan Penjajah Belanda dalam Pergerakan Orientalisme di Tanah Melayu.

Kedatangan Belanda ke Tanah Melayu

Seperti Portugis juga, Belanda datang ke negeri-negeri Islam termasuklah di Tanah Melayu adalah didorong oleh semangat salibiyyah. Semangat salibiyyah ini ditambah pula dengan krisis dalaman yang berlaku di barat antara Belanda dan Sepanyol. Belanda yang bermazhab Protestan mahu berpisah dari Sepanyol yang bermazhab Katholik. Sehingga menyebabkan raja Sepanyol memberi beberapa amaran keras untuk memutuskan perniagaan dengan bangsa Belanda. Suasana tegang ini berakhir dengan penutupan Lisbon kepada pedagang-pedagang Belanda apabila Portugal dan Sepanyol dicantum oleh Raja Philip II pada tahun 1580.

Belanda cuba untuk menyelesaikan masalah tersebut. Mereka tidak mahu terikat dengan Sepanyol, mereka berusaha keras untuk mencari jalan ke Kepulauan Melayu. Melalui perancangan dan strategi yang bijak, Belanda telah menubuhkan Syarikat India Timur ( V.O.C ) pada tahun 1600. Syarikat ini ditubuhkan bagi memudahkan lagi proses penjajahan. Menurut Anwar al-Jundiyy, penjajahan inilah yang dikira satu-satunya cara untuk menguasai dunia Islam dan mencerai-beraikan negeri-negeri di bawah naungan Kerajaan Islam Uthmaniyyah, termasuklah Kepulauan Melayu sendiri.

Akhirnya Belanda telah berjaya menduduki Melaka apabila Portugis dikalahkan melalui percubaan-percubaan yang bertubi-tubi pada bulan Januari 1641. Pemerintahan Belanda berlanjutan sehingga pada tahun 1824. Pada tahun itu termeterainya Perjanjian British – Belanda di mana Belanda terpaksa menyerahkan Melaka kepada Inggeris.

Belanda dan Orientalisme di Tanah Melayu

Penjajah Belanda memulakan operasi orientalismenya apabila rahsia perjalanan ke Kepulauan Melayu telah diketahui dari Plancius, seorang pendeta yang menerima rahsia itu dari seorang bangsa Sepanyol. Hal ini telah menaikkan semangat mereka sehingga dilukis peta-peta perjalanan ke Kepulauan Melayu. Lahirnya buku Interario yang membicarakan perihal adat-istiadat dan suasana pengalaman penulisnya Huyghan Van Linchoten sewaktu di Goa bersama Portugis telah menjadi panduan kerajaan Belanda. Kerajaan Belanda telah mencetak buku ini pada tahun 1596 dan diedarkan secara terbatas. Kajian-kajian awal lain dihimpun oleh Cornelius de Houtman yang didapatinya dari Lisbon. Ia kemudiannya belayar menuju ke Kepulauan Melayu dan sampai kepada pelabuhan Banten pada bulan Jun 1596.

Selepas menawan Melaka, Belanda telah cuba untuk memonopoli hak-hak perniagaan dengan mengadakan hubungan dengan negeri Perak, Kedah, Ujong Salang, Naning, Rembau dan Johor. Hubungan Belanda dengan pergerakan orientalisme mulai nampak apabila meerka mengadakan gerakan mengumpul manuskrip-manuskrip lama dan kitab-kitab Bahasa Melayu. Bapa Abdullah Munshi telah diberi tugas untuk tujuan ini sebagaiman yang terdapat dalam buku Hikayat Abdullah :

.....sedikit hari lagi datanglah perintah dari Betawi iaitu daripada sectetaris government ke Melaka, menyuruhkan bapaku pergi ke Riau dan Lingga, Pahang, Terengganu dan Kelantan, akan mencari kitab-kitab Bahasa Melayu, serta menjadi utusan kepada raja-raja Melayu itu, serta membawa surat daripada Raja Timmerman Tijssen; serta pula ada tuan raja muda membekalkan wang lima ratus ringgit pergi dengan perahu layar bendera Holanda. Maka pergilah bapaku kepada segala negeri-negeri yang tersebut itu, dan ada yang dapat raja-raja itu memberika hadiah sahaja dengan tiada berharga, dan ada yang diupahkan oleh bapaku menyalin hikayat-hikayat dan kitab-kitab itu. Maka dengan hal yang demikian adalah kira-kira dapat enam tujuh puluh jilid kitab-kitab itu berbagai namanya dan jenisnya.

(Abdullah Munsyi dalam Hilaluddin 1992)

Usaha-usaha mengumpul manuskrip-manuskrip ini telah menghasilkan sebuah jalinan erat dengan Barat. Ia merupakan salah satu kegiatan orientalisme mereka di Kepulauan Melayu. Jelas terbayang kekhuatiran pihak Belanda terhadap hubungan umat Islam di Kepulauan Melayu dengan ulama Kerajaan Islam Uthmaniyyah Turki, di mana hubungan ini digambarkan oleh Belanda seperti hubungan Katholik dengan Paus di Rom. Tercatat dalam sejarah, bahawa kedutaan-kedutaan Kerajan Islam Uthmaniyyah Turki telah berusaha untuk mendapatkan pengiktirafan sultan mereka sebagai khalifah Islam di mana negeri-negeri Kepulauan Melayu turut menganggotai Kerajaan Islam ini. Perkembangan menimbulkan bahaya kepada pihak Belanda dan jika ianya berterusan, ternyata umat Islam akan bangkit menentang mereka.

Untuk mengatasi masalah ini, kajian-kajian kawasan telah dilancarkan. Peranan ini dipegang oleh seorang orientalis besar Belanda bernama Snouck Hugronje. Ia adalah seorang yang pakar dalam bahasa Arab dan pernah menjadi guru bahasa Arab di Betawi (Jakarta) dan kemudiannya di Laiden (1907-1927). Bidang lain yang dikuasainya ialah bidang Fiqh Islam, Usul, Hadis dan Tafsir ia banyak sekali mengarang buku-buku mengenai Islam.
Sasaran kajiannya dimulai di daerah-daerah jajahan Belanda dan kemudiannya beralih pula ke Kota Makkah. Selama 17 tahun ia berada di Kepulauan Melayu serta berganding bahu dengan pemerintah Belanda dalm usaha mencari titik-titik kelemahan umat Islam. Dalam tahun 1884, ia mulai pula menjalani operasi di Makkah secara menyamar. Ia menggunakan nama Abdul Ghaffar dan berjaya tingal di Suq al-Lail, Makkah selama 5 bulan.

Rumusan yang dibuat oleh Snouck Hugronje hasil dari kajiannya ialah ibadah haji itulah satu-satunya punca penyatuan umat Islam dan juga sebab timbulnya penentangan mereka di Kepulauan Melayu terhadap kuasa Belanda.

Umat Islam penuh yakin bahawa itu adalah gerakan “jihad”. Lalu Snouck Hugronje menyarankan agar Belanda segera mengawasi gerak geri umat Islam serta melarang mereka naik haji.

Snouck Hugronje juga dianggap orang yang paling tahu mengenai catatan-catatan yang berhubungan dengan koleksi manuskrip-manuskrip Melayu yang tersimpan di perpustakaan Berlin.

Di Belanda sendiri banyak tersimpan naskhah-naskhah asal kesusasteraan Melayu di dalam perpustakann seperti di Leiden, Hague dan Amsterdam. Di perpustakaan Koninklijk Institusi Universiti Leiden sahaja terdapat 163 naskhah pelbagai corak dan jenis penghasilan seumpama hikayat lagenda Islam, varia, undang-undang, adat-istiadat pribumi dan sejarah umum. Naskhah-naskhah seperti ini juga tersimpan di Muzium Meermanro Westrenianum di Hague. Sementara di perpustakaan Koninklijk Institut Voor de Tropen pula terdapat sebuah peti yang sarat kandungannya dengan surat raja-raja Melayu Malaysia dan Sumatera di abad ke-18 dan ke-19. Werndly, seorang orientalis Belanda yang pakar dalam bahasa Melayu telah menyusun daftar buku-buku Melayu yang telah dicetak di Amsterdam dalam tahun 1763. Daftar itu mengandungi nama-nama 69 buah hikayat, kitab-kitab agama Islam dan sebagainya.

Harmanus Neubronner Van der Tuuk juga seorang orientalis Belanda yang tahu selok-belok bahasa Melayu. Ia dilahirkan di Melaka dan tinggal di Melaka sehingga tahun 1894. Orientalis ini dianggap orang yang mula meletakkan sejarah bahasa Melayu dengan membuat perbandingan dengan bahasa yang serumpum dengannya. Ia kemudiannya berjaya mendaftar semua surat-surat dan kitab-kitab Melayu tulisan tangan yang tersimpan di Persimpangn East India Company (Syarikat India Timur) dan juga yang ada dalam perhimpunan buku Royal Asiatic Society.

Keghairahan Belanda terhadap kajian Timur Islam telah meletakkan negeri itu sebagi pusat orientalisme dunia yang terkenal.

Orientalis Belanda dan Karya-karya Mereka Mengenai Tanah Melayu

Snouck Hugronje

Seorang orientalis Belanda yang berjasa besar, bukan sahaja kepada Universiti Leiden, malah kepada pemerintah Belanda dalam kajiannya di bidang agama Islam.

Antara kajian-kajiannya yang secara tidak langsung menghubungkait perkembangan Islam di Tanah Melayu ialah :
(a) Haji ke Mekah, (bahasa Belanda)
(b) Mekah dan Geografinya Pada Abad ke XIX (1889) dalam dua jilid (bahasa Jerman)
(c) Perkembangan Islam di Hindia Timur (1911) (bahasa belanda)
(d) Acheh (bahasa Belanda).

Setelah menulis bukunya De Atjehers (Acheh), dia tidak lagi menulis buku-buku tebal kecuali beberapa makalah yang disiarkan dalam majalah-majalah.



W.P. Groenevelt

Orientalis Belanda yang berjaya membuat catatan tambahan terhadap Catatan-Catatan Tentang Kepulauan Melayu dan Melaka dipungut dari sumber-sumber Tionghua. Ianya didapati dalam T’oung Pao jilid VII, 1896, sebuah terbitan berkala ilmiah mengenai kajian-kajian tentang sejarah, bahasa, geografi dan bangsa-bangsa di Asia Timur.

J.P. Heeves dan F. W. Stapel.

Kedua-dua orientalis Belanda ini berjaya menghasilkan karya besar dalam lima jilid tebal. Karya itu berjudul Kumpulan Diplomatik India Belanda: himpunan persetujuan-persetujuan politik dan perjanjian-perjanjian lainnya yang dicapai oleh Belanda di Timur beserta hak-hak istimewa yang dijanjikan terhadap Belanda.

R.A. Kern

Orientalis Belanda yang banyak membicarakan soal-soal yang berhubungan dengan agama Islam. Bukunya yang bertajuk penyebaran agama Islam termuat dalam sejarah Hindia – Belanda


4.3.3 Peranan Penjajah Ingeris dalam Pergerakan Orientalisme di Tanah Melayu

Kedatangan Inggeris Ke Tanah Melayu

Di sekitar tahun 1964 sehingga tahun 1818 telah wujud usaha yang berterusan dari pihak Inggeris untuk menumbangkan Kerajaan Islam Uthmaniyyah Turki. Cita-cita mereka yang berbau agama ini ditambah pula oleh masalah ekonomi yang menimpa Inggeris di Barat. Selepas abad ke-16, Inggeris telah mengalami suasana hubungan yang buruk dengan Portugis dan Sepanyol. Perniagaan luar negeri Inggeris berada di dalam cengkaman Portugis dan Sepanyol. Hal ini memaksa Inggeris untuk belayar ke Kepulauan Melayu.

Walaubagaimanapun semangat salibiyyah itulah yang menjadi pendorong utama mereka datang ke negeri-negeri Islam termasuklah Tanah Melayu.

Seperti juga Belanda, Inggeris telah menubuhkan Syarikat Hindia Tmur (1612) untuk menyenangkan proses penjajahan. Pada tahun 1786, seorang penjajah Inggeris bernama Francis Light telah dapat bertapak di Pulau Pinang. Tiga puluh lapan tahun kemudiannya (1824), Melaka telah dimiliki oleh mereka apabila termeterainya Perjanjian Inggeris – Belanda. Seterusnya pada tahun 1874, Inggeris mulai campurtangan dalam urusan negeri-negeri Melayu. Residen-residen Inggeris telah dilantik di Perak, Selangor, Sungai Ujong dan diperluaskan sehinga ke Negeri Sembilan serta Pahang.

Pemerintahan Inggeris di Tanah Melayu mengambil jarak masa selama lebih kurang 80 tahun – terkecuali zaman pemerintahan Jepun (1942 – 1945) – sehinggalah ke tahun kemerdekaannya 1957.


Inggeris dan Orientalisme di Tanah Melayu

Maklumat mengenai Tanah Melayu telah diperoleh oleh Inggeris melalui orang-orang Portugis. Pada tahun 1587 dan 1592, mereka telah berjaya merompak kapal-kapal Portugis dan merampas sejumlah besar risalah yang mendedahkan gambaran-gambaran perniagaan, pentadbiran dan operasi Portugis di sebelah Timur. Apabila buku Intenerario karangan Van Linschoter ( 1598 ) telah diterjemahkan ke bahasa Inggeris, maka peluang untuk menuju ke Kepulauan Melayu semakin cerah.

Tokoh orientalis Inggeris yang paling banyak menyumbang khidmat kepada Lembaga Orientalis di Eropah tentang kajin-kajian khas Tanah Melayu ialah Stamford Raffles. Beliau pernah menjadi setiausaha kepada syarikat perniagaan Inggeris di India pada tahun 1905.

Stamford Raffles berjaya menjalankan tugasnya dengan baik adalah kerana mempunyai minat yang mendalam mengenai Tanah Melayu. Beliau amat gemar sekali menyelidiki beberapa perkara yang berhubungan dengan bahasa Melayu, kitab-kitab, adat resam sehinggalah kepada binatang dan pokok turut diselidik. Usaha penyelidikan ini dibantu oleh dua tiga orang pendeta Inggeris. Stamford Raffles juga menggunakan anak tempatan seperti Abdullah Munsyi untuk melicin dan melancarkan lagi tugasnya itu. Kejayaan ini juga berpunca dari kebodohan sesetengah orang Melayu sendiri kerana tidak mengetahui selok-belok perancangan orientalis-orientalis Barat. Apa yang dilakukan oleh Stamford Raffles seperti mengumpul segala kitab-kitab, manuskrip, jenis-jenis tumbuhan dan binatang-binatang dengan pelbagai cara menimbulkan tanda tanya di kalangan orang-orang Melayu Melaka. Abdullah Munsyi pernah menggambarkan suasana mereka dengan katanya :

Maka heranlah orang-orang Melaka melihat pekerjaan yang demikian.

Tambahan pula, sesetengah orang Melayu pada masa itu telah dipengaruhi oleh kebendaan yang kuat kerana mahukan upah, tanpa memikirkan masa depan orang-orang Islam. Dalam hal ini Abdulah Munsyi berkata :

Habis dijualkan (manuskrip dan kitab-kitab), tiadalah sadarkan orang-orang yang di belakang kelak menjadi bodoh.

Stamfford Raffles telah mengupah orang-orang Melayu untuk mengutip kitab-kitab tulisan tangan dan hikayat Melayu. Hasilnya ratusan bahan-bahan bertulis tadi berjaya dikumpulkan dari segenap ceruk rantau dari beberapa zaman sebelumnya.

Sesetengah bahan-bahan bertulis tadi dibeli dengan harga yang lumayan. Dalam satu peristiwa Stamford Raffles sendiri telah menawarkan pembelian itu melalui seorang yang bernama Ibrahim. Abdulah Munsyi menceritakan :

Maka pada statu hari datanglah jurutulis yang bernama Ibrahim itu ke rumahku, duduk bercakap-cakap dari hal Tuan Raffles itu hendak mencari yang baik bekas tangannya menulis. Dan lagi ia hendak membeli surat-surat Melayu dan hikayat-hikayat dahulu kala. Maka barangsiapa ada menaruh, bawalah ke kebunnya di bandar hilir.

(Abdullah Munsyi dalam Hilaluddin 1992)

Tawaran Stamford Raffles ini mendapat sambutan yang baik dari kalangan orang-orang Melayu ketika itu. Sehingga Abdullah Munsyi mengambarkan sambutan itu sebagai berikut :

Dan lagi pula orang membawa kitab-kitab dan hikayat Melayu pun, entah beberapa ratus jenis, tiadalah teringat. Hampir-hampir habis surat-surat melayu daripada beberapa zaman, daripada harta nenek moyang sekalian habis dijualkan, dibawa orang dari mana-mana, sebab mendapat harga baik.
(Abdullah Munsyi dalam Hilaluddin 1992)


Bahan-bahan bertulis yang tidak boleh dimiliki pula, telah diupah oleh Stamford Raffles beberapa orang untuk menyalinnya dari naskhah asal. Abdullah Munsyi umpamanya, ketika berada di Kelantan telah melakukan tersebut. Dalam buku Kisah Pelayaran Abdullah ada tercatat perkara-perkara itu :

Maka bertemulah saya dengan orang Raja Bendahara yang bernama Enche’ Ha. Maka kata saya “Enche’, tolonglah charikan sama saya “Hikayat Gemala Bahrain”. Maka katanya, “Tuan, ada kepada saya satu bungkusan surat-surat Melayu saya taroh, saudara saya punya; saya kira dalam itu ada kitab-kitab, barangkali ada di-situ; nanti saya bawa di-sini, boleh tuan pileh”, maka kata saya, “Biar-lah saya pergi ka-rumah enche’ bersama-sama melihat surat itu, kerana saya hendak segera belayar”. Maka jawabnya, “Ta’usah tuan pergi; nanti saya bawakan itu surat”. Kemudian pulang-lah ia, lalu dibawanya satu bakul berbungkus kain. Maka saya buka-lah; dalamnya ada surat-surat darihal ugama dan doa sembahyang. Maka dalam it ada-lah dua bab Hikayat Isma Dewa pekerma Raja indah-indah perkataannya.

Maka ia-itu hikayat bahasa Melayu sahaja dengan tiada berchampor-champor dengan bahasa Arab. Maka adalah hal hikayat itu daripada cherita dewa-dewa dan mambang indera dan jin, terlalu molek karangannya; dan satu kitab Khojah Maimun. Maka saya pinjam-lah kepada-nya. Maka kata saya “Enche’ Ha, biar-lah hikayat ini saya bawa ka-Selat, dan saya salin; kemudian nanti saya hantarkan serta dengan hadiah-nya. Maka sekarang, ambil-lah, Enche’ Ha, ini sahalai sapu-tangan pelekat halus, harga empat rupiah”, maka sukalah ia, serta kata-nya, “Kalau uda tuan salin boleh beri kepada Enche’ Buntal, supaya d-hantarkan-nya ka-mari ada-nya.

(Abdullah Munsyi dalam Hilaluddin 1992)

Selain dari Abdullah Munsyi, terdapat juga empat lima orang penyalin yang khusus dalam bidang tersebut. Hikayat Abdullah menyebut pekerjaan mereka itu seperti berikut :

Maka adalah kitab-kitab itu sekalian kira-kira tiga ratus empat puluh lain daripada jenis-jenis syair dan pantun dan ikat-ikatan dan sebagainya. Dan lagi lain pula dipinjamnya, disusurnya salin, ada empat lima orang jurutulisnya yang menyalin sahaja.

Maka adalah seorang bapa saudaraku yang bernama Ismail Lebai yang terlalu baik bekas tangannya menulis, dan lagi adeknya seorang bernama Muhammad Latif. Maka kedua mereka itupun diambilnyalah akan menjadi jurutulis. Maka keesokan harinya datanglah pula ia meminta surat bekas tanganku. Setelah sudah kutuliskan, lalu dibawa kepada Tuan Raffles itu. Maka pada petang itu juga datanglah seorang mata-matanya memanggil aku. Maka pergilah aku, lalu katanya, “Encik tulislah surat-surat kiriman ini ke dalam kitab”. Maka adalah kawanku bernama Tambi Ahmad bin Nina Marikan, anak Melaka. Maka adapun perkara yang ditulis itu berbagai-bagai. Ada yang menyalin hikayat, ada yang menulis surat kiriman, ada yang menulis darihal jalan-jalan bahasa Melayu, dan syair dan sebagainya. Maka adalah masing-masing dengan pekerjaannya.

(Abdullah Munsyi dalam Hilaluddin 1992)

Raffles juga mengadakan kajian-kajian di beberapa kawasan. Beliau mengupah orang mencari semua jenis daun, bunga, cendawan dan lumut. Sebahagiannya diupah untuk mencari semua jenis ulat, belalang, kupu-kupu, kumbang, riang-riang, lipan dan kala jengking. Ada juga yang menerima upah untuk mengumpul jenis-jenis siput, kerang, kepah, lokan, tiram dan remis. Kemudian yang lain pula diupah untuk menangkap binatang-binatang liar seperti ayam hutan, burung-burung, rusa, kijang, pelanduk, kancil dan sebagainya.

Kegiatan Stamford Raffles menampakkan beliau sedaya upaya cuba memperlengkapkan kajian-kajian dalam pelbagai bidangnya. Sudahlah kitab-kitab dan manuskrip-manuskrip Melayu hampir habis dikutipnya dari segenap ceruk rantau, ditambah pula dengan pengumpulan benda-benda yang berhubungan dengan persekitaran Alam Melayu, sehingga berjaya beliau mengejar cita-citanya.
Maka pada masa itu banyaklah orang-orang dalam Melaka mendapat faedah sebab mencarikan segala kejadian yang di udara, dan dari bumi, atau dari laut, dari darat, atau dari negeri, atau hutan rimba, baik yang terbang, baik yang merayap, baik yang bertumbuh, baik yang terbit dari tanah, sekalian perkara yang tersebut itu sekeliannya menjadi duit belaka.

(Abdullah Munsyi dalam Hilaluddin 1992)

Di samping itu, Stamford Raffles sendiri giat menulis sehingga digambarkan oleh Abdullah Munsyi di dalam bukunya Hikayat Abdullah seperti di bawah :

Dan lagi kulihat tabi’atnya pada malam, sudah minum teh serta dengan kawan-kawanya, maka adalah sedia tempat dakwat dan kalam dan kertas di atas meja besarnya itu, serta dua lilin terpasang. Maka apabila puas-puas ia berjalan pergi datang, maka terlentanglah ia ke atas meja itu, berbaring-baring mengaduh, serta dipejamkan matanya, seperti laku orang tidur. Maka pada sangkaku dua tiga kali ia tidur juga. Maka sejurus dengan demikian, maka bangunlah ia tergopoh-gapah lalu menulis-nulis. Setelah itu maka baring pula ia. Demikian kelakuannya sampai pukul sebelas dua belas, baharulah ia masuk tidur.

Maka demikianlah halnya pada tiap-tiap hari, melainkan terkadang datang sahabat-sahabatnya. Maka apabila pagi-pagi ia bangun tidur diambilnya surat-surat yang ditulisnya pada malam itu dibacanya, sambil berjalan-jalan pergi datang. Barangkali dalam separuh helai, dibacanya tiga atau empat helai, diberikannya kepada jurutulisnya, disuruhnya salin ke daalm kitab; dan yang lain dikoyak-koyaknya dibuangkan. Demikianlah adatnya pada tiap-tiap hari.
(Abdullah Munsyi dalam Hilaluddin 1992)

Kesemua maklumat kajian Tanah Melayu dan sekitarnya yang dapat dibawa balik, dihantar oleh Raffles ke Eropah guna memenuhi perpustakaan dan muzium di sana.

Abdullah Munsyi telah mengisahkan detik-detik perpisahan khazanah ini dengan katanya :

Sa-bermula maka pada suatu hari kata Tuan Raffles kepadaku “Tuan, lagi tiga hari sahaya belayar, Tuan kemas-kemaskan segala kitab-kitab Melayu itu semuanya”… Kemudian di-panggil-nya masok ka-dalam bilek sabelah itu serta kata-nya, “Enche’, buka ini tiga almari, ada berisi kitab-kitab Melayu, semuanya-itu alas baik-baik dengan kain lilin ini, susun ka-dalam peti kulit itu, ada empat peti”. Sa-telah sudah, kemudian ada perkakasan Jawa, dan lagi ada banyak jenis-jenis. Maka sa-telah sudah ditunjokkan-nya semua-nya itu, maka keluarlah ia. Dengan tanganku-lah menyipan segala kitab-kitab dn hikayat-hikayat dan sha’er. Maka segala kitab berjilid sahaja ada-lah kira-kira tiga-ratus, maka lain daripada yang berchera-cherai, dan yang bergulong dan yang berhelai-helai, maka penoh-lah tiga buah peti kulit panjang-panjang sa-depa dengan kitab-kitab melayu sahaja. Maka kemudian daripada itu, dua peti dimuatkan surat-surat dan kitab-kitab Jawa dan Bali dan Bugis, serta berjenis-jenis patong dan gambar-gambar dan perkakas-nya dan permainan-nya, dan tulisan-nya dalam daun lontar itu, smuanya tiga empat peti. Dan lagi bunyi-bunyian Jawa pun ada dengan sa-lengkap-nya dalam sa-buah peti besar. Maka lain pula ada remis yang berbagai-bagai rupanya.

(Abdullah Munsyi dalam Hilaluddin 1992)

Sebelum berangkat pulang ke Eropah, Raffles meluahkan hasratnya kepada Abdullah Munsyi untuk menulis kembali sejarah-sejarah yang berhubungan dengan Alam Melayu dengan segala persoalannya. Katanya :

Maka kalau sahaya datang kembali; sahaya hendak mebuat banyak kitab-kitab, iaitu darihal negeri-negeri yang di-sebelah sini, maka sahaya nanti sebutkan nama Enche’ pun dalam kitab itu, bagaimana Enche’ banyak menolong akan sahaya daripada bahasa Melayu dan kepandaian Melayu dan segala pengetahuan Enche’ semuanya nanti sahaya sebutkan, supaya orang puteh boleh mengenal dan perchaya sama Enche’ dalam pekerjaan.

(Abdullah Munsyi dalam Hilaluddin 1992)

Bagaimanapun, beliau tidak berjaya untuk memenuhi cita-citanya. Seperti yang menimpa Alfonso d’Albuquerque, kapal “The Fame (Masyhur)” yang sarat dengan muatan tadi telah terbakar di lautan. Semuanya tenggelam kecuali Raffles dan isterinya sahaja yang dapat diselamatkan. Niat Raffles untuk menulis semua sejarah-sejarah menurut fahaman orientalisme juga turut musnah dengan ketiadaan bahan-bahan bertulis tadi.

Seterusnya orientalis yang terkenal juga ialah Captain Thomas John Nawbold (1807-1850). Ia menerima anugerah peringkat F.R.S. berpangkat kependetaan yang dikurniakan kepada orientalis yang banyak berjasa dalam kajian-kajian orientalisme, dalam ahli dan persekutuan pendeta-pendeta negeri Inggeris yang bergelar “Royal Society”. Selama tiga tahun di Melaka (1832-1835) ia belajar bahasa Melayu daripada Abdullah Munsyi sehingga membolehkannya untuk mengarang buku bertajuk Jajahan-jajahan Takluk British di Selat Melaka. Yang berguna sekali kepada para pengkaji sehingga ke hari ini.

Colonel James Low pula telah menceburkan diri dalam kajian kawasan di beberapa buah negeri di Tanah Melayu. Beliau pernah menaiki gajah menuju ke Cherok To’ Kun, Seberang Perai, untuk menyalin semula suatu kumpulan daripada tujuh keping batu bersurat di bahagian rusuk satu batu besar lagi curam di sana. Beliau juga telah menemui sekeping papan batu yang terpahat di atasnya kalimah syahadah agama Buddha dan serangkap pantun dua bait di Bukit Meriam, Kedah. Satu lagi papan batu yang lama usianya juga telah dijumpai oleh beliau ketika menggali suatu timbunan rumah-rumah lama yang roboh di bahagian utara Seberang Perai. Kedua-dua contoh batu bersejarah itu dihantar oleh beliau kepada Cawangan Persekutuan Asia di Benggala.

Antara orientalis-orientalis berjawatan tinggi dalam pentadbiran Inggeris ialah James Law, Sir William Edward Maxwell, Sir Hugh Clifford, dan Sir Swettenham. Yang memegang anugerah pingat Pahlawan Tertinggi Salib St. Micheal dan St. George (G.C.M.G).

Sememangnya orientalis-orientalis sebahagiannya terdiri dari kalangan paderi Kristian seperti W.G. Shellabear, R.J. Wilkinson yang menerima anugerah Kerabat St. Micheal dan St. George, Britain (C.M.G.) dan R.O. Winstedt adalah pemegang beberapa buah pingat seperti Angerah Komando Sastria dari Jajahan British (K.B.B), Anugerah Kerabat St. Micheal dan St. George (C.M.G.) dan Pingat Akademik British (F.B.A).

Jika dilihat dari latar belakang mereka, sesungguhnya tugas orientalisme dipegang oleh golongan berpelajaran tinggi seperti R.O. Winstedt. Ia mendapat gelaran doktor dalam bidang persuratan dan sastera Universiti Oxford (D. litt (Oxon) dan bidang undang-undang (L.L.D (Malaya). Ia juga memegang peranan guru bahasa di Universiti London.

Orientalis Inggeris dan Karya-karya Mereka Mengenai Tanah Melayu

Sir Stamford Raffles

Sir Stamford Raffles telah berjaya menghasilkan sebuah karya mengenai undang-undang laut dan pelayaran di Alam Melayu dalam dua siri. Kedua-dua siri ini termuat dalam Journal of the Straits Branch of the Royal Asiatic Society bilangan tiga dan empat.


James Low

Seorang hakim di Pulau Pinang sehingga tahun 1850. Ia adalah seorang penulis yang terkenal. James Low telah menterjemah Hikayat Sejarah Kedah (Hikayat Merong Mahawangsa) ke dalam bahasa Inggeris. Karya-karya lainnya banyak menyentuh kesan-kesan lama yang terdapat di Seberang Prai.


Major Mac Nair

Dia adalah seorang pegawai tentera dan penulis Inggeris yang juga Bekas Pemangku Setiausaha Kerajaan dalam pentadbiran Negeri-negeri Selat.

Antara buku-buku karyanya ialah :
(a) Orang-orang Soleh Dalam Penjara Jadi Penjaga Diri Sendiri. Buku ini menyentuh tentang peraturan dalam pembicaraan orang-orang salah di Negeri Selat pada masa itu.
(b) Negeri Perak dan Orang-orang Melayu. Isi buku ini membicarakan suatu gambaran umum semasa berlakunya peperangan Perak dalam tahun1875.

Sir William Edward Maxwell

Dia ialah hakim besar pertama Negeri-negeri Selat dan kemudiannya menjadi Setiausaha Agung untuk Negeri-negeri Selat. Dalam tahun 1984, ia menjawat jawatan Gabenor Jajahan Gold Cioast (di pantai barat Afrika). Buku Kitab Belajar Bahasa Melayu merupakan hasil karangannya yang terkenal. Dia juga telah menulis karangan-karangan penting mengenai sejarah, undang-undang, cerita-cerita, kepercayaan dan adat-adat orang-orang Melayu yang terkumpul di dalam Majalah Persekutuan Royal Asiatic Society Cawangan Negeri-negeri Selat.


Henry N. Ridley

Dia adalah Pengarah Taman Bunga Singapura dalam tahun 1888. Orientalis Inggeris ini seorang pakar dalam bidang tumbuh-tumbuhan. Dia berjaya menghasilkan karya besarnya dalam lima jilid berbentuk Tumbuh-Tumbuhan di Semenanjung Tanah Melayu. Karyanya ini menjadi rujukan penting kepada mahasiswa Jabatan Perhutanan sampai kini.


Sir Frank A. Swettenham

Seorang orientalis Inggeris yang banyak memegang jawatan. Ia pernah menjadi Ketua Pejabat Tanah Pulau Pinang dan berpeluang menghadiri Perjanjian Pangkor. Kemudiannya ia dilantik sebagai Penolong Residen Selangor dan pada tahun 1882 ia menjawat jawatan Residen Selangor. Jawatan yang disandangnya selepas itu ialah Residen General Negari-negari Persekutuan dan akhinya sebagai Gabenor Negeri-Negeri Selat.

Antara buku karyanya ialah :
(a) Peta-peta Kasa Darihal Orang Melayu
(b) Orang-orang Melayu Jati
(c) Tanah Melayu Pemerintahan British

Sir Hugh Califord

Ia adalah Gabenor Negeri-negeri Selat dan Pesuruhjaya Tinggi Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Orientalis Inggeris ini berjaya menghasilkan karya-karya di bawah :

(a) Dalam Istana dan Kampung
(b) Beberapa Pemerhatian Darihal Manusia Yang Berkulit Perang
(c) Suatu Sudut Benua Asia

Di sana ada beberapa buah karyanya lagi yang mendedahkan suasana dan cara hidup orang Melayu.

R.J. Wilkinson

R.J. Wilkinson ialah salah seorang orientalis Inggeris yang terkenal di Tanah Melayu. Ia pernah memegang jawatan Residen Negeri Sembilan (1911), Colonial Secretary (Setiausaha Jajahan) Negeri-negeri Selat dan akhirnya menjadi Gabenor Sierra Leon. R.J. Wilkinson banyak mengarang buku-buku mengenai Tanah Melayu di antaranya :
(a) Kamus Melayu Inggeris
(b) Kepercayaan Melayu

Ia juga menganggotai sidang pengarang kepada buku penting bertajuk Karangan-karangan Perihal Perkara-perkara Melayu. Buku ini amat penting dan menjadi rujukan kepada penyelidikan zaman kini.

R.O. Winstedt

Dia ialah seorang orientalis yang banyak memberi sumbangan kepada orientalisme. Didedahkan hampir semua hal yang berhubungan dengan Tanah Melayu kepada Barat.

Antara buku-buku karyanya ialah :
(a) Sejarah Negeri Johor (1932), Perak (1934), Selangr (1934), Negeri Sembilan (1934), Tanah Melayu (1936) dan Persuratan Melayu (1939).
(b) Ugama Islam Di Negeri-Negeri Alam Melayu (satu bab dalam sebuah buku bernama Islam 1947).
(c) Tanah Melayu Dengan Sejarahnya (1948).
(d) Kamus Melayu Inggeris.
(e) Kepercayaan Bomoh Dan Pawang Melayu.

Di samping itu banya lagi hasil kajiannya tentang bahasa Melayu. Kesusasteraan Melayu, kepercayaan Melayu dan lain-lain lagi.

Keseluruhan karya-karya orientalis Inggeris dimuatkan di dalam Jurnal-jurnal seperti Journal of The Straits Branch of The Royal Asiatic Society dan Journal of The Malayan Branch of The Royal Asiatic Society.

Sebagai kesimpulan, kemasukan pergerakan dan perkembangan awal orientalisme di Malaysia terjadi di zaman penjajahannya. Pada masa yang sama khususnya pada abad ke-19 dan ke-20, pergerakan orientalisme di Eropah mencapai Zaman Keemasan dan kegemilangan. Oleh itu hubungan erat antara orientalisme dan penjajahan di Malaysia tidak dapat disangkal lagi. Semangat salibiyyah yang berkobar-kobar untuk membendung pengaruh Kerajaan Islam Uthmaniyyah Turki di rantau ini khususnya, dan dakwah Islamiyyah amnya adalah merupakan faktor penting kehadiran mereka ke sini. Dalam hal ini khidmat-khidmat para orientalis dalam mengumpulkan manuskrip Melayu sama ada secara beli atau disalin, serta pelbagai karya mengenai Tanah Melayu memainkan peranan besar dalam memudahkan proses penjajahan.

Kedatangan Portugis , Belanda dan Inggeris ke Malaysia telah didorong oleh dua matlamat khusus iaitu gabungan di antara orientalis dan penjajahan ke atas negara ini. Kedua-dua matlamat ini adalah bertujuan untuk mengkristiankan orang-orang Islam serta menyalurkan satu fahaman yang dapat mempengaruhi minda orang Islam supaya mempunyai pemikiran ala barat seperti mereka. Setelah pemikiran dan tindak tanduk orang Islam di kawal maka pengaruh agama Islam dapat disekat dengan mudah. Terbukti bahawa tokoh-tokoh besar penjajah seperti yang disebutkan di atas seperti Alfonso D’ Albuquerque, Snouk Hugronje dan Stamford Raffle adalah di antara tokoh orientalis yang sangat licik dan bijak dalam mengumpulkan data-data penting mengenai Malaysia dalam menyekat dakyah Islam terus bertapak dan berkembang di Malaysia.

Beberapa orang orientalis Inggeris seperti Frank A Sweettenhem , Harry N. Ridley , Sir Hugh Califord , R.J Watkinson dan R.O Winsteadt yang disanjung dan dihormati oleh segelintir orang-orang Islam turut juga memberikan khidmat mereka dengan menghasilkan karya-karya Malaysia. Karya-karya tersebut saling lengkap melengkapi untuk mendedahkan suasana dan kehidupan masyarakat orang Islam di Malaysia. Hal demikianlah yang menyebabkan pemikiran dan tindak tanduk orang Islam mudah dikuasai oleh penjajah sekaligus menyebarkan fahaman orientalis terhadap golongan orang Islam yang terlalu mengagungkan penjajah barat.

Sasaran terpenting orientalis barat di Malaysia ialah huruf-huruf Arab yang digunakan dalam tulisan jawi. Di antara usaha yang dilakukan oleh para orientalis ialah dengan cuba mengetepikan tulisan jawi dengan orang Islam. Kesan yang diperolehi oleh usaha ini ialah orang Islam terputus dengan khazanah ilmu-ilmu Islam yang sangat agung pada suatu masa dahulu. Di sebabkan usaha ini juga, semangat jihad untuk menegakkan agama Allah di muka bumi ini kian pudar ditelan arus dan zaman. Tambahan pula penggunaan tulisan rumi yang menggantikan tulisan jawi pada hakikat sebenarnya adalah mewakili Barat dalam menyebarkan fahaman orientalis melalui istilah-istilah Inggeris. Dengan ini terhasillah hasrat sekian lama mereka untuk membendung sekaligus menyekat dakwah dan ilmu-ilmu Islam kian berkembang di negara ini.

Semua maklumat yang terkumpul dalam karya-karya orientalis dan manuskrip Melayu tentang orang Islam dan Tanah Melayu adalah satu proses penjajahan yang dilakukan. Secara umumnya orang Islam di negara ini telah dijajah dari dua segi iaitu dari segi mental dan segi fizikal. Kegiatan dan usaha-usaha yang telah dijalankan oleh para orientalis dahulu sebenarnya mengakibatkan kesan yang buruk terhadap masa depan umat Islam khususnya dan negara amnya. Orang Inggeris terutamanya telah terjun ke dalam bidang ini untuk mencari titik kelemahan orang-orang Islam di negara ini yang terlalu alpa dengan kenikmatan yang diberi oleh penjajah yang bersifat orientalis.

Sebenarnya sistem sosial di Malaysia juga terlalu banyak terpengaruh ke arah Barat. Contohnya dari aspek hubungan rumahtangga antara suami dan isteri. Terdapat panggilan yang terus menerus menunjukkan bahawa pengaruh orientalis sebenarnya agak kuat di negara ini seperti “ling” yang berasal dari perkataan “darling”. Tanpa disedari kita juga berada di kalangan ini contohnya lagi ada segelintir masyarakat Melayu yang menyingkat dan menginggeriskan nama mereka seperti Khadijah menjadi ‘Khaty’, Salmah menjadi ‘Sally’ dan sebagainya. Jika kita tinjau dari aspek pendidikan dan asuhan kanak-kanak pula fenomena yang sama juga berlaku. Sejak dari kecil mereka di ajar memanggil ibu dan bapa dengan perkataan Inggeris seperti ‘daddy’ dan ‘mummy’. Terdapat juga segelintir para ibu yang membacakan kisah-kisah yang diambil dari buku inggeris seperti Cinderella , Snow White , Rapunzel dan sebagainya. Persoalannya mengapakah para ibu tidak membacakan kisah-kisah teladan zaman Rasullullah , kisah-kisah nabi kepada anak-anak mereka? Maka dari sini dapatlah kita mengagak bahawa ramai orang Islam di negara ini telah terpengaruh dengan fahaman orientalis. Anak- anak juga di hantar untuk belajar menari ballet dan bermain piano. Bagi mereka kebudayaan Melayu tidak menarik untuk diikuti.

Sobri Salamon juga menegaskan bahawa Malaysia kini sedang mengamalkan ekonomi kapitalis barat yang berasaskan kepada falsafah laissez faire dan Free Enterprise dan hak milik dan kebebesan individu tanpa batasan. Amalan sistem ekonomi barat ini tidak menggambarkan wujudnya roh agama di dalamnya. Ini adalah kerana menurut ekonomi Barat sumber asal alam terhad di satu pihak dan kehendak manusia yang tidak terhad di satu pihak yang lain. Keadaan ini menyebabkan manusia berlumba-lumba menggunakan apa saja cara untuk mengejar kemewahan dan kekayaan dunia sehingga membawa impak yang buruk kepada masyarakat. Kesan daripada ini maka berlakulah pengagihan yang tidak seimbang, pengeksploitasi dan kehabisan sumber, penyalahgunaan, pembaziran sumber dan kerosakan alam sekitar. Menurut Islam pula, kehendak manusia meskipun boleh menurut kemahuan masing-masing akan tetapi ia dibatasi oleh syariah. Jelaslah bahawa kesan menerima sistem Barat akan mengakibatkan lahirnya kurang keyakinan terhadap kemampuan sistem Islam. Fahaman yang ditabur oleh orientalis terus menerus membuktikan bahawa sistem ekonomi Islam tidak relevan dan ketinggalan zaman

Selain itu juga, maklumat salam dalam kamus dan ensiklopedia menyebabkan fenomena fahaman orientalis ini makin menular di Malaysia. Satu masalah yang dihadapi oleh cendekiawan Islam kini ialah rujukan utama mengenai bahasa Arab dan pemikiran Islam berlandaskan kepada pandangan Barat Kristian. Maklumat yang diberikan adalah amat berbeza dari realitinya. Sebagai contoh dua buah buku telah digunakan di sekolah-sekolah agama Arab dan IPTA di Malaysia. Buku itu ialah :

1) Kamus al Munjid karangan Luwis Ma’aluf. Buku ini dicetak di Matbaah al Kuliyyah Beirut (tanpa tarikh) satu jilid
2) Al Mausu’at al arabiyyah al muyassarah karangan Muhammad Syafiq. Dicetak pada tahun 1965 di Dar al Qalam wa mu assah ,Franklin li al Tiba ah wa al nash ,al qahirah juga satu jilid

Menurut Ibrahim al Qattani dalam bukunya Atharat al Munjid bahawa terdapat 2434 maklumat yang salah di dalamnya. Contoh maklumat yang salah dalam Kamus Munjid di halaman 480 tercatat maklumat :

Muhammad (580-632) Nabi umat Islam. Kedua-dua ibubapanya meninggal dunia. Ia dijaga oleh bapa saudaranya Abu Talib, selepa itu dia berkahwin dengan Khadijah dan mendapat anak serta menyeru orang arab kepada Islam. Apabila dikira tahun kelahiran nabi dan tahun kewafatannya 580-632, ini bermakna nabi hidup 52 tahun sedangkan dalam hadis nabi wafat ketika berumur 63 tahun.


4.4 Penolakan Hadis Sebagai Sumber Hukum di Malaysia

Usaha untuk menolak hadis dari menjadi sumber hukum dan perundangan kedua selepas al-Quran giat dijalankan oleh golongan orientalis. Malah ia bukan perkara baru lagi di Malaysia. Penolakan hadis sebagai sumber hukum telah dipelopori oleh Golziher, iaitu seorang orientalis berketurunan Yahudi. Golongan tersebut yang telah menyuarakan slogan berbunyi “cukup dengan al-Quran sahaja” boleh menyebabkan umat Islam menjadi ragu terhadap kedudukan hadis di dalam perundangan Islam.

Apabila umat Islam mula terpengaruh dan menerima slogan golongan tersebut, maka secara tidak langsung melibatkan penolakan kaedah ilmu-ilmu Islam yang lain juga. Ini temasuk kaedah yang terkandung dalam Ilmu Tafsir, Ulum al-Quran, Mustalah Hadis dan Usul al-Fiqh. Usaha-usaha ini juga boleh menggugat kegiatan dakwah di Malaysia. Menurut Hilaluddin (1992), antara kesan yang wujud tanpa disedari hasil dari usaha-usaha penolakan Hadis di atas ialah :

i. Penolakan hadis membawa penolakan al-Quran itu sendiri. Sebagaimana firman Allah :
لقد من الله عل المؤمنين اذ بعث فيهم رسولا من أنفسهم يتلوا عليهم ءايته ويزكيهم ويعلمهم الكتب والحكمه وان كانوا من قبل لفي ضلل مبين.
Sesunguhnya Allah memberi kurniaan kepada orang-orang yang beriman, kerana dia telah mengutuskan mereka seorang rasul dari antara mereka sendiri, yang akan membacakan keterangan-keterangan tuhan kepada mereka, menyucikan mereka, dan mengajarkan kitab dan kebijaksanaan kepada mereka, biarpun mereka sebelum itu dalam kesesatan yang nyata.

ii. Penolakan Hadis bererti membuka peluang peluang seluas-luasnya kepada musuh-musuh Islam menafsir al-Quran secara fahaman orientalis Barat.
iii. Membuang syariat (undang-undang Islam) kerana syariah Islam dijelaskan oleh Hadis.
iv. Bererti menghina Rasulullah SAW, para Sahabat, ulama-ulama selepas mereka serta seluruh umat Islam.


4.5 Percubaan Menolak Hadis Di Malaysia

Menurut Hilaluddin (1992), penolakan Hadis di Malaysia telah cuba diperkenalkan oleh Kassim Ahmad. Pengaruhnya mulai bercambah terutamanya selepas pembatalan ceramah-ceramah beliau oleh pihak pentadbir Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) atas arahan Majlis Agama Islam Selangor pada saat-saat akhir. Ceramah-ceramah itu sepatutnya diadakan pada 17-21 mac 1986 di seminar “Penilaian Semula Hadis”, anjuran jabatan Antropologi dan Sosiologi UKM, Bangi. Menurut ketua jabatan tersebut, terdapat sambutan luar biasa hebatnya dari masyarakat kampus dan juga masyarakat di luar kampus terhadap seminar itu. Pihak-pihak yang terpengaruh dengan isu tersebut telah melahirkan rasa simpati terhadap tindakan pembatalan tersebut.

Pengaruh anti hadis semakin berkembang apabila buku “Hadis Satu Penilaian Semula” telah berjaya dicetak pada awal tahun 1986. Antara isi kandungan buku ini ialah lima ceramah Kassim Ahmad yang pernah dibatalkan oleh Majlis Agama Islam Selangor sebelum ini (Hilaluddin 1992).

Menurut Kassim Ahmad sendiri dalam tempoh dua minggu berada di pasaran, 5,000 naskhah bukunya telah dijual. Orang ramai berpusu-pusu di kedai buku untuk mendapatkan buku itu, terutama apabila ada ura-ura ia hendak diharamkan. Para pensyarah dan pelajar juga tidak ketinggalan. Mereka merupakan kalangan majoriti yang membeli buku Kassim Ahmad ini. Dari tinjauan pihak akhbar mendapati ada di antara pembaca-pembaca buku ini sudah terpengaruh serta memberi sokongan penuh kepada beliau. Bagi mereka kononnya huraian-huraian yang terdapat di dalamnya berdasarkan kepada kajian serta penyelidikan.

Namun demikian, akhirnya buku Kassim Ahmad yang telalu banyak menimbulkan kontroversi ini diharamkan di semua negeri di Malaysia. Walaupun begitu, pendapat-pendapat anti hadisnya masih lagi dapat dibaca oleh orang ramai melalui akhbar-akhbar tempatan.

Usaha menolak hadis ni juga telah dipengaruhi oleh Rashad Khalifah dan mendapat sokongan beliau sendiri (Hilaluddin 1992). Tiga buah buku hasil karangannya menafikan kedudukan hadis sebagai sumber perundangan Islam. Buku-buku tadi telah di sebarkan di Malaysia oleh orang yang terpengaruh dengan teori tesebut. Dianggarkan golongan ini mempunyai ratusan pengikut yang begitu gigih dan sanggup berdebat mengenai isu hadis. Golongan ini lebih suka menggelarkan diri mereka sebagai “pro Quran”.

Pada hakikatnya, usaha menolak hadis ini sebenarnya adalah satu usaha supaya umat Islam berkiblatkan Barat. Ia juga akan mempertahankan segala sistem yang datang dari sana termasuklah sistem sekularisme. “Sekularisme sebagai satu konsep tidak patut menimbulkan terlalu banyak masalah, seperti yang cuba digambarkan oleh sesetengah ulama dan sarjana tradisional kita, termasuklah Hasan Nadvi, Maududi, Syed Hussein Nasr dan Syed Naquib” (Kassim Ahmad dalam Hilaluddin 1992).


4.6 Sasaran Penolakan Hadis Di Malaysia

Pada umumnya, terdapat empat sasaran penting Penolakan hadis di Malaysia. Sasaran-sasaran tersebut termasuklah penolakan hadis itu sendiri, penafsiran al-Quran secara fahaman orientalisme Barat, penolakan syariah Islam dan penghinaan terhadap nabi, ulama pewarisnya serta masyarakat Islam seluruhnya.

Di bawah ini dijelaskan dua daripada sasaran-sasaran tersebut :

a) Penolakan Hadis

Di dalam kata pengantar buku Hadis Satu Penilaian semula, Kassim Ahmad telah menggunakan satu slogan dalam usaha untuk menarik perhatian orang ramai yang berbunyi, “Tajuk ini sebenarnya memerlukan satu kajian Ph.D dan masa sekurang-kurangnya dua tahun. Saya telah melakukannya dalam masa lapan bulan!” (Hilaluddin 1992). Slogan ini seolah-olah menjelaskan bahawa kajian ini amat bermakna dan patut diberi perhatian, serta diterima kemudiannya.

Dengan berdasarkan buku The Computer Speak’s, Kassim Ahmad bagaikan meminta simpati dari kalangan orang-orang Islam supaya hadis ditolak seperti mana juga ia bersimpati kepada pengarang buku tersebut, Rashad Khalifah. Kemudian Kassim Ahmad berkata lagi:

Buku ini (The Computer Speak’s) secara saintifik membuktikan ketulenan al-Quran sebagai perutusan Tuhan kepada manusia yang sepenuhnya terpelihara, dan menarik perhatian pembaca kepada kesempurnaannya, lengkapnya dan keterprinciannya, menyebabkan manusia tidak memerlukan buku-buku lain sebagai sumber bimbingan. Ini bermakna hadis sekaligus tertolak sebagai sumber teologi dan perundangan.
(Kassim Ahmad dalam Hilaluddin 1992)

Apabila umat Islam turut bersimpati dengan kenyataan di atas, maka usaha Kassim Ahmad akan berjaya. Usaha untuk merubah kaedah-kaedah ilmu Islam yang berhubungan dengan hadis lebih senang dijalankan. Seterusnya tanpa kaedah ilmu-ilmu tersebut memudahkan Kassim Ahmad meneruskan lagi usahanya memperlaga-lagakan antara al-Quran dan Hadis.

Dengan cara demikian, beliau merasa senang dan bebas untuk mengeluarkan perundangan yang mengelirukan terhadap hadis. Perundangan-perundangan yang mengelirukan itu dapat di lihat dalam perbincangan oleh Hilaluddin (1992) seperti di bawah:

i. Hadis satu peyelewengan
hadis/sunnah merupakan satu penyelewengan daripada ajaran-ajaran nabi Muhammad yang tidak boleh diterima sebagai perundangan adalah benar.

ii. Hadis ajaran palsu
Hadis atau sunnah nabi suatu ajaran palsu yang muncul antara 200-250 tahun kemudiannya dan dikaitkan dengan nabi Muhammad.

iii. Hadis kuasa palsu
Walaupun ada lagi kuasa-kuasa palsu lain yang sedang dipegang oleh sesetengah umat Islam khasnya liberalisme dan marxisme, hadislah kuasa palsu yang telah dipegang begitu lama dan meluas oleh kebanyakan umat Islam.

iv. Hadis cerita rekaan
hadis mempunyai makna satu laporan tentang apa yang kononnya telah diaktakan atau dibuat oleh nabi muhammad. Pertumbuhan hadis, nampaknya bermula dalam bentuk cerita-cerita mengenai nabi, yang diceritakan oleh tukang-tukang cerita, bentuk pujian-pujian terhadap Ali dan Abu Bakar dan bentuk panduan-panduan dalam hal halal dan haram. Inilah yang kemudiannya diberi bentuk hadis.

v. Hadis media tahyul dan prasangka
Hadis menjadi saluran dan media segala macam tahyul dan prasangka dalam masyarakat.

vi. Hadis omong kosong
bahawa kebanyakan hadis merupakan omong kosong yang menyesatkan manusia dari jalan tuhan tanpa mengetahui.

vii. Hadis khurafat dan bid’ah
malah nabi Muhammad akan muncul lebih bersinar dan lebih agung tanpa khurafat dan bid’ah hadis/sunnah yang difitnahkan kepada beliau.

viii. Hadis punca kekeliruan dan perpecahan
saya berpendapat ajaran-ajaran palsu inilah punca kekeliruan dan perpecahan terbesar di kalangan umat islam selama lebih seribu tahun.

Kassim secara jelas menolak hadis di sebalik kenyataan yang beliau memuliakan nabi. Bagi Kassim, hadis tidak lebih dari catu catatan sejarah dan bahan kajian ahli-ahli sejarah untuk menilai zaman itu. Semua itu tertakluk kepada neraca sains, sejarah, hukum akal dan wahyu (al-Quran sahaja).


b) Penafsiran al-Quran mengikut fahaman orientalis Barat.

Tujuan utama penolakan hadis sebenarnya mahu membebaskan atau menjauhkan diri dari al-Quran. Mereka tidak mahu bergantung kepada tafsiran-tafsiran dari hadis dan ulama-ulama tafsir. Ini kerana seolah-olah hadis dan tafsiran ulama menjadi pengalang besar dalam usaha menafsir al-Quran menurut fahaman orientalis Barat.

Kassim Ahmad pernah berkata :
Siapakah yang mengalang kita daripada membaca (dengan memahami) al-Quran selama ini? Kita akan mengguanakan budi bicara kita untuk menerima atau menolak tafsran, huraian dan saranan kitab-kitab lain, sama ada kitab hadis atau kitab ulama’.....

Secara sedar atau tidak, banyak kekeliruan akan timbul sekiranya tasir muktabar dibuang serta diganti dengan tafsir-tafsir orientalisme barat dalam penafsiran al-Quran. Kesudahannya tafsiran-tafsian yang mengelirukan ini akan memusnahkan ajaran dan juga kekuatan umat Islam itu sendiri. Apabila perkara ini menjadi kenyataan, maka rancangan musuh-musuh Islam untuk menghancur dan memusnahkan dakwah Islamiyah akan berjaya.

Menurut Hilaludin (1992), antara tafsiran al-Quran yang tidak tepat dan mengelirukan telah dilakukan oleh Kassim Ahmad seperti dibawah :

i. Perkataan al-Quran atau pengertiaannya telah ditafsirkan dengan penggunaan al-Quran sahaja tanpa hadis :
وقال الرسول يرب ان قومي اتخذوا هذا القران مهجورا
Maksudnya :
Dan Rasul berkata : wahai Tuhanku! Sesungguhnya kaumku menjauhi al-Quran ini.

Ayat 30 dalam surah al-Furqan di atas sebenarnya menceritakan bagaimana Rasulullah mengadu kepada Allah, apabila kecaman orang-orang Kafie Quraisy dan berkata : wahai tuhanku! Sesungguhnya mereka mendustai al-Quran serta menghindari diri dari mendengarnya. Ayat di atas sedikit pin tidak menyuruh supaya di tolak hadis sepertiyang difahami oleh Kassim Ahmad.

Perkataan hadis dengan makna al-Quran juga telah dijadikan alasan untuk menolak hadis Nabi SAW. Menurutnya perkataan hadis tidak lain melainkan al-Quran sahaja.
تنزيل من رب العالمين أفهذا الحديث أنتم مدهنون
Maksudnya :
Wahyu yang turun dari Tuhan semesta alam. Apakah berita (keterangan) ini kamu pandang enteng?

الله نزل أحسن الحديث كتبا متشبها مثاني تقشعر منه جلود الذين يخشون ربهم
Maksudnya :
Allah telah menurukan berita yang sebaik-baiknya iaitu kitab al-Quran. Isinya serupa dan berulang-ulang. Seram kerananya kulit-kulit orang-orang yang takut kepada tuhan.

Walaupun ayat-ayat di atas menggunaakn perkataan hadis dengan makna al-Quran, ia sama sekali tidak memberi erti menolak hadis Rasulullah. Ini adalah kerana ayat-ayat tersebut adalah untuk mendedahkan sikap dusta orang-orang Kafir Quraisy.


ii. Perkataan kebijaksanaan الحكمه telah ditafsirkan dengan al-Quran.

ربنا وابعث فيهم رسولا منهم يتلوا عليهم ءايتك ويعلمهم الكتب والحكمه ويزكيهم انك أنت العزيز الحكيم

Tuhan kami! Utuslah untuk mereka seorang rasul dari golongan mereka, yang akan membaca kepada-kepada keterangan engkau, dan mengajarkan kitab dan kebijaksanaan kepada mereka, sesungguhnya Engkau Maha Kuasa dan Bijaksana.

Perkataan kebijaksanaan menurut tafsir yang sahih ialah hadis bukannya al-Quran.

iii. Perkataan الاغلال bermakna belenggu, telah ditafsirkan dengan hadis nabi.
الذين يتبعون الرسول النبي الامي الذى يجدونه مكتوبا عندهم فى التوية والانجيل يأمرهم بالمعروف وينههم عن المنكر وبحل لم الطيبت ويحرم عليهم الخبث ويضع عنهم اصرهم والاغلال التي كانت عليهم فالذين ءامنوا به وعزروه ونصروه واتبعوا النور الذى أنزل معه أولئك هم المفلحون.

Maksudnya :
Iaitu orang-orang yang mengikuti Rasul, yang ummi (tidak tahu tulis baca), yang namanya mereka dapati tertulis di dalam Taurat dan Injil, yang ada di sisi mereka, dia menyuruh mereka, mengerjakan yang baik, melarang mereka mengerjakan yang salah, membolehkan yang baik-baik kepada mereka, melarang barang-barang yang kotor kepada mereka, dan meringankan beban mereka dan belenggu yang menyusahkan mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya, memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya terang yang diturunkan kepadanya, mereka itulah orang-orang yang beruntung.

Sebenarnya ayat di atas menerangkan bagaimana Nabi Muhammad mendatangkan keringanan kepada umatnya. Keringanan itu dapat lihat dari pengguguran beberapa syariat terdahulu yang dikira berat, sehingga diserupakan dengan belenggu. Antara syariah yang digugurkan itu ialah bunuh diri sendiri sebagi syariah penerimaan taubat, memotong tempat kain yang terkena najis dan bunuh balas sekalipun dalam kes yang tidak di sengajakan.

iv. Perkataan شركؤا yang bererti sekutu-sekutu, telah diterjemahkan dengan “patung-patung” dan kemudiaannya ditafsirkan dengan hadis nabi.

أم لهم شركؤا شركوا لهم من الدين ما لم يأذن به الله

Maksudnya :
Apakah mereka mempunyai sekutu-sekutu (dalam Ketuhanan) yang mengadakan agama untuk mereka, dengan tidak mendapat keizinan dari Allah.

Menurut tafsir sebenar, makna sekutu-sekutu dalam ayat di atas ialah sekutu-sekutu dari kalangan syaitan dan patung-patung berhala yang dijadikan tuhan oleh orang-orang Kafir Quraisy. Ia sama sekali tidak bermaksud hadis.

v. Perkataan من دون الله yang bererti selain daripada allah telah diterjemahkan sebagai “berhala” dan ditafsirkan dengan hadis nabi.

واذا ذكر الله وحده اشمأزت قلوب الذين لا يؤمنون بالأخرة واذا ذكر الذين من دونه اذا هم يستبشرون.
Maksudnya :
Ketika disebut allah sendirian sahaja, amatlah kesal hati-hati orang yang tiada mempercayai hari kemudian itu. Tetapi ketika disebut pujaan selain Allah, ketika itu mereka amat gembira.

Perkataan selain dari Allah itu sebenarnya bermaksud berhala dan patung-patung sembahan orang Kafir. Berhala dan patung-patung ini bila disebut, nescaya akan gembiralah mereka. Sedangkan apabila disebut nama Allah akan nampak tanda-tanda kebencian dimuka mereka. Ini menunjukkan apa yang ditafsir oleh Kassim amat mengelirukan.

Apa yang penting ialah penolakan hadis juga turut melibatkan keseluruhan ayat. Bukan sekadar ayat-ayat tertentu sahaja. Tujuan utamanya adalah supaya umat Islam tidak langsung mengamalkan ajaran al-Quran dalam kehidupan seharian. Inilah objektif yang dirancang oleh golongan orientalis tidak kira dalam apa jua bentuk sekalipun.


Penutup

Fahaman orientalis merupakan satu serangan pemikiran dan ancaman yang sangat berbahaya terhadap umat Islam pada masa kini. Bahayanya aliran fahaman ini amat sukar untuk dikesan oleh mata kasar ia dapat diumpamakan seperti penyakit barah yang hanya dapat dikesan setelah ianya benar-benar parah. Persefahaman yang berlaku diantara umat Islam dan orang Barat pada masa kini adalah disebabkan terdapatnya kepentingan yang saling memerlukan diantara satu sama lain dan lengkap melengkapi dalam sesetengah hal. Tujuan fahaman ini disebar sejak zaman penjajah lagi adalah kerana orang barat ingin memusnahkan agama Islam di muka bumi ini sekaligus menyebarkan dakyah-dakyah Kristian di Malaysia.

Di peringkat Institut Pengajian Tinggi (IPT), teknik pembelajaran berasaskan nota seperti lagi di sekolah adalah tidak relevan untuk diamalkan lagi. Teknik berasaskan penyelidikan perlu di gunakan selaras dengan tuntutan menuntut ilmu sehingga ke liang lahad ini adalah bertujuan untuk menyelongkar khazanah buku-buku klasik dan diberi penelitian secara kritis dan ilmiah supaya kita dapat menghasilkan kembali keagungan ilmu-ilmu Islam pada suatu ketika dahulu.

Karya penyelidikan Islam perlu dipelihara kesuciannya supaya karya-karya ini dapat dibaca dan dikaji oleh umat Islam pada masa akan datang. Dengan ini tidak akan berlaku isu-isu seperti fahaman yang hanya mengikut logik akal seperti fahaman orientalis ini.

Kesimpulannya, orang Barat mempunyai sikap yang negatif terhadap dunia Islam dan kadang-kadang turut membantu usaha yang dilakukan oleh sebahagian pihak yang mahu menghancurkan Islam kerana telah diresapi oleh pengaruh orientalis. Sebagai umat Islam, kita seharusnya berusaha-usaha bersungguh-sungguh dan berterusan memelihara agama suci ini daripada dinodai pengaruh-pengaruh Barat yang tidak jemu berusaha menjatuhkan Islam.

RUJUKAN

A. Muin Omar. 1969. Orientalism and Islam. Jogjakarta: Institut Agama Islam Negeri al-Djamiah al-Islamiyah al-Hukumiyah Sunan Kalidjaga.

A. Muin Omar. 1978. Orientalisme dan studi tentang Islam. Jakarta: Penerbit Bulan Bintang.

Abdul Halim Hj. Mat Diah. 1989. Beberapa masalah ummah. Kuala Lumpur: Angkatan Belia Islam Malaysia, Wilayah Persekutuan.

Ahmad Abdul Hamid Ghurab C. 1991. Menyingkap tabir orientalisme. Jakarta: Pustaka al-Kautsar.

Akhbar S. Ahmed. 1993. Postmodernisme: bahaya dan harapan bagi Islam. Bandung: Penerbit Mizan.

Bicara Agama. 1999. 22 Ogos.

H. Abuddin Nata. 2000. Metodologi studi Islam. Jakarta: PT Raja Grafindo Persada.

Hamka. 1984. Tafsir al-Azhar; Juzu’ 10-11-12. Surabaya: Panji Masyarakat.

Hamka. 1984. Tafsir al-Azhar; Juzu’ 7-8-9. Surabaya: Panji Masyarakat.

Hassan Muhammad Hassan. 2002. Cara menentang serangan pemikiran terhadap umat Islam. Osman Hj Khalid (terj.). Kuala Lumpur: Yayasan Dakwah Islamiah.

Hilaluddin Abdullah. 1992. Orientalime: pergerakan, perkembangan dan kesannya di kalangan orang Islam Malaysia. Tesis Sarjana Pengajian Islam. Bangi: Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Jabir Qamihah. 2004. Musuh-musuh Islam. Akhmad Budhiyanto (terj). Jakarta: Qisthi Press.

Lewis R. 2004. Rethinking orientalism (woman, travel and the Ottoman Harem). I.B. Tauris & Co Ltd.

Mahmud Hamdi Zaqzuq. 1989. Orientalisme; kesan pemikirannya terhadap tamadun Islam. Mudasir Roser dan Che Yusuf Che Mat (terj). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Pustaka.

Maryam Jameelah. 1971. Islam and orientalisme. Pakistan; Mohamad Yusuf Khan, Sant Nagar, Lahore.

Maryam Jamilah. 1994. Islam dan orientalisme: sebuah kajian analitik. Machnun Husein (terj). Jakarta: Rajawalipers.

Mingguan Malaysia. 1999. 29 Ogos.

Mohd Kamil Abdul Majid. 2002. Tamadun Islam dan tamadun Asia. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

Mohd Zaid Kadri. 1997. Fakta-fakta dari tafsir al-Azhar, Juzuk 1-30 Prof. Dr. Hamka. Johor Bharu: Badan Cemerlang Sdn. Bhd.

Muhammad al-Bahi. 1985. Penentangan Islam terhadap aliran pemikiran perosak. Mat Sa’ad Abd Rahman dan Mohd Akhir Hj. Yaakob (terj.). Kuala Lumpur.

Said W.E. 1981. Orientalis, Abu Bab. Beirut (terj). Mu’assasah-Ablath al-Arabiyyah.

Said, E. W. 1978. Orientalism. London: Routledge & Keagan Paul.

Sou’yb, H.M. J. 1985. Orientalisme dan Islam. Jakarta: Penerbit Bulan Bintang.

Syaikh Abdul Malik bin Abdul Karim Amrullah (Hamka). 1982. Tafsir al-Azhar; Juzu’ 22-23-24-25. Surabaya: Yayasan Latimojong JI juwono.

Syaikh Abdul Malik bin Abdul Karim Amrullah (Hamka). 1982. Tafsir al-Azhar; Juzu’ 26-27-28. Surabaya: Yayasan Latimojong JI juwono.

Syaikh Abdul Malik bin Abdul Karim Amrullah (Hamka). 1984. Tafsir al-Azhar; Juzu’ 29-30. Surabaya: Yayasan Latimojong JI juwono.

Trumbull H. C. 1907. Studies in oriental social life and gleams from the East on the sacred page. The Sunday School Times Company.

Zina : saksi boleh bersumpah. 1999. Mingguan Malaysia, 29 Ogos.


RUJUKAN INTERNET

http://gasus85.wordpress.com/2007/08/15/sepak-terjang-orientalis/

http://www.pkpim.net/modules/news/article.php?storyid=93

http://www.e-ulama.org/Tanya/Default.asp?mode=0&ID=966

http://www.al-firdaus.com/20hujah/ragam.htm
http://politikdanpemikiran.blogspot.com/2007/02/orientalisme-islamic-studies-dan.html
http://idrusali85.wordpress.com/2007/04/03/robert-morey-dan-orientalisme/

http://www.extro.biz/ilmiah.html
http://permaya.org/yaman/modules.php?op=modload&name=News&file=article&sid=32&mode=thread&order=0&thold=0

0 comments:

Berikan Komen Anda Disini

Leave a Comment

/blogger